Friday, July 22, 2016

Mencari Malaysian Official 1







Seluruh dunia mendengar penjelasan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Jabatan itu memaklumkan mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penggelapan wang dari IMDB dengan cara penyitaan dan pelbagai cara lain bagi sejumlah lebih daripada RM4 bilion (US$1 bilion).

Mengulas perkembangan terbaru mengenai IMDB ini, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau memandang serius saman sivil yang dikeluarkan itu. Beliau juga berkata kerajaan Malaysia akan memberi kerjasama penuh kepada semua badan sisatan antarabangsa.

Hal yang sama turut dinyatakan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ismail yang turut mengalu-alukan sebarang permintaan untuk mendapatkan maklumat atau bukti seiring dengan komitmen beliau untuk memerangi pengubahan wang haram dan amalan rasuah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata siasatan DOJ tiada kaitan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak sebaliknya hanya melibatkan tiga individu yang dinamakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan pula menegaskan nama Perdana Menteri Malaysia tidak disebutkan langsung, justeru Datuk Seri Najib Tun Razak tidak terlibat.

Dalam sidang media itu, lebih US$3 bilion dikenal pasti telah digelapkan dari dana 1MDB sejak tahun 2009 hingga 2015. Tempoh ini bersamaan dengan tempoh Datuk Seri Najib Tun Razak menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia, Menteri Kewangan Malaysia dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berpendapat Datuk Seri Najib Tun Razak patut mengambil cuti sebagai perdana menteri supaya isu ini tidak memberi persepsi negatif terhadap salah guna kuasa atau sebarang tindakan yang boleh menghalang siasatan yang dilaksanakan.

Sepertimana yang kita tahu, ketika tempoh siasatan ke atas 1MDB, terdapat kes yang melibatkan pemindahan pegawai siasatan secara mengejut, penyingkiran timbalan perdana menteri dan menteri kabinet dan pertukaran Peguam Negara Malaysia. Laporan Jabatan Audit Negara pula dikategorikan sebagai sulit dan tidak boleh disiarkan kepada umum. 

Walaupun sulit, masyarakat umum dapat membaca maklumat laporan berkenaan melalui laman portal tertentu seperti Sarawak Report. Namun kandungan laporan yang disiarkan itu dikatakan tidak lengkap dan disiarkan dengan maksud tidak baik.

Selepas DOJ mengumumkan hasil siasatan mereka, terdapat enam nama yang terlibat dalam penggelapan wang 1MDB.

Pertama, Low Taek Jho. Seorang ahli perniagaan yang lebih popular dengan panggilan Jho Low. Beliau dikatakan menjadi orang kepercayaan Datuk Seri Najib Tun Razak. Jho Low dikatakan membantu kewujudan 1MDB sebagai institusi pelaburan Malaysia pada 2009 apabila Datuk Seri Najib menjadi perdana menteri.

DOJ mendedahkan bagaimana beliau membeli hartanah mewah dan juga saham dalam EMI, syarikat penerbitan muzik ketiga terbesar di dunia, daripada dana 1MDB yang disonglap.

Low, 34, juga membeli lukisan Vincent Van Gough dan Claude Monet yang telah dirampas oleh pihak berkuasa Swiss.

Kini, Jho Low tidak dapat dikesan kedudukannya dan dipercayai berada di China atau Taiwan kerana kedua-dua negara itu tidak mempunyai perjanjian ektradisi dengan Amerika Syarikat.

Kedua, Riza Aziz. Anak lelaki sulung Datin Seri Rosmah Mansor dalam perkahwinan terdahulu. Riza, 34, seorang ahli perbankan di London sebelum berpindah ke Amerika Syarikat. Beliau membeli hartanah yang mahal di Amerika Syarikat dan London menggunakan dana sebanyak US$94.3 juta yang dikatakannya kepada penyiasat sebagai “hadiah”. Beliau juga dinamakan sebagai pengasas bersama Red Granite Pictures yang menerbitkan filem The Wolf Of Wall Street menggunakan wang 1MDB.

Dalam saman yang sama juga beliau dikatakan sebagai individu yang bermain judi di sebuah kasino di Las Vegas bersama Jho Low dan pelakon Hollywood, Leanardo DiCaprio. Mereka menghabiskan lebih daripada US$1.1 juta pada Julai 2012.

Ketiga, Eric Tan Kim Loong. Seorang rakyat Malaysia yang berkawan rapat dengan Jho Low. Beliau dikatakan menjadi pemilik faedah kepada beberapa akaun bank yang mana “pemindahan dana 1MDB secara tidak beretika” dilakukan.

Keempat, Malaysian Official 1 (MO1). Nama ini disebut sebanyak 32 kali dan dikatakan sebagai seorang berjawatan tinggi dalam kerajaan Malaysia dan juga dalam kedudukan berkuasa di 1MDB. Beliau juga dikatakan ada hubungan dengan Riza. DOJ percaya bahawa akaun di AmBank yang menerima US$681 juta pada Mac 2013 adalah kepunyaan individu ini.

Kelima, Khadem Al Qubaisi. Seorang rakyat UAE, merupakan pengarah urusan di International Petroleum Investment Company (IPIC), sebuah dana pelaburan yang dimiliki Abu Dhabi. Beliau juga menjadi pengerusi Aabar Investments PJS, anak syarikat IPIC.

IPIC dan Aabar telah terlibat dengan 1MDB sejak 2012. DOJ menyatakan Khadem, 44, telah membeli “penthouse” dan hartanah di Beverly Hills dengan dana 1MDB.

Keenam, Ahmed Badawy Al-Husseiny. Rakyat Amerika Syarikat, 53, merupakan ketua eksekutif Aabar Investems PJS dari 2010 hingga tahun lepas. Dalam kenyataan DOJ, beliau dikatakan membeli rumah mewah di London.

Siasatan yang dilakukan oleh Kleptocracy Asset Recovery Initiative (KARI) ini amat memberi makna kepada rakyat Malaysia yang dahagakan maklumat berkaitan 1MDB. Beberapa agensi kerajaan Malaysia yang terlibat dalam siasatan ini tidak pernah memaklumkan secara jelas siasatan mereka menyebabkan orang ramai mencari maklumat dari sumber asing. Tindakan awal DOJ sudah pasti akan mendedahkan lebih banyak maklumat, plot, jumlah wang yang diambil dari 1MDB dan akhirnya ialah hukuman ke atas mereka yang terlibat.

Akhbar arus perdana berhempas-pulas melindungi maklumat berkaitan 1MDB namun dalam dunia teknologi hari ini, maklumat yang dikatakan sulit dan rahsia sudah tidak berguna lagi. Adalah lebih baik kerajaan sendiri yang mengumumkan hasil siasatan supaya rakyat tidak keliru dan imej pemimpin kerajaan Malaysia tidak terjejas.

Seluruh dunia ingin mengetahui siapakah Malaysian Official 1 ini. Jika di akhir siasatan individu sebenar MO1 ini didedahkan, ia sudah tidak berguna lagi kerana terlibat dalam skandal paling besar dalam sejarah Malaysia dan Amerika Syarikat dan memberi malu kepada rakyat Malaysia.

Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Jabatan Kehakiman (DOJ) dan Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (agensi hasil cukai AS) telah mengetuai siasatan yang sangat teliti selama lebih satu tahun.

Mereka telah membuat kesimpulan bahawa rakyat Malaysia telah dirompak dan wang rakyat telah dialihkan daripada dana 1MDB kerajaan melalui penipuan dan pengubahan wang haram.



No comments:

Post a Comment