Tuesday, July 26, 2016

Persepsi masyarakat terhadap ‘fast food’







1.0 Pengenalan

Makanan segera ataupun ‘fast food’ adalah makanan siap saji yang diproses secara cepat. Maksud makanan segera ini merujuk kepada pengolahan dan penyajian makanan yang serba cepat. Makanan-makanan segera di Malaysia termasuk Mc Donald, Burger King, A&W, Pizza Hut, Domino’s Pizza, Marrybrown, Kentucky Fried Chicken (KFC), Subway dan sebagainya. Makanan jenis ini pada awalnya popular di Amerika Syarikat dalam tahun 1950-an. Restoran makanan segera yang terkenal di seluruh dunia, McDonald's, telah membuka cawangannya yang pertama di Malaysia pada tahun 1982. Restoran makanan segera terkenal yang paling awal dibuka di Malaysia ialah A&W di Batu Road, Kuala Lumpur pada 1961 diikuti oleh Kentucky Fried Chicken di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 1973.

Keperluan kepada makanan segera begini semakin ketara hari ini kerana masyarakat kini lebih cenderung untuk bergerak cepat setiap masa. Bebanan kerja dan ingin melakukan segala-galanya dengan pantas mendorong sebilangan orang menjadikan makanan segera sebagai pilihan mereka. Makanan segera bukanlah satu pilihan yang bijak kerana makanan berjenis ini biasanya mengandungi kandungan kalori yang tidak seimbang bahkan boleh dikatakan tidak bergizi. Hal ini kerana kebanyakan fast food dihidang dengan makanan goreng iaitu makanan yang mengandungi lemak yang tinggi seperti ayam. Hidangan tersebut tidak seimbang kerana tidak mengikut pyramid makanan dan tidak mencukupi zat makanannya.

Makanan segera merupakan salah satu punca yang menyebabkan seseorang mendapat penyakit tinggi berisiko disebabkan pengambilan monosodium glutamat (MSG) yang tinggi. MSG merupakan penambah perisa yang amat berbahaya kepada kesihatan manusia. Golongan yang menggunakan MSG sebagai penambah perisa dalam makanan lebih berisiko tinggi berdepan masalah obesiti berbanding mereka yang tidak mengambilnya walaupun melakukan aktiviti fizikal dan pengambilan kalori yang sama. Secara tidak langsung, kadar masyarakat Malaysia yang mendapat penyakit berisiko seperti obesiti, sakit jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi meningkat secara mendadak.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini ialah mengetahui tahap pengambilan makanan segera dan tahap pengetahuan pemakanan yang berkhasiat dalam kalangan masyarakat, mengkaji nilai wang yang telah dibelanjakan untuk memakan makanan segera dalam tempoh satu bulan, dan mengetahui faktor-faktor yang menyebabkan restoren ‘fast food’ menjadi tarikan masyarakat.


2.0 Metodologi Kajian

Kajian ini dijalankan melalui soal selidik ke atas etnik iaitu Melayu, Cina, India dan lain – lain bangsa di Melaka. Selain itu, temu bual juga dilakukan ke atas responden terpilih untuk mendapatkan pandangan mereka tentang hal-hal berkaitan dengan makanan segera. Tempat kajian yang dipilih ialah rangkaian makanan segera popular.

Seramai sembilan puluh responden yang dari pelbagai etnik berjaya menjayakan tinjauan ini. Instrumen utama kajian ini ialah soal selidik. Instrumen kajian kualitatif pula ialah soalan temu bual tidak berstruktur.


3.0 Hasil Kajian

Kajian ini dijalankan melalui soal selidik melibatkan 90 responden yang terdiri daripada 35 lelaki dan 55 perempuan. Daripada jumlah ini, 74 berbangsa Melayu, 8 berbangsa Cina, dua  berbangsa India dan enam orang lagi merupakan lain-lain bangsa.

Soalan 1: Berapa banyak anda berbelanja ke atas makanan segera dalam masa sebulan?

Berdasarkan soal selidik yang dijalankan, hanya 2.2% yang berbelanja lebih daripada RM100. Sebanyak 58.9% berbelanja kurang daripada RM30. 18.9% berbelanja kurang dari RM100 dan 20% berbelanja kurang daripada RM50.

Soalan 2: Apakah sebab utama anda pergi ke restoran makanan segera?

Sebanyak 48.9% berpendapat  bahawa ianya merupakan perkhidmatan segera dan cepat. Sebanyak 8.9% berpendapat dapat menjimatkan masa memasak. Bagi pilihan harga berpatutan, hanya 4.4% berasa begitu, 11.1% memberi alasan sangat sibuk dengan kehidupan sebagai seorang pelajar dan lain-lain sebab sebanyak 26.7%.

Soalan 3: Adakah penting untuk mengetahui kandungan nutrisi yang terdapat di dalam makanan yang disediakan di restoran makanan segera?

Majoriti responden jarang mangambil tahu tentang kandungan nutrisi dalam makanan segera tersebut sementara 31.1% selalu mengambil berat tentang kandungan nutrisi tersebut. Selebihnya sebanyak 23.3% langsung tidak mengambil tahu tentang kandungan tersebut.

Soalan 4: Adakah anda tahu bahawa mengambil makanan segera dengan kerap dapat mengakibatkan obesiti?

Sebanyak 96.7% bersetuju dengan soalan tersebut manakala 3.3% tidak bersetuju.

Soalan 5: Adakah anda sedar tentang penyakit yang akan menjejaskan kesihatan anda berdasarkan pengambilan makanan segera?

Peratus yang paling tinggi menjawab sudah pasti adalah sebanyak 53.3% manakala tidak pernah adalah 13.3%. Selebihnya menjawab sudah sama sekali sebanyak 33.3%.


4.0 Rumusan

Secara keseluruhannya, kajian ini telah membincangkan persepsi masyarakat terhadap makanan segera sekali gus dapat menjawab objektif dalam kajian ini iaitu gemar mengambil ‘fast food’ kerana penjimatan masa. Perkhidmatan yang cepat adalah faktor yang paling utama yang membuatkan ramai yang mengunjungi restoran makanan segera. Hal ini kerana, perkhidmatan yang cepat boleh menjimatkan masa terutama bagi mereka yang bekerja dan belajar.

Selain itu, kajian juga menunjukkan ramai yang mengetahui tentang keburukan pengambilan makanan secara berterusan tetapi atas faktor restoran ‘fast food’ ini mudah untuk didapati dan harganya sama.

Berdasarkan kajian ini juga, purata responden membelanjakan wang mereka sekurang-kurangnya RM30 dalam tempoh sebulan. Bukan itu sahaja, kebanyakan restoran makanan segera menyediakan perkhidmatan internet mudah akses seperti ‘wifi’ untuk menarik pelanggan mereka.


MZ Zainudin, Fathin Azira Hamdan, Afiqah Basir, Umi Shazwana Muslim, Nur Umi Athirah Abu Nasir, Khor Rui Chin




No comments:

Post a Comment