Wednesday, July 13, 2016

Perceraian dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam







1.0 Pendahuluan

Perceraian adalah suatu ungkapan yang sering kali didengar oleh masyarakat kita pada hari ini. Malah, setiap hari boleh dikatakan terdapat kes perceraian yang berlaku oleh pelbagai sebab seperti terdapat sesuatu keadaan yang bertentangan dengan agama atau hukum dan sebagai jalan keluar daripada perselisihan yang tidak mungkin ada penyelesaian. Perceraian sah apabila terjadinya talak dan gugatan perceraian iaitu membuat tuntutan cerai (fasakh) di mahkamah syariah (N Fatmah, 2011).

Adakah kehidupan pada zaman yang moden ini telah menyebabkan pasangan suami isteri mudah menuntut cerai atas sebab-sebab yang tidak munasabah seperti pergaduhan kecil?

Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia  menunjukkan  jumlah perceraian pada tahun 2007 ialah sebanyak 20,259 kes berbanding 131,086 perkahwinan yang telah didaftarkan. Pada tahun 2009 pula sebanyak 27,116 kes perceraian telah dicatatkan daripada sejumlah 135,136 perkahwinan didaftarkan pada tahun yang sama. Statistik perceraian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi tahun 2011 mencatatkan purata 70 kes perceraian dilaporkan sehari, 2,000 kes dilaporkan sebulan dan sejumlah 25,000 kes setahun di seluruh negara bagi tahun 2011 (Utusan Malaysia, 2013).

Bukan sahaja kes pencerian banyak direkodkan oleh mahkamah syariah, malah juga turut direkodkan di mahkamah sivil. Mahkamah sivil yang antara tugasnya mengendalikan kes perceraian bagi komuniti bukan Islam seperti Buddha, Kristian, Hindu dan sebagainya. Mereka juga menghadapi masalah yang sama, justeru,  perceraian bukanlah suatu perkara yang asing.

Sedar atau tidak, sesuatu perceraian itu sendiri boleh menyebabkan pelbagai konflik atau akibat. Gejala sosial yang berleluasa seperti berzina  semakin parah dari hari ke sehari. Apabila diselidiki, antara puncanya adalah daripada sesuatu masalah rumah tangga itu sendiri yang menyebabkan suami atau isteri bertindak melakukan maksiat bagi melupakan masalah. Daripada peningkatan gejala seperti ini juga telah mengurangkan keharmonian masyarakat. Seperti yang kita biasa lihat, fenomena perceraian itu sendiri boleh dikatakan ibarat ‘menconteng arang’ ke muka keluarga kerana menjadi buah mulut masyarakat sekitar.

Walau bagaimanapun, sesuatu perceraian itu sebenarnya boleh dilakukan secara baik dan berhemah dengan mengikuti prosedur-prosedur yang ditetapkan. Biarpun perceraian itu bagi Islam adalah sesuatu yang tidak disukai tetapi dengan bercerai secara baik akan membawa kebaikan kepada kedua-dua pihak. Di Malaysia, setiap negeri telah didirikan mahkamah syariah bagi kemudahan penduduk setempat. Di mahkamah syariah juga terdapat jawatankuasa pendamai dan hakam yang boleh membantu menyelesaikan sesuatu pertelingkahan di antara sepasang suami isteri. Di sini mahkamah syariah akan berusaha membantu pasangan suami isteri yang ibarat ‘retak menanti belah’ dengan cara memberikan nasihat dan panduan untuk membaiki hubungan mereka.

1.1 Objektif Kajian

Terdapat tiga objektif kajian iaitu, pertama, mengkaji  jenis-jenis perceraian yang terdapat dalam masyarakat Islam dan bukan Islam. Kedua, mengkaji bagaimana perceraian  dalam masyarakat Malaysia boleh menggugat keharmonian etnik berbilang bangsa. Ketiga, memberitahu cara-cara perceraian yang betul mengikut hukum syarak bagi Islam dan undang-undang sivil bagi bukan Islam.


2.0 Metodologi Kajian

Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif. Menerusi kaedah ini, maklumat atau data yang didapati adalah lebih humanistik, induktif dan holistik. Proses temu bual dapat menghasilkan data yang bersifat fleksibel kerana pengkaji boleh mengemukakan soalan bagi mendapatkan data menyeluruh. Manakala melalui dokumentasi dan kepustakaan dapat memperkukuh lagi data yang dipungut dari awal melalui proses temu bual.

Temu bual ke atas responden dibuat secara berperingkat melibatkan pelajar institusi pengajian tempatan dan orang ramai. Satu set soalan disediakan sebagai pemandu dalam sesi berkenaan. Lima orang responden telah dikenal pasti dan mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang kerjaya dan keluarga.

Bagi menambahkan pengetahun terhadap topik ini, pengkaji mendapatkan pelbagai maklumat di perpustakaan di samping membuat carian di Internet.


3.0 Hasil Kajian

Dapatan kajian dibahagi kepada empat bahagian utama berdasarkan jenis agama yang diletakkan dibawah satu tajuk utama iaitu Standard Operasional Prosedur Perceraian.
        
Bagi agama Islam, perceraian adalah suatu yang tidak digalakkan. Namun, bagi pasangan yang tidak dapat menyelamatkan rumah tangga mereka, perceraian adalah suatu penyelesaian akhir. Perceraian dalam Islam boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti talaq, khuluk, taklik, fasakh dan sebagainya. Setiap perceraian haruslah didaftarkan dan pasangan hendaklah memaklumkan kepada mahkamah syariah. Pelbagai prosedur yang harus dijalani oleh pasangan yang akan bercerai. Walau bagaimanapun, jika pihak mahkamah merasakan bahawa perhubungan rumah tangga tersebut masih boleh diselamatkan, maka jawatankuasa pendamai ataupun hakam akan dilantik.
         
Bagi penganut agama Kristian, perkahwinan ialah satu ikatan yang suci antara seorang lelaki dengan seorang wanita untuk sepanjang zaman. Oleh sebab itu, perceraian dalam Kristian adalah tindakan yang menyedihkan. Seorang lelaki hanya dibenarkan berkahwin sekali sahaja seumur hidup, demikian juga wanita. Perkahwinan bagi agama Kristian terutama bagi aliran Roman Katolik menganggap perkahwinan sebagai suatu perhubungan antara lelaki dan wanita yang telah sama-sama bersetuju untuk hidup sebagai suami isteri untuk sepanjang hayat. Penganut agama ini mengikut ajaran mereka percaya bahawa suami dan isteri disatukan oleh Tuhan melalui perkahwinan.
        
Seterusnya, bagi prosedur perceraian sepasang suami isteri yang ingin bercerai di dalam agama Buddha atau Hindu, mereka harus merujuk kepada mahkamah sivil.
         
Justeru bagi pasangan yang merasakan bahawa perceraian adalah jalan penyelesaian yang terakhir, maka mereka haruslah mengikut prosedur-prosedur yang telah ditetapkan oleh mahkamah syariah bagi Islam dan mahkamah sivil bagi bukan Islam.
  

4.0 Kesimpulan

Masalah perceraian yang berlaku di Malaysia pada masa ini bukanlah satu masalah kecil lagi dan boleh dipandang ringan. Namun ianya sudah bertukar menjadi satu masalah besar. Perceraian ini boleh dikatakan semakin meningkat kerana semakin hari semakin banyak kes perceraian yang difailkan di mahkamah.

Permasalahannya di sini, kenapa perceraian lebih banyak berlaku dalam masyarakat Islam? Apakah yang akan terjadi kepada institusi kekeluargaan akibat perceraian ini? Siapakah yang harus dipersalahkan ataupun siapakah yang harus dipertanggungjawabkan dalam perceraian?
         
Prosedur perceraian bagi penganut empat agama ini harus dijalankan menurut undang-undang yang telah ditetapkan bagi mengelakkan konflik pada masa depan. Mahkamah syariah dan mahkamah sivil perlu bersedia membantu pasangan yang menghadapi cabaran berumah tangga ini. Selain itu, pasangan yang baru berkahwin harus mempunyai persiapan yang cukup untuk melayari bahtera perkahwinan ini. Hal ini kerana, kebanyakan kes perceraian adalah daripada pasangan yang muda yang baru berkahwin.


Rujukan

N Fatmah. (2011). Faktor penyebab terjadinya perceraian dan akibatnya terhadap hak pemeliharaan anak. Diakses dari http://repository.usu.ac.id/bitstream/123456789/
23509/3/Chapter%20II.pdf.
  
Utusan Malaysia, 9 Ogos 2013. “3 pasangan Islam bercerai setiap jam di Malaysia”. Diakses di http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130809/dn_05/3-pasangan-Islam-bercerai-setiap-jam-di-Malaysia.      


MZ Zainudin, Nurul Farah Atiqah Mohd Tahir, Aiman Najwa Mohd Shamsidi, Maizatul Hafizah Aripin, Ummi Sorayya Baharam, Nurul Najeeha Sahdan.            



No comments:

Post a Comment