Saturday, July 16, 2016

Keganasan gugat keamanan







Serangan bom di Nice, Perancis baru-baru ini mengejutkan masyarakat dunia. Dilaporkan lebih 80 orang terkorban dan puluhan lagi cedera. Kejadian terbaru ini menambahkan siri peristiwa berdarah dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini. Islamic State (IS) dikatakan bertanggungjawab dalam serangan ini.

Di negara kita, polis telah mengesahkan letupan bom di hadapan sebuah kelab malam di Puchong adalah angkara IS, yang pertama dalam wilayah Malaysia.

Ancaman IS terhadap Malaysia dijangka menjadi lebih agresif dan berskala besar. Sebelum ini IS hanya dikenali sebagai pertubuhan yang merekrut rakyat Malaysia untuk berperang di Syria, kini anggota yang direkrut telah kembali dengan pelbagai cara untuk meneruskan misi mereka. Di samping mengebom, mereka juga membuat ancaman kepada pihak berkuasa dan pemimpin negara.

Penglibatan takyat Malaysia sebagai anggota dan rangkaian IS dapat dilihat dalam laporan media berkaitan siri tangkapan yang dilakukan oleh pihak polis. Mereka yang terlibat ini terdiri daripada pelbagai latar belakang, lelaki dan perempuan dan ada juga yang aktif menjadi ejen secara tidak langsung.

Besar kemungkinan operasi IS di Malaysia sudah melepasi tahap pengenalan. Kini, mereka bersedia melancarkan serangan selepas mempunyai sejumlah anggota yang mahir dalam strategi perang dan membuat bahan letupan.

IS akan mengiktiraf setiap kejadian letupan sebagai hasil kerja mereka apabila dapat membunuh mangsa dalam jumlah yang besar dan kecederaan yang ramai. Sasaran mereka juga tidak mengira umur.

Kehadiran kelompok IS di Malaysia dan melancarkan serangan di tempat awam amat membimbangkan. Keadaan ini bukan lagi berlaku di luar negara sebaliknya ia sedang berlaku di hadapan kita. Sedikit sebanyak perkembangan ini bakal memberi impak ke atas keselamatan orang ramai. Rutin harian pasti akan terjejas kerana orang ramai bakal mengambil kira keselamatan persekitaran sebelum membuat perjalanan.

Tumpuan di kawasan perniagaan dan rekreasi juga akan berkurangan kerana wujud keadaan trauma dan bimbang.

Tanggungjawab memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terletak di atas pasukan keselamatan khususnya pasukan polis. Mereka perlu mengambil langkah wajar untuk menyekat ideologi IS dari berkembang, memerangi kelompok yang taksub dan memastikan setiap kawasan adalah selamat.

Kita tidak mahu mendengar apa-apa juga letupan berlaku di negara kita. Pihak polis patut menggunakan seluruh kekuatannya untuk menjejaki anggota IS dan membuat pemantauan ke atas sebarang maklumat biarpun tidak ada sumber sahih kerana serangan boleh berlaku bila-bila masa dan kepada sesiapa sahaja.


Post a Comment