Tuesday, July 12, 2016

Impak Ramadhan 2016 terhadap pembangunan diri







Ramadhan 2016 telah pun kita lalui dengan jaya. Sebulan menahan lapar, dahaga dan larangan ketika berpuasa ini menjadi latihan atau ujian paling mencabar bagi umat Islam seluruh dunia. Di Afrika, Timur tengah atau Asia, umat Islam menghadapi ujian ini dengan tabah dan sabar sehinggalah menyambut 1 Syawal.

Amalan berpuasa merupakan salah satu daripada rukun Islam. Menjadi kewajipan setiap muslim untuk berpuasa bagi yang mampu selepas mencapai umur baligh. Jika seseorang itu berumur 30 tahun, beliau mungkin telah berpuasa selama 15 atau 16 tahun. Jika berumur 50 tahun, beliau mungkin telah pun berpuasa selama 35 atau 36 tahun. Jika berumur 80 tahun, beliau mungkin tidak perlu berpuasa lagi memandangkan kesihatannya yang tidak mengizinkan.

Impak ramadhan berlaku dalam tiga keadaan. Pertama, fizikal. Orang yang berpuasa akan merasai perubahan berat badan dan tabiat yang merugikan seperti bangun lewat pagi atau tidur lewat malam. Kedua, intelektual. Bentuk pemikiran orang yang berpuasa berubah 360 darjah iaitu kemampuan berfikir dan bertindak yang luar biasa. Keinginan ketika tidak berpuasa tidak lagi menjadi fokus. Contohnya jika diletakkan segelas air di hadapan mereka, tidak ada keinginan pun untuk mereka minum kerana pemikiran mereka memiliki keupayaan luar biasa untuk menolak minuman berkenaan. Ketiga, spiritual. Keinginan untuk mengerjakan yang suruhan agama semakin membuak-buak dan sangat mudah. Buktinya ialah setiap malam pasti masjid dan surau dipenuhi orang yang inginkan pahala mengerjakan solat tarawih.

Latihan yang dilalui sepanjang ramadhan ini bakal menjadi bekalan selama sebelas bulan yang datang. Latihan bersabar, berlapar dan menahan cabaran dapat membina ketahanan diri yang lebih ampuh dan bersedia dengan pelbagai cabaran.

Sepatutnya semangat ramadhan ini dibawa ke dalam kehidupan masyarakat Islam. Tabiat buruk yang dihilangkan dalam sepanjang bulan ramadhan itu tidak perlu lagi dibawa lagi dalam bulan-bulan seterusnya. Namun, ada yang tidak kena apabila ada lagi masalah masyarakat yang dialami oleh masyarakat Islam negara kita.

Di mana masalahnya? Apa masalahnya yang sedang dihadapi oleh masyarakat Islam kita ini?

Kita wajar bersama-sama menghayati melihat kembali permasalahan yang sedang dihadapi di peringkat remaja, dewasa dan kanak-kanak. Masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat ini mesti diterjah, dikaji dan diselesaikan bersama, bukannya membiarkan masalah itu berlalu begitu sahaja dan orang lain yang menyelesaikannya.

Justeru, semangat ramadhan 2016 ini perlu sentiasa berada dalam hati dan jiwa kita supaya ia dapat menjadi pembakar semangat kepada bulan-bulan yang akan datang.

Post a Comment