Friday, July 08, 2016

Perkukuh mesej maaf dalam iklan raya







Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan agama terbesar di Malaysia. Ia disambut oleh masyarakat Islam yang memberi pengaruh besar kepada aktiviti sosial dan ekonomi penduduk negara ini. Justeru, sebahagian besar agensi kerajaan memberi tumpuan kepada kelancaran sambutan perayaan ini supaya budaya "balik kampung" terus menjadi tradisi masyarakat.

Baru-baru ini terdapat keluhan pengguna lebuh raya yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas selama beberapa jam akibat kebanjiran kenderaan di atas jalan. Fenomena ini akan terus berlarutan sepanjang masa sekiranya kerajaan lambat menyediakan pengangkutan alternatif yang lebih pantas dan cekap seperti laluan trek keretapi dan kekerapan penerbangan.

Kemalangan pada musim perayaan menjadi ancaman besar kepada negara. Kadar kemalangan dan kematian yang menunjukkan trend meningkat setiap tahun merugikan negara kerana melibatkan kos operasi penguatkuasaan dan keselamatan yang besar. Kos yang sepatutnya boleh digunakan untuk meningkatkan infrastruktur, mengatasi kemiskinan dan masalah sosial telah digunakan untuk menguruskan keselamatan orang ramai dari segi kelancaran jalan raya, elaun petugas, keselamatan petugas dan advokasi keselamatan awam.

Agensi kerajaan yang terlibat dalam menjaga keselamatan awam terdiri daripada penguatkuasa, keselamatan dan kesihatan. Pasukan polis, anggota Jabatan Pengangkutan jalan, pasukan bomba dan penyelamat, petugas kesihatan, anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Rela dikerah memastikan orang ramai khususnya pengguna jalan raya dapat menggunakan laluan lebuh raya dan jalan raya dengan selamat dan lancar.

Berdasarkan keadaan ekonomi masyarakat Malaysia, kemunculan kelas menengah yang lebih ramai menunjukkan terdapat permintaan yang tinggi untuk pengangkutan alternatif biarpun tawaran harga yang mahal kerana kelompok ini mampu berbelanja.

Hari Raya Aidilfitri juga menjadi medan mencetuskan emosi orang ramai khususnya menilai kembali kepentingan memberi maaf, bersyukur dan menghargai ibu bapa. Iklan hari raya yang disiarkan di media sosial banyak mempamerkan nilai-nilai ini. Iklan dari Tenaga Nasional Berhad berkaitan memaafkan kesilapan dan mesejnya ialah jangan takut mengaku salah kerana sampai masanya akan ada kemaafan. 

Begitu juga iklan Petronas. Tahun ini syarikat minyak itu menyampaikan mesej menghargai ayah. Agak menarik juga apabila anak muda mahu menjaga ayahnya yang lanjut usia dan cuba menghiburkannya melalui pengalaman semasa kanak-kanak. Kehidupan ayah juga menyentuh emosi kita.

Sepanjang ramadhan lalu, pesta makanan dan jual beli menarik perhatian ramai orang. Pada masa inilah kita dapat melihat ramai usahawan muda yang mengambil peluang belajar berniaga. Biarpun hanya menjual air, jualannya tetap mendapat sambutan kerana kewujudan bazar ramadhan telah memberi peluang kepada anak-anak muda berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.

Usahawan pakaian dan tudung juga tidak menang tangan untuk menyediakan tempahan.

Secara tradisi, hari raya yang disambut setiap tahun boleh diintegrasikan dalam masyarakat sebagai budaya menyuburkan nilai-nilai kekuatan yang ada pada setiap orang. Tema memaafkan harus menjadi teras kepada sambutan perayaan ini supaya ia menjadi unsur paling dominan dalam pemikiran rakyat Malaysia.



Post a Comment