Monday, April 18, 2016

Kontrak sosial perlembagaan persekutuan 1957






Penulis: Mohd Rizal Yaakop, Shamrahayu A. Aziz
Tahun: 2014
Penerbit: Institut Terjemahan & Buku Malaysia, Kuala Lumpur
Muka Surat: 926

Tanah Melayu yang asalnya hanya dihuni orang Melayu telah berubah ekonomi serta politiknya akibat dicorakkan oleh dasar penjajah. Penduduk hari ini berbilang kaum dan tanpa penyatuan nasional yang dimapankan, pemahaman berkaitan perlembagaan menyebabkan manipulasi mudah sahaja berlaku. menyedari situasi ini, kontrak sosial menerusi Perlembagaan Persekutuan 1957 tidak wajar dibahas atau dipertikai secara terbuka kerana impaknya berisiko memporak-perandakan keharmonian, sekali gus menukar perpaduan sedia ada kepada cabarang paling getir.

Hakikatnya kesediaan mewujudkan kerajaan demokrasi bukan keputusan mudah, malah ia adalah pengorbanan radikal orang Melayu sebagai masyarakat peribumi Tanah Melayu. Bagaimanapun, hasil tolak ansur dan kesepakatan yang dicapai UMNO, MCA serta MIC menerusi perjanjian yang dimeterai Perlembagaan Persekutuan 1957, beberapa perkara dimuktamadkan termasuk kesediaan orang Melayu mengubah status tanah tumpah darah keturunan mereka menjadi tanah perkongsian melalui pemberian kerakyatan kepada orang Cina dan India. Inilah asas pengagihan polisi keadilan dan keselamatan sosial di negara ini yang sekali gus membuka jalan kepada tiga kaum utama ini berkongsi kuasa politik. Justeru, sewajarnya kedudukan orang Melayu dihormati dan realiti ini perlu diterima setiap rakyat Malaysia di samping hak kaum lain kekal dipelihara.

Susulan itu, buku ini menjelaskan bagaimana kontrak sosial yang dimeterai Perlembagaan Persekutuan 1957 dirangka untuk tujuan menyelesaikan kepentingan semua kaum di Tanah Melayu, baik majoriti mahupun minoriti. Pada masa yagn sama, buku ini turut merungkai bagaimana 'kontrak sosial' yang tidak wujud secara istilah pada teks Perlembagaan Persekutuan 1957 diguna pakai untuk menterjemah takrif persefahaman dan kesepakatan bagi keadilan sosial tiga kaum terbesar di Tanah Melayu. Pelaksanaannya berteraskan semangat mendalam dan ia terbukti berkesan memelihara keharmonian kaum sehingga hari ini. Berikutan itu, ia wajar dilindungi dan buku ini akan memperincikan perbincangan yang disertakan dokumen lengkap bagi membolehkan kontrak sosial difahami dan seterusnya menutup debat percanggahan serta pertelingkahan yang hanya bermaksud mengucar-ngacirkan negara.

Hakikatnya, mengekalkan perpaduan adalah proses rumit dan ianya hanya akan boleh dijayakan jika rakyat memahami kepentingan menyuburkan toleransi tanpa syak wasangka curiga dan sikap pentingkan diri sendiri. Pendek kata, di mana bumi dipijak, di situlah langitnya dijunjung. Hidup di Malaysia hari ini bukan sekadar menjadi bumi yang dipijak tetapi inilah bumi tempat tumpahnya darah kita. Lebih 20 juta warganegara yang sudah pun waktunya bangkit merealisasikan penyatuan nasional - demi Malaysia hari ini dan lebih penting Malaysia masa hadapan.


No comments:

Post a Comment