Tuesday, April 19, 2016

Teroka ilmu perbandingan agama








Kehadiran Dr Zakir Naik ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baru-baru ini memberi impak yang sangat besar kepada usaha-usaha dakwah di negeri ini. Kehadiran Zakir Naik disambut oleh lebih 20,000 orang yang rata-ratanya orang muda yang dahagakan informasi tentang Islam. 

Dewan Besar UTeM penuh sesak dengan orang ramai sejak pukul lima petang Ahad lalu. 

Syarahan umum kali ini bermula dengan tiga orang protege Dr Zakir Naik yang telah berjaya dilatih. Ketiga-tiganya adalah rakyat Malaysia. Penampilan luaran, intonasi suara dan kemahiran berucap persis Dr Zakir Naik. Namun saya melihat mereka perlu lebih banyak membaca dan membuat kajian tentang pelbagai agama.

Dr Zakir Naik menyampaikan syarahan bertajuk Islam- Problems and Solutions to Humanity dengan memberi penekanan kepada peranan media. Lebih 20 kali beliau menyebut perkataan media. Di seluruh dunia, media berperanan menjadikan yang baik kepada buruk, buruk kepada baik, putih kepada hitam dan hitam kembali menjadi putih. Dalam erti kata lain, media berperanan besar menentukan persepsi dunia hari ini.

Sesi kedua syarahan beliau adalah soal jawab. Sesi ini memberi keutamaan kepada peserta bukan Islam untuk bertanya. Antara soalan yang ditanya pada malam itu ialah berkaitan nama Abdullah yang dibinkan oleh seorang mualaf dan memberi bayaran kepada kuil untuk melakukan amalan ritual agama asal ibu atau bapa yang bukan Islam.

Seorang pelajar, Meng Kiat mengeluh kerana penerangan yang disampaikan oleh Dr Zakir Naik berbeza seperti mana yang beliau dengar daripada rakan-rakannya. Lalu Dr Zakir Naik menjelaskan bahawa puncanya ialah beliau lebih banyak mendapatkan informasi tentang Islam daripada bukan sumber sebenar, justeru beliau patut mendapatkan informasi dari sumber yang jelas iaitu al-quran. Apabila ditanya adakah beliau mahu mengucapkan syahadah, beliau memaklumkan belum bersedia.

Seorang lagi pelajar, Senkiran Dharma, mengambil peluang malam itu untuk mengucapkan syahadah dan menajdi seorang muslim. Islam tidak asing kepadanya kerana dalam keluarganya sudah ada yang menjadi muslim. Justeru, kesempatan bersama Dr Zakir Naik menjadikannya lebih yakin.

Keupayaan Dr Zakir Naik menarik kehadiran ribuan orang untuk mendengar syarahannya sangat mengagumkan. Ada beberapa kemahiran yang ada pada beliau untuk kita pelajari.

Pertama, beliau memiliki ilmu perbandingan agama yang mantap mencakupi agama Islam, kristian dan hindu. Beliau juga boleh memetik mana-mana ayat atau surah dari al-quran, injil atau veda dengan mudah bagi menguatkan hujah. Di samping itu beliau memberi penjelasan yang mudah berdasarkan logik.

Kedua, penguasaan bahasa Inggeris yang sangat baik walaupun tebal dengan loghat India. Bagaimanapun penjelasannya menggunakan perkataan yang mudah.

Ketiga, berupaya menarik kehadiran pendengar bukan Islam melalui tajuk syarahan yang bersifat ingin tahu. Keutamaan diberikan kepada mereka untuk bertanya.

Keempat, menggunakan pendekatan konfrantasi untuk mengajak bukan Islam kepada Islam. Jika yang bertanya itu bersetuju, beliau akan memimpin syahadah.

Di Malaysia, kita belum dapat melahirkan pendakwah yang bersifat massa seperti Dr Zakir Naik. Kita masih lagi di peringkat awal untuk membentuk pendakwah yang memiliki pakej lengkap dakwah khususnya penguasaan bahasa Inggeris dan ilmu perbandingan agama.

Kita berharap agensi agama Islam di Malaysia lebih agresif menubuhkan akademi latihan pendakwah supaya lebih ramai pendakwah dapat diketengahkan pada masa hadapan. Rancangan seperti Imam Muda atau Dai' sangat baik dan wajar diteruskan dari semasa ke semasa. Pada masa yang sama dapat mengubah stigma takut kepada perbandingan agama. 

Seperti yang diutarakan oleh Dr Zakir Naik berkenaan tajuk Similarities between Hiduism and Islam, tajuk ini tidak digemari oleh orang Islam di negara lain sebaliknya di Malaysia tajuk yang sama tidak disenangi oleh masyarakat Hindu. Stigma beginilah yang perlu diubah supaya masyarakat pelbagai kaum dan agama ini dapat memahami agama masing-masing dan bertoleransi dalam kehidupan bernegara.


Post a Comment