Saturday, April 02, 2016

Kesedaran kesihatan dari perspektif etnik







1.0       Pendahuluan

Masalah kesihatan di Malaysia kini mengalami revolusi. Jika dahulu kebanyakan masyarakat mengalami masalah kekurangan zat galian dan vitamin tetapi hakikat hari ini telah berubah yang mana masyarakat mengalami masalah kesihatan disebabkan terlebih makan dan seterusnya berlanjutan kepada masalah lebihan kolesterol, lebihan gula dan kegemukan.

Di Malaysia, menurut kaji selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS) menunjukkan kira-kira 2.6 juta penduduk Malaysia menghadapi masalah kesihatan dan 60 peratus daripadanya ialah dari etnik Melayu, Cina dan India. Antara faktor yang menyumbang peningkatan jumlah masalah kesihatan antara tiga etnik yang disebutkan tadi ialah, berat badan berlebihan, genetik (penyakit keturunan), gaya hidup dan diet tidak seimbang, pengambilan alkohol, merokok dan tidak menjalani pemeriksaan perubatan secara berterusan atau berjadual.

Penyakit yang wujud dalam masyarakat sekarang adalah kerana manusia itu sendiri tidak mengikut peraturan yang telah disusun oleh Allah swt dan tidak mengikut sunnah yang telah diajar oleh Rasulullah saw. Ia berlaku akibat kelalaian dan kealpaan manusia itu sendiri kerana tidak menjaga keseimbangan dalam kehidupan mereka. Keseimbangan adalah penting untuk kita mengekalkan kesihatan yang optimum. Namun, disebabkan kegagalan dan kealpaan inilah menyebabkan mereka mendapat pelbagai penyakit. Seperti mana yang termaktub dalam surah ar-Ruum ayat 41 yang mana Allah mengingatkan kita hambanya bahawa kerosakan di muka bumi ini adalah akibat daripada perbuatan manusia itu sendiri dan mereka perlu bertanggungjawab dan merasakan akibat daripada perbuatan tersebut.

Justeru itu, kajian yang telah dilakukan ini meninjau bagaimana sejarah pengambilan makanan tiga etnik utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India memberi kesan kepada budaya pengambilan makanan dan penjagaan kesihatan hari ini. Selain itu, kajian turut mengkaji melihat bagaimana corak pengambilan makanan dan penjagaan kesihatan masyarakat masa kini kesan daripada pengaruh budaya dan perkembangan sains dan teknologi yang menghasilkan makanan dengan kuantiti yang banyak seperti makanan segera dan cara penggayaan hidup yang tidak sihat.

Seterusnya wujud berbagai-bagai jenis makanan segera (moden) seperti piza, burger dan ayam goreng yang begitu popular dalam kalangan masyarakat kini. Di samping munculnya berbagai-bagai jenis makanan ringan dengan pelbagai perisa dan perasa yang juga menimbulkan tanda tanya adakah makanan ini akan menjejaskan tahap kesihatan dan sejauh mana pula ia diterima oleh masyarakat kini. Persoalan ini menyebabkan kajian yang lebih lanjut perlu dilakukan berhubung dengan pengambilan makanan segera serta bagaimana ia mempengaruhi corak pengambilan makanan tradisi antara tiga etnik ini. Juga terdapat cabaran tentang bagaimana menguatkuasakan ajaran agama antara tiga etnik ini di dalam penghasilan makanan moden hari ini. Sebagai contoh etnik Melayu, adakah ketulenan budaya Islam dalam soal pengambilan makanan ini akan tergugat dengan cabaran moden yang timbul pada hari ini.

1.1       Objektif Kajian

Objektif kajian ini ialah mengetahui tahap kesedaran etnik terhadap kesihatan, mengenal pasti kesan daripada tahap kesedaran etnik terhadap kesihatan, mengenal pasti faktor-faktor lain yang mempengaruhi tahap kesihatan dan mencadangkan langkah-langkah kesedaran etnik terhadap amalan gaya hidup sihat.

1.2       Kepentingan Kajian

Kajian dijalankan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat di Malaysia tentang pentingnya kesihatan. Hal ini kerana kesihatan adalah salah satu aspek penting yang mempengaruhi rutin harian dan kehidupan kita. Seterusnya untuk mengetahui tahap kesedaran etnik terhadap kesihatan melalui cara-cara etnik utama menjaga kesihatan mereka. Oleh itu, semua etnik dapat muhasabah diri serta meningkatkan lagi penjagaan kesihatan. Hal ini kerana tahap kesedaran masyarakat terhadap kesihatan sangat membimbangkan.

Kajian ini juga mencari faktor-faktor lain yang mempengaruhi tahap kesihatan dapat dikenal pasti melalui kajian ini. Oleh yang demikian, masyarakat dapat mengetahui faktor-faktor lain yang mempengaruhi kesihatan sekali gus dapat meningkatkan lagi penjagaan kesihatan.  Akhir sekali kajian ini dapat memberi panduan dalam langkah-langkah untuk meningkatkan kesedaran etnik terhadap amalan gaya hidup sihat. Beberapa langkah dapat dikenal pasti untuk meningkatkan kesedaran etnik terhadap kesihatan. Oleh itu, masyarakat dapat mengenal pasti dan mengamalkan langkah-langkah tersebut.


2.0       Metodologi Kajian

Kajian ini menggunakan soal selidik dan temu bual sebagai kaedah untuk mendapatkan maklumat dan data. Pemilihan responden telah dilakukan secara rawak bagi mendapatkan taburan secara menyeluruh. Borang soal selidik telah diedarkan kepada 30 responden. Hasil soal selidik dikumpul untuk mendapatkan pandangan responden dan juga digunakan sebagai data dalam kajian. Manakala temu bual dilakukan ke atas tiga responden yang berbeza etnik di UTeM. Soal selidik dibahagikan kepada empat bahagian iaitu latar belakang responden, aras kesedaran diri terhadap kesihatan, kesan daripada mengamalkan gaya hidup yang sihat dan langkah-langkah yang sesuai untuk meningkatkan aras kesedaran kesihatan etnik.

Seterusnya kajian turut melaksanakan pemerhatian terhadap bilangan anggota masyarakat yang beriadah pada waktu petang dan latar belakang etnik telah direkodkan mengikut etnik. Kaedah ini dilakukan di Stadium Tun Fatimah dan di gerai-gerai makanan di Melaka.


3.0       Hasil Kajian


Rajah 1: Peratusan etnik yang mengambil berat terhadap kesihatan

Merujuk kepada Rajah 1, tahap kesedaran etnik Cina terhadap kesihatan mempunyai peratusan yang paling tinggi iaitu 45% dan diikuti oleh etnik Melayu dengan peratusan 34% dan etnik India 15 %. Rajah ini menunjukkan bahawa etnik Cina lebih mementingkan kesihatan berbanding etnik lain.


Rajah 2: Peratusan etnik yang keluar beriadah pada waktu petang

Rajah 2 di atas menunjukkan bilangan peratusan etnik yang keluar beriadah pada waktu petang. Etnik Cina merupakan etnik yang majoriti keluar beriadah dengan peratusan 63% dan diikuti oleh etnik Melayu dengan peratusan 21% dan etnik India, 11% dan lain-lain sebanyak 5%.


Rajah 3: Bilangan ahli keluarga responden dari setiap etnik yang menghidap penyakit kronik

Rajah 3 mendapati etnik India merupakan etnik yang paling banyak menghidap penyakit kronik akibat mengabaikan aspek kesihatan dalam diri masing-masing. Seterusnya diikuti oleh etnik Melayu dan paling kurang bilangan penghidap penyakit kronik adalah Cina. Hal ini dapat dibincangkan dengan temu bual beberapa responden.


4.0       Kesimpulan

Secara keseluruhannya, kajian ini telah membincangkan aras kesedaran tiga etnik utama di Malaysia (Melayu, Cina, India) terhadap kesihatan sekali gus dapat  menjawab objektif dalam kajian ini. Kajian juga dapat mengenal pasti kesan-kesan daripada tahap kesedaran etnik terhadap kesihatan. Dengan adanya kesedaran ini dalam diri setiap individu, kesihatan boleh ditingkatkan dan penyakit boleh dijauhi. Hasil kajian menunjukkan etnik Cina sangat mengutamakan kesihatan diikuti dengan Melayu dan seterusnya India. Ketiga tiga etnik utama (Melayu, Cina dan India) mempunyai gaya hidup yang berbeza dalam penjagaan kesihatan sekali gus memberikan tahap kesihatan yang berbeza.

Kajian ini menyarankan Badan Kesihatan Sedunia (WHO) mendefinisikan kesihatan sebagai tahap atau keadaan yang mana seseorang individu itu mempunyai kesejahteraan yang sempurna dari segi fizikal, mental dan sosial dan bukan semata-mata bebas dari penyakit. Langkah-langkah proaktif harus dilakukan untuk mencegah penyakit seperti mempromosikan dimensi kesihatan yang positif dan menjurus ke arah kesejahteraan hidup, kempen anti merokok, anti alkohol dan anti dadah. Kerajaan juga boleh menyiarkan tentang pentingnya kesihatan di media massa seperti menyiarkan iklan tentang bahaya dan kesan kepada perokok agar dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya rokok.


Rujukan

Ahmad Ridzwan Mohd N., Nor Azila A., Norliah K., Mahadi A. H., Shahrulanuar M., Ismail I., Radzuan N., Ali Hafizar Mohd R. (2015). Falsafah Sains & Teknologi.  Melaka: Penerbit UTeM.  

Sareswati a/p Balakrishnan, Peranan Kerajaan dalam Mempertingkatkan Taraf Kesihatan Masyarakat, 2010. Diakses dari http://kesihatansemua.blogspot.my/2010/09/peranan-kerajaan-dalam-mempertingkatkan.html.

Titas UKM, Amalan Kesihatan Berdasarkan Etnik, 2014. Diakses dari   titasukm613.blogspot.my/2013/04/amalan-kesihatan-berdasarkan-etnik.html?m=1.

Mohamad Zahir Zainudin, Pengaruh Tamadun Luar Dalam Kehidupan Masyarakat Melayu, 2015. Diakses dari http://zahirzainudin.blogspot.my/2015/03/pengaruh-tamadun-luar-dalam-kehidupan.html


Post a Comment