Tuesday, April 12, 2016

Gelar 'syaitan', pemimpin politik undang kemarahan







Akhirnya, program syarahan umum Dr Zakir Naik, “Similarities between Hinduism and Islam” atau (Persamaan Antara Hindu and Islam) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka dibatalkan.

Dalam kenyataan media yang disiarkan oleh universiti tersebut, wujud bantahan dan laporan polis terhadap penganjuran program itu di samping arahan daripada Polis Diraja Malaysia supaya program berkenaan tidak diteruskan. Justeru, penganjur program, Hidayah Centre Foundation perlu mencari tempat alternatif sekiranya mahu meneruskan syarahan umum tajuk berkenaan.

Bantahan dan laporan polis telah dibuat oleh parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan seperti Malaysian Indian Congress (MIC), Hindu Rights Action Force (Hindraf) dan Malaysia Hindu Sangam. Pemuda MIC bertindak membuat laporan polis bagi menghalang Dr Zakir Naik menyampaikan syarahannya di Malaysia di samping menimbang untuk mendapatkan perintah mahkamah. Manakala Hindraf mengeluarkan kenyataan mendesak kerajaan Malaysia menghalang beliau daripada memasuki Malaysia dan menggelarkannya sebagai virus dalam masyarakat berbilang kaum.

Bantahan paling mengecewakan datangnya dari Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Prof Dr P.Ramasamy yang menggelar Dr Zakir Naik sebagai “syaitan”. Perkataan yang dikeluarkan itu telah menimbulkan kemarahan umat Islam Malaysia menyebabkan pejabatnya dilontar bom petrol. Seterusnya beliau dituduh sebagai anti-Islam dan anti-Muslim.

Tajuk “Similarities between Hinduism and Islam” ini nampaknya memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat Islam dan Hindu di Malaysia menyebabkan pihak polis masuk campur untuk meredakan ketegangan. Tajuk syarahan yang dikatakan mengundang kontroversi itu sebenarnya sudah ada di Youtube dan boleh dicapai di sini.

Kita tinggalkan mereka yang benci dan marah kepada Dr Zakir Naik, biarkan mereka mengurus emosi masing-masing di samping memastikan agensi keselamatan mengawasi kehidupan kita.

Saya telah mengenali Dr Zakir Naik sejak kewujudan YouTube iaitu hampir sepuluh tahun lalu ketika saluran itu masih beroperasi di luar kawalan Google. Syarahan beliau menarik jutaan pelayar untuk mendengar hujah yang disampaikan. Ada ketikanya syarahan umum ini dibuat dengan kehadiran ribuan penonton sama ada Islam, kristian, hindu atau buddha malah ateis. Tarikan syarahannya di media sosial diiktiraf oleh ramai pihak sehingga timbalan presiden Youtube, Tom Pickett menyifatkan Dr Zakir Naik sebagai “mengagumkan” kerana mendapat “likes” yang tinggi dan popular.

Latar belakang Dr Zakir Naik amat mudah. Beliau adalah seorang doktor perubatan dan menjadi presiden Islamic Research Foundation, India.

Di negaranya, India, pada tahun 2009, beliau berada pada kedudukan 82 dalam “The 100 Most Powerful Indian”. Di peringkat global, beliau berada pada kedudukan 70 dalam “500 Most Influential Muslim in the World” bagi tahun 2011, 2012, 2013/14 dan 2015/16.

Pencapaiannya dalam bidang perbandingan agama banyak merujuk kepada al-quran dan hadis, logik dan saintifik. Justeru, beliau sentiasa dambakan soalan yang mencabar dan bersifat analisis kritikal.

Oleh kerana tahap keilmuan yang tinggi dalam bidang ini, Dr Zakir Naik sentiasa menerima jemputan. Beliau telah menghadiri lebih daripada 2000 syarahan sejak 20 tahun lepas di Amerika Syarikat, Kanada, UK, Itali, Perancis, Arab Saudi, UAE, Kuwait, Qatar, Bahrain, Oman, Mesir, Australia, New Zealand, Afrika Selatan, Botswana, Nigeria, Ghana, Gambia, Maghribi,  Algeria, Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand, Hong Kong, China, Guyana (South America), Trinidad, Mauritius, Sri Lanka dan Maldives di samping puluhan syarahan di India. Pada tahun 2012, beliau menyampaikan syarahan umum di hadapan lebih sejuta orang di Bihar, India.

Dialog antara agama juga menjadi fokusnya. Pada tahun 2006, beliau mengadakan dialog dengan tokoh utama Hindu, Sri Sri Ravi Shankar melalui topik “The Concept of God in Hinduism and Islam in the Light of Sacred Scriptures” bertempat di Bangalore, India. Dialog ini menerima sambutan yang baik daripada kedua-dua penganut Islam dan Hindu.

Berdasarkan usaha dakwah dan galakan kefahaman antara agama, beliau dianugerahkan penghargaan dan pengiktirafan oleh pemimpin negara Islam.

Raja Salman Abdul Aziz dari Arab Saudi menganugerahkan “King Faisal International Prize” kepadanya pada tahun 2015 kerana “Khidmat kepada Islam”. Di samping mendapat pingat emas 24 karat, beliau turut diberikan US$200,000.

Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum, timbalan presiden dan perdana menteri Emiriah Arab Bersatu telah menganugerahkannya “Islamic Personality of 2013” dan menerima penghargaan sebanyak US$272,000. Semua wang itu kemudiannya diwakafkan kepada Peace TV Network.

Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menganugerahkan “Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa 2013” kerana sumbangan besar dalam memartabatkan Islam di peringkat nasional dan global yang diiktiraf oleh pelbagai pihak. Beliau turut menerima RM100,000, pingat dan sijil penghargaan yang ditandatangani oleh perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Sheikh Dr Sultan Mohammed Al Qasimi, pemerintah Sharjah menganugerahkan “Sharjah Award for Voluntary Work” bagi tahun 2013 untuk khidmat beliau kepada Islam di peringkat antarabangsa pada 16 Januari 2014.

Kerajaan Gambia juga menganugerahkannya “The Insignia of the Commander of the National Order of the Republic of The Gambia” pada tahun 2014 kerana sumbangannya yang cemerlang dalam penyebaran pengetahuan bagi mempromosi penyelidikan dan penyampaian perkhidmatan masyarakat antarabangsa.

Di media sosial, Facebook beliau menerima lebih lapan juta “likes” dalam masa kurang daripada dua tahun, satu pencapaian yang hebat bagi penyampai agama berbahasa Inggeris di seluruh dunia.

Berdasarkan pencapaian beliau dan anugerah yang diterima, bolehkah beliau diberi gelaran “syaitan” sepertimana yang diungkapkan oleh P. Ramasamy itu?



No comments:

Post a Comment