Monday, August 12, 2013

RM2b dana usahawan mikro







Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) terus komited menggalas mandat kerajaan bagi mengurangkan kemiskinan rakyat dengan memperuntukkan pinjaman lebih RM2 bilion kepada usahawan mikro sebagai modal perniagaan, tahun depan.

Pengarah Urusan, Datuk Zabidah Ismail, berkata pinjaman itu dijangka mampu memberi manfaat kepada lebih 340,000 ahli atau Sahabat AIM sebagai modal pusingan menjalankan perniagaan mereka di seluruh negara. 


Katanya, AIM yang melaksanakan beberapa program transformasi bagi penambaikan perkhidmatannya setakat ini juga berjaya membatu menaik taraf lebih 4,000 usahawan AIM kepada yang berstatus perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Bagaimanapun, objektif kami masih sebagai agensi yang membantu kerajaan mengurangkan kemiskinan dan kemudian diperluaskan untuk merangkumi mereka yang berpendapatan rendah menerusi penyediaan modal untuk mereka berniaga.

“Peranan AIM kini semakin penting seiring dengan matlamat kerajaan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi. Ia termasuk keupayaan menyediakan pinjaman kepada usahawan mikro serta membantu mereka meningkatkan peranan mereka kepada status PKS,” katanya ketika ditemui BH di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Kerajaan beri mandat


Beliau berkata, AIM diberikan mandat oleh kerajaan menerusi program Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk mewujudkan 1,000 usahawan PKS setahun sejak 2009, dan kini jumlah itu sudah melebihi sasaran dan dijangkakan terus meningkat.

Katanya, agensi itu komited untuk membangunkan lebih ramai usahawan berpendapatan lebih RM3,500 sebulan menerusi pelbagai program bimbingan dan pembangunan perniagaan yang disediakan.

Ia termasuk memberi pendedahan kepada mereka mengenai sektor strategik yang dikenal pasti khususnya berkaitan teknologi bagi meningkatkan kecekapan perniagaan mereka.

“Kami menyasarkan untuk mewujudkan kira-kira 500,000 Sahabat menjelang 2015 dengan 30 peratus daripadanya berstatus PKS dan AIM sudah berada di landasan kukuh bagi mencapai sasaran ini,” katanya.

Pada masa ini AIM, katanya, menawarkan pinjaman RM3,000 hingga RM50,000 bagi pelbagai skim pembiayaan ekonomi untuk usahawan mikro dan kecil-kecilan. Kira-kira 50 peratus pinjaman dikeluarkan untuk sektor peruncitan.

“Pinjaman AIM juga disasarkan kepada keluarga muda kerana dengan pertambahan populasi, masih ada yang belum keluar daripada kepompong kemiskinan disebabkan kos kehidupan yang meningkat dan keperluan asas tidak mencukupi.

“Kami memberi tumpuan kepada kawasan pertumbuhan baru dan mereka yang berpindah dari kampung ke bandar. Mereka boleh menjana pendapatan menerusi aktiviti perniagaan kecil-kecilan,” katanya.

Salur pinjam RM9b

Beliau berkata, sejak penubuhan AIM pada 25 tahun lalu, agensi itu sudah menyalurkan pinjaman kira-kira RM9 bilion dan bagi tempoh separuh pertama tahun ini, RM800 juta pinjaman sudah dikeluarkan daripada RM2 bilion yang disasarkan tahun ini.

Katanya, AIM juga bercadang untuk membuka beberapa lagi cawangan baru tahun depan sebagai tambahan kepada 123 cawangan sedia ada dalam usaha memperluaskan perkhidmatan ditawarkan khususnya di luar bandar dan kawasan yang padat dengan penduduk berpendapatan rendah.             


(Berita Harian, 12 Ogos 2013)

                        

No comments:

Post a Comment