Sunday, August 11, 2013

Enam hari pelengkap setahun






oleh Ahmad Husni Abd. Rahman

Salam Aidilfitri buat semua. Semoga kemeriahan dan segala yang indah di Aidilfitri memberi maksud sebenar kemenangan atas perjuangan dan tarbiah sebulan Ramadan. Harapannya agar bukan sahaja pakaian baru dan cantik terhias di tubuh, tetapi yang lebih utama adalah pakaian 'takwa' yang menyaluti diri insan itulah yang lebih diutamakan.

Sudah tentu dalam perbualan kita di hari raya ini terselit sejambak kerinduan buat Ramadan. Suasana, semangat dan kemeriahan ibadah itu pasti akan menggamit kenangan yang sukar diungkap oleh perkataan mahupun tulisan. Segala fadhilat di dalamnya pasti dirindui oleh mereka yang beriman. Tidak hairanlah para sahabat r.a sentiasa menginginkan agar Ramadan berterusan sepanjang tahun. Namun, segala-galanya telah ditentukan. Ia hanya datang dalam sebulan. Justeru, fadhilatnya mampu dimiliki dan diteruskan. Bulan Syawal empunya medan. Enam hari menggenapkan bilangan. Puasa setahun yang menjadi idaman.

Fadhilat dan Kelebihan

Dalam sebuah hadis sebagaimana diiriwayatkan oleh Abu Ayyub al-Ansari, Nabi SAW pernah bersabda : "Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian mengikutinya dengan puasa pada enam hari pada bulan Syawal maka dia seolah-olah seperti berpuasa selama setahun." [Hadis riwayat Bukhari dan Muslim]

Imam al-Nawawi rahimahullah menukilkan kata-kata para ulama sebelumnya dengan mengatakan bahawa perumpaan puasa enam itu dengan setahun kerana setiap kebaikan akan diberikan ganjaran sebanyak sepuluh kali ganda. Maka puasa sebulan Ramadan seolah-olah menyamai puasa selama 300 hari dan tambahan enam lagi melengkapkan bilangan 360 hari yang mewakili jumlah setahun Qamariyyah.

Begitu juga pandangan daripada Imam Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali daripada Ibn al-Mubarak mengatakan bahawasanya puasa enam dalam bulan Syawal menuruti puasa Ramadan dari aspek fadhilat dan ganjaran pahala. Maka ganjarannya seolah-olah setahun berpuasa fardu.

Selain manfaat dan ganjaran pahala, puasa enam juga mempunyai kelebihan dari aspek kesihatan. Antara kelebihan dan keajaiban puasa enam Syawal dari perspektif kesihatan, dinukilkan daripada kajian-kajian dan ujikaji perubatan sebagaimana yang ditulis oleh Dr. Jamal Muhammad al-Zakiyy dalam bukunya Tibb al-I'badat bahawasanya jika seserang itu berpuasa dalam sehari tubuh badannya boleh dibersihkan (detox) dari zat-zat yang berlebihan (tidak diperlukan badan) dan racun-racun yang termendap dalam tubuh selama 10 hari.

Justeru, proses detoxification ini berlaku dalam tempoh 10 hari dengan hanya sehari berpuasa. Jadi, dalam setahun tubuh manusia perlu berpuasa sekitar 36 hari untuk proses detoxification ini berlaku secara total. Kiraannya adalah semudah 36 hari iaitu jumlah keseluruhan 30 hari Ramadan ditambah dengan 6 hari Syawal dan setiap hari itu mewakili 10 hari tempoh detoksifikasi tubuh manusia yang berjumlah akhirnya sebanyak 360 hari mewakili jumlah hari dalam setahun berdasarkan kalendar Hijri.

Hikmah Yang Tersirat

Subhanallah! Hebat sungguh kelebihan yang Allah kurniakan menerusi sunah agung ini. Sesungguhnya puasa enam di bulan Syawal ini merupakan manifestasi kesyukuran serang hamba kepada Allah atas segala nikmat yang telah diperolehi sepanjang sebulan Ramadan. Ini juga adalah bukti kecintaan kepada ketaatan dan kebencian terhadap melakukan maksiat dan kederhakaan kepada al-Rahman. Ia juga menjadi pemacu kepada amal kebajikan yang berterusan dan kebaikan yang bertambah-tambah serta kelangsungan beramal soleh.
 
Jangan sekali-kali menukar roh ketaatan dalam bulan Ramadan dengan menyambung maksiat pada bulan Syawal. Adapun perbuatan ini menurut Ibn Rajab adalah umpama membalas segala nikmat Allah dengan kekufuran. Bisyr al-Hafi juga mengungkapkan adalah sangat buruk pekerti mereka yang hanya mengenal Allah di dalam bulan Ramadan. Namun, seorang hamba yang soleh akan melangsungkan ibadahnya sepanjang tahun.
 
Puasa enam ini juga diibaratkan seperti solat-solat sunat yang menghiasi dan melengkapi solat-solat fardu. Jika aspek keduniaan kita inginkan kesempurnaan, mengapa pula aspek akhirat kita berpada hanya sekadar cukup makan? Sangat pelik sifat manusia yang mengejar sesuatu yang bakal ditingalkannya dari dunia lantas melupakan akhiratnya yang kekal selama-lama.
 
Jika manfaat kesihatan yang diinginkan, maka ia juga tersedia buat kita. Semoga bukan racun fizikal sahaja yang ditendang keluar, tetapi yang lebih hebat lagi racun kekufuran, syirik dan nifaq juga terdetoksifikasi dari hati yang sewajarnya hanya diisi dengan takwa dan keimanan.
 
Ingatlah wahai teman, sesunggunya tiada yang lebih indah dan lazat bagi seorang hamba melainkan setelah merasai kemanisan iman. Tiada yang dapat merasa manisnya kecuali telah dilaksanakan segala tuntutan dan dimurnikan segala bentuk ketaatan. Ibarat seorang yang mahu menceritakan tentang manisnya madu. Bagaimana mungkin dia mampu mengungkapkan manisnya sedangkan madu itupun belum pernah dikecapinya?
 
Jangan jadikan alasan menghadiri jemputan perayaan dan rumah terbuka sebagai pemusnah amalan. Ia mampu dirancang dan disusun dengan baik. Bukan hanya kehendak selera yang ingin dirai, namun kehendak iman dan peluang beramal juga perlu diberi perhatian. Hargailah kesempatan yang hanya datang setahun sekali. Ketahuilah bahawa musim ketaatan bagi seorang hamba itu berlangsung sepanjang hidupnya. Ia hanya akan kunjung hentinya setelah hamba itu menziarahi sendiri ruangnya di pusara. Justeru, pastikan tindakan dan segala perancangan usia kita punya nilai ibadah. Agar kelak tiada penyesalan tatkala dihisab di mahkamah Tuhan.

(Utusan Malaysia, 11 Ogos 2013)

 

No comments:

Post a Comment