Wednesday, August 28, 2013

Integrasi etnik di Malaysia





Makanan menyatukan rakyat Malaysia

Integrasi bermaksud satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan kumpulan yang terpisah. Integrasi sosial pula membawa maksud proses penyesuaian antara unsur-unsur yang saling berbeza dalam kehidupan masyarakat sehingga menghasilkan pola kehidupan masyarakat yang memiliki keserasian fungsi.
Integrasi nasional pula menerangkan suatu proses yang menyatupadukan pelbagai kelompok dalam masyarakat melalui  satu identiti bersama dengan menghilangkan perbezaan dan identiti masing-masing. 
Integrasi kaum ini terjadi dari dulu lagi disebabkan pendidikan berorientasikan kaum. Pengasingan institusi pendidikan berteraskan kaum di Malaysia juga merupakan suatu masalah besar yang dihadapi masyarakatnya. Tidak perlu dinafikan, pendidikan adalah wahana penting untuk mengintegrasikan kaum. Namun, adalah malang di Malaysia sistem pendidikannya terutama di sekolah rendah adalah berteraskan satu-satu kaum sahaja.

Perpaduan yang seharusnya diajarkan kepada masyarakat semenjak  mereka kecil telah menemui kegagalan di dalam konteks ini kerana diasingkan mengikut aliran persekolahan rendah yang berbeza. Dalam kes ini, kaum Cina dan India tidak mahu sistem pendidikan yang menggunakan bahasa ibunda mereka dihapuskan. Justeru mereka tetap berkeras untuk mengekalkan sekolah-sekolah aliran Cina dan Tamil di Malaysia. Hasilnya, perpaduan kaum yang longgar akan berlaku. 
Pendidikan yang seharusnya menjadi platform terawal ke arah penerapan nilai perpaduan di dalam jiwa rakyat Malaysia yang pelbagai kaum telah secara tidak langsung, memecahbelahkan kaum-kaum ini semenjak kecil. Bahkan, tidak keterlaluan jika dikatakan, kerana wujudnya sistem pendidikan berteraskan kaum ini, fahaman perkauman telah diterapkan di dalam minda masyarakat pelajar semenjak mereka berada di bangku sekolah rendah lagi. Justeru, apabila mereka ini berada di institusi pengajian tinggi, mereka akan terbawa-bawa dengan cara pergaulan dari sekolah rendah dan tidak hairan jika mereka berpuak-puak mengikut kaum masing-masing.
Hubungan etnik dan integrasi adalah isu yang penting dalam pembinaan negara Malaysia yang berbilang etnik. Selain etnik Melayu, Cina, dan India, terdapat etnik lain seperti Orang Asli, Kadazandusun, Bajau, Iban, Bidayuh dan lain-lain lagi. Kepelbagaian ini menuntut satu pendekatan yang membolehkan ke semua etnik ini dapat hidup bersama dan berusaha memajukan negara tanpa perasaan syak wasangka dan tidak selamat.
Dalam satu dekad kebelakangan ini, pengenalan kursus-kursus yang memfokuskan kepada pembelajaran dan pemahaman budaya yang berbeza di institusi pengajian tinggi pula cuba menimbulkan perasaan menghargai dan kefahaman yang lebih dalam kalangan mahasiswa kepada budaya dan tamadun yang berbeza yang ada di sekeliling mereka. Ini dilakukan dengan pengenalan kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia dan seterusnya, pengenalan konsep Islam Hadari tidak lama dulu di peringkat nasional.

Kursus Hubungan Etnik yang diperkenalkan sejak tahun 2006 di pusat pengajian tinggi pula adalah satu usaha untuk menangani masalah hubungan etnik yang sering menjadi isu dalam pembangunan negara. Ianya bukan hanya memberi pendedahan kepada konsep-konsep hubungan etnik, malah pelajar diberikan peluang untuk melakukan aktiviti bersama untuk membolehkan kefahaman yang lebih mendalam bagaimana masyarakat pelbagai etnik dapat bekerjasama dan berinteraksi.
Kajian-kajian mengenai pelbagai dimensi persoalan hubungan etnik dan integrasi nasional dilakukan kebanyakannya oleh pensyarah dan juga pelajar sarjana dan doktor falsafah dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Selain itu, terdapat penyelidik dari universiti-universiti lain yang menjalankan penyelidikan dalam tema yang sama termasuk universiti-universiti baru. 

Secara umum, kajian-kajian bidang hubungan etnik dan integrasi nasional boleh dianalisis menurut dua kategori iaitu Hubungan antara etnik yang merupakan satu komponen penting pembangunan sosial dalam pembinaan negara dan kajian yang bersifat dalaman etnik itu sendiri, misalnya kajian tentang ritual, budaya atau kelakuan etnik itu secara khusus, tetapi isinya mempunyai pengajaran untuk pembangunan sosial.  Kajian-kajian mengenai hubungan etnik dan integrasi nasional menunjukkan kepelbagaian tema yang agak menarik dan penting. Antaranya termasuklah integrasi dalam kalangan pelajar, toleransi agama, pendidikan, bahasa, kebudayaan dan cara hidup, sosioekonomi dan peranan media dalam menjaga dan memupuk hubungan etnik.
Pelajar dan belia merupakan pelapis kepada pembinaan dan pembangunan negara. Golongan ini yang akan menentukan tahap hubungan etnik dan integrasi nasional pada masa hadapan. Oleh itu, kajian mengenai tahap hubungan dan integrasi dilakukan dari peringkat sekolah hinggalah peringkat pengajian tinggi untuk menilai statusnya. Kajian Hazri Jamil et.al (2004) USM, berjudul “Hostiliti atau Harmoni dalam Interaksi Sosial Pelajar Budaya Majmuk di Sekolah-sekolah Menengah Pulau Pinang” menilai keharmonian dalam interaksi sosial pelajar majmuk di sekolah.
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pula cuba membangunkan para remaja agar lebih patriotik dan cinta kepada negara dengan pengisian pelbagai aktiviti yang melibatkan fizikal, menal, pembinaan karektor, kenegaraan dan kemasyarakatan. Walaupun pada awal tahun pelaksanaannya ia menerima pelbagai reaksi dan kritikan lebih-lebih lagi dari segi pengurusan, namun kini diakui oloh pelbagai pihak bahawa program ini dapat membentuk sikap yang lebih positif dalam kalangan generasi muda pelbagai kaum terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Di samping itu, pergaulan di anatara etnik juga dapat diperbaiki dengan penglibatan semua peserta dalam aktiviti kerjasama dan berkumpulan. Penemuan seperti ini terdapat dalam kajian Zaliha Hussin (2005) UiTM, berjudul “Kajian Tinjauan Mengenai Kaedah Pengurusan dan Pengendalian Program Khidmat Negara”.
Kajian tentang tahap hubungan etnik dan integrasi dalam kalangan pelajar diteruskan lagi di peringkat pengajian tinggi. Kajian Nga Lay Hui @ Janice Nga (2005) UMS, berjudul “ Integrasi Antara Kaum dalam Kalangan Penuntut-penuntut di Institusi Pengajian Tinggi” mengkaji corak pergaulan dan integrasi dalam kalangan pelajar supaya fahaman etnosentrik dan kelemahan yang dikesan dapat diminimumkan manakala perpaduan sebenar dapat dipergiat dan diteruskan. Kajian ini cuba meneliti bagaimana perbezaan ras dan kekurangan akibatnya dapat dikurangkan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini yang mungkin akan mengancam kestabilan sosial, ekonomi dan politik untuk mendorong pembinaan bangsa Malaysia.

Hal ini adalah kerana golongan pelajar inilah merupakan bakal pemimpin negara dan akan memasuki golongan kelas menengah pada masa hadapan. Sekiranya tahap hubungan dan integrasi memuaskan, maka akan wujud satu masyarakat Malaysia yang harmoni dan berperibadi tinggi, begitu juga sebaliknya.
Kajian yang dilakukan oleh Fatimah Daud (2002) UM, berjudul “Polarasi Kaum dalam Kalangan Pelajar-pelajar Universiti” pula memberi tumpuan kepada hubungan etnik dan polarisasi kaum dalam kalangan pelajar-pelajar di universiti dengan persoalan adakah ethnic maintainance masih kuat atau berkurangan dalam kalangan generasi muda sekarang.

Kajian ini dilakukan untuk melihat sejauh mana golongan pelajar ini bergaul dan berinteraksi dalam sebuah komuniti kampus dan adakah akan mempengaruhi cara pergaulan dan interaksi mereka dengan struktur masyarakat luar yang lebih kompleks. Kajian ini mendapati program yang melibatkan aktiviti bersama, pertukaran program budaya, meningkatkan tahap kefasihan bahasa, dan pemahaman antara agama dapat meningkatkan persefahaman dan perpaduan antara pelajar pelbagai kaum.
Menarik diketahui bahawa untuk meningkatkan integrasi antara kaum dan etnik, faktor penguasaan bahasa memainkan peranan yang memang penting. Bahasa sudah lama memainkan peranan sebagai satu wadah yang dapat mengeratkan integrasi dan hubungan. Kefahaman dan kefasihan bahasa yang tinggi akan memudahkan komunikasi dan seterusnya dapat memupuk perpaduan dan integrasi. Kedudukan Bahasa Malaysia sabagai bahasa kebangsaan mendorong ke arah ini. Pada masa yang sama, penguasaan bahasa kaum lain memang membantu perpaduan.
Kajian Cheng Heng Huat et al., (2002) UiTM, berjudul “Attitude Towards the Learning of Chinese Characters among Students in Universiti Teknologi MARA” pula meneliti sikap pelajar di institusi pengajian tinggi khasnya di UiTM dalam proses pembelajaran tulisan Cina. Hasil kajian mendapati bahawa proses pembelajaran adalah agak sukar akibat kekangan masa pembelajaran serta sifat tulisan bahasa Cina yang agak sukar. Namun, ramai yang beranggapan bahawa bahasa Cina akan menjadi salah satu bahasa yang penting pada masa hadapan. 
Juga terdapat kajian-kajian yang mengkaji etnik minoriti peribumi seperti lajian terhadap cara hidup, amalan seharian, bahasa dan budaya mereka. Kebanyakan etnik yang dikaji adalah dalam kalangan peribumi masyarakat Borneo yang jauh dari arus pembangunan.

Sebagai contoh kajian Hanafi Hussin (2001) UM, berjudul “Ritual Moginom dalam Kalangan Masyarakat Dusun Tatana, Kuala Penyu Sabah” yang mengkaji dan mendokumentasikan ritual Monigom oleh komuniti Tatana untuk beberapa tujuan seperti jamuan tahunan kepada roh nenek moyang, pengubatan dan pembayaran niat.

Sehingga kini, ramai pengamalnya, sedikit demi sedikit mula meninggalkan amalan ritual Moginom sehingga ianya jarang dan hampir tidak dilakukan lagi kerana menganggap amalan tersebut ketinggalan zaman. Ianya satu kehilangan sekiranya kajian dan dokumentasi ritual Moginom ini lewat dilakukan. 
Media massa sama ada media cetak dan elektronik di Malaysia mempunyai kesan dan pengaruh yang tinggi terhadap masyarakat dan pembangunan sosial negara. Dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, media mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan penerbitan mereka boleh mendorong perpaduan dan harmoni. Kajian Baharuddin Aziz (2003) UiTM, berjudul “Media, Patriotisme dan Pembangunan Nasional, Satu Analisa Mengenai Perana Media dan Penghayatan Hari Kemerdekaan (31 Ogos) dalam Kalangan Rakyat Malaysia” hendak mengenal pasti bagaimana media dapat memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dengan menganalisis peranan media penghayatan Hari Kemerdekaan dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Secara tidak langsung, hubungan antara etnik dan kaum dapat dipererat dan lebih mesra melalui kempen kesedaran dalam menyambut sambutan perayaan Hari Kebangsaan.   
Persoalan hubungan etnik dan integrasi nasional sememangnya diakui merupakan perkara yang penting, lebih-lebih lagi dengan keadaan masyarakat Malaysia yang berbilang. Kurangnya kajian tentang etnik Cina dan India dan etnik peribumi lain.

Banyak kajian yang dijalankan tentang perbandingan etnik Melayu atau Islam dengan etnik atau agama lain. Namun, kurang dilakukan kajian perbandingan di antara etnik-etnik lain atau di antara agama-agama lain dan kajian yang ada lazimnya kajian mengenai budaya atau bahasa etnik itu sahaja. Amalan, budaya dan cara hidup dan ini merupakan satu kerugian kepada khazanah warisan negara sekiranya ianya tidak didokumentasikan segera. Kajian mengenai tahap integrasi belia pelbagai etnik samada dari peringkat sekolah rendah, menengah dan IPT juga agak kurang. Kekurangan ini perlu ditampung pada masa akan datang.  

No comments:

Post a Comment