Thursday, August 29, 2013

Kemajuan teknologi hijau di Melaka

 
 
 
 
Durian Melaka yang enak
Teknologi Hijau merujuk kepada pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memelihara alam sekitar dan alam semula jadi dan meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia. Antara contoh penggunaan teknologi hijau ialah menggunakan teknologi suria iaitu tenaga yang dihasilkan oleh cahaya matahari contohnya kaedah fotovolan yang berfungsi menukarkan sinar radiasi daripada matahari kepada arus elektrik menggunakan bahan semikonduktor. Seterusnya, tenaga angin yang menghasilkan tenaga elektrik daripada tenaga kinetik angin (seperti kincir angin) dengan cara memutarkan bilah pemutar pada kincir angin yang menyebabkan turbin angin berputar.
 
Negeri Melaka berusaha menjadi sebuah bandar teknologi hijau melalui pelbagai strategi termasuk pembinaan projek mega Melaka World Solar Valley di kawasan Rembia yang melibatkan pelaburan melebihi RM2 bilion. Bekas Ketua Menteri Melaka iaitu Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, projek di atas tanah seluas 7246.23 hektar itu merupakan kawasan pembangunan teknologi hijau pertama di negara ini dan yang terbesar di dunia. Antara strategi yang dilaksanakan dalam mencapai visi “Bandar Teknologi Hijau” adalah pelancaran Melaka Green City, penubuhan Akademi Teknologi Hijau Melaka, melaksanakan beberapa projek kitar semula minyak masak terpakai sebagai sumber biodiesel, menjalankan kajian mengenai pengurusan sisa buangan bersama pihak Akademi Teknologi Hijau Melaka, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Sirim bagi memastikan kaedah pelupusan sisa buangan bersifat mesra alam dapat diterima pakai oleh masyarakat. 
 
Teknologi Hijau merujuk kepada pembangunan dan aplikasi produk, peralatan dan sistem untuk memelihara alam sekitar dan alam semula jadi dan meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia. 
 
Merujuk laman sesawang Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Green Technology Masterplan terbahagi kepada dua peringkat iaitu kajian baseline dan membentuk pelan tindakan yang terperinci. Pada peringkat pertama ia tertumpu pada enam sektor yang dikenal pasti seperti tenaga, bangunan, pengangkutan, pengurusan air dan sisa, industri pembuatan serta teknologi komunikasi maklumat. Tujuan kajian baseline ialah mengenal pasti kedudukan Malaysia dalam aplikasi teknologi hijau dan mengenal pasti kaedah bagi mengisi analisis jurang yang juga ditumpu dalam peringkat ini. Peringkat kedua ialah mendefinisikan teknologi hijau dan low carbon economy serta merangka Pelan Tindakan Low Carbon Economy yang merangkumi kesemua sektor utama ekonomi. 
 
Seterusnya GreenTech Malaysia yang dilantik oleh kementerian telah membantu dalam menyediakan “Roadmap Infrastruktur Kenderaan Elektrik” dengan mengemukakan tujuh bidang utama bagi pembangunan keseluruhannya. Antaranya ialah rangka institusi, sumber, teknologi, matriks prestasi industri, rantai nilai, pembangunan pasaran dan industri serta projek perintis. KeTTHA, GreenTech Malaysia dan MAI telah menganjurkan 1st Electric Vehicle Roundtable Discussion bagi mengumpulkan maklum balas dan input daripada pemegang taruh. Hasil daripada perbincangan tersebut telah memulakan fasa pertama iaitu 10 basic checklist permulaan roadmap infrastruktur kenderaan elektrik. Dalam fasa kedua projek perintis kenderaan elektrik akan dilaksanakan. Manakala dalam fasa ketiga pula melibatkan penyediaan roadmap keseluruhan kenderaan elektrik yang akan merangkumi 7 key areas yang disenaraikan dalam rangka kerja penyediaan roadmap tersebut. Fasa keempat melibatkan pembangunan infrastruktur kenderaan elektrik peringkat nasional yang ditentukan oleh output dan outcome yang diperoleh daripada fasa ketiga. 
 
Skop roadmap infrastruktur kenderaan elektrik akan merangkumi beberapa aspek utama iaitu regulatori dan pelesenan, pembangunan kod dan piawai, pembangunan stesen caj bateri, punca tenaga, smart grid, teknologi bateri atau penukaran bateri, elektronik kuasa, sistem pemanduan elektrik, keselamatan, pembekalan kenderaan dan komponen dan penyelenggaraan selepas pembelian.
 
Konsep Teknologi Hijau di Melaka
 
Matlamat Kebangsaan mengenai Dasar Teknologi Hijau adalah untuk menyediakan hala tuju dan motivasi untuk rakyat Malaysia terus menikmat kualiti kehidupan yang baik dan persekitaran yang sihat.
 
1. Matlamat Jangka Pendek (Rancangan Malaysia Ke-10)
 
Beberapa matlamat jangka pendek yang ingin dicapai. Pertama adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat melalui program-program sokongan dan komitmen untuk penerimaan dan penerapan teknologi hijau. Kedua, ketersediaan dan pengiktirafan meluas teknologi hijau dari segi produk, aplikasi, peralatan dan sistem di pasaran tempatan melalui piawaian, perkadaran dan pelabelan. Ketiga pula adalah menjadikan Pelaburan Langsung Asing (Foreign Direct Investments, FDIs) dan Pelaburan Langsung Tempatan (Domestic Direct Investments, DDIs) yang lebih besar dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan teknologi hijau. Terakhir ialah institusi-institusi penyelidikan tempatan dan institusi pengajian tinggi dapat mengembangkan penyelidikan, pembangunan dan aktiviti inovasi mengenai teknologi hijau ke arah pengkomersialan menerusi mekanisme yang sesuai.
 
2. Matlamat Jangka Sederhana (Rancangan Malaysia Ke-11)
 
Matlamat pada peringkat ini adalah untuk menjadikan teknologi hijau sebagai pilihan utama dalam memilih produk dan perkhidmatan. Selain itu, teknologi hijau dijangka akan mempunyai pasaran tempatan yang lebih besar berbanding dengan teknologi lain dan akan memberi sumbangan kepada penerimaan teknologi hijau dalam pasaran serantau. Di samping itu, pelbagai peningkatan yang dijangka seperti peningkatan pengeluaran produk teknologi hijau tempatan, peningkatan penyelidikan dan pembangunan serta inovasi teknologi hijau oleh universiti tempatan dan institusi penyelidikan yang dikomersialkan melalui kerjasama dengan industri tempatan dan syarikat multinasional, peningkatan perniagaan SME dan SMI tempatan dalam teknologi hijau ke pasaran global dan peningkatan aplikasi teknologi hijau dalam kebanyakan sektor ekonomi.
 
3. Matlamat Hangka Panjang (Rancangan Malaysia Ke-12 dan seterusnya)
 
Matlamat jangka panjang adalah penerapan teknologi hijau dalam budaya hidup rakyat Malaysia.Selain itu, masyarakat juga diharapkan dapat meluaskan pengetahuan terhadap konsep teknologi hijau dan mengurangkan penggunaan sumber secara keseluruhan di samping mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara. Seterusnya, matlamat jangka panjang yang ketiga adalah mengurangkan signifikan dalam penggunaan tenaga negara.Di samping itu, matlamat yang lain adalah membaiki kedudukan Malaysia dalam peningkatan persekitaran seterusnya menjadikan Malaysia sebagai pengeluar utama teknologi hijau dalam pasaran global danserta meningkatkan kerjasama peringkat antarabangsa dengan universiti tempatan dan institusi penyelidikan dalam industri teknologi hijau.
 
Kriteria Teknologi Hijau 
 
Ia merujuk produk, peralatan atau sistem yang memenuhi kriteria-kriteria berikut iaitu, i)  meminimumkan degradasi kualiti persekitaran, ii) mempunyai pembebasan Gas Rumah Hijau (GHG) yang rendah atau sifar, iii) selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan, iv) menjimatkan tenaga dan sumber asli dan, v) menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui.
 
Kepentingan teknologi hijau diyakini boleh mengatasi masalah kemusnahan alam sekitar dan sumber asli, meningkatkan tahap kesihatan dan kehidupan, memelihara ekosistem, mengatasi masalah bebanan kos kepada kerajaan di dalam usaha menangani kesan negatif daripada pembangunan dan berperanan sebagai alternatif dalam usaha meningkatkan ekonomi nagara tanpa menjejaskan alam sekitar.
 
Kerajaan Negeri Melaka melaksanakan lima langkah utama untuk menjayakan teknologi hijau. Antaranya menubuhkan Akademi Teknologi Hijau, membangunkan Bandar Hijau Hang Tuah Jaya, kempen Melaka bebas Asap Rokok dan Explorasi Hijau.
 
1. Akademi Teknologi Hijau
 
Akademi Teknologi Hijau adalah anak syarikat penuh Yayasan Melaka telah ditubuhkan pada 29 Mac 1996 (Dahulu dikenali sebagai Melaka Dairies Sdn Bhd). Akademi Teknologi Hijau merupakan satu syarikat yang menumpukan usaha penyelidikan, membentuk, membangun dan mempromosi pembudayaan teknologi hijau serta pembangunan kemahiran bidang-bidang lain yang perlu secara lestari yang dapat menyokong merealisasikan Melaka sebagai Negeri Bandar Teknologi Hijau 2020.
 
2. Pembangunan Bandar Hijau Hang Tuah Jaya
  
Hang Tuah Jaya merupakan kawasan pembangunan baru untuk dijadikan model pembangunan Bandar Hijau pertama di  Melaka yang dikenali sebagai “Bandar Hijau Hang Tuah Jaya”. Sejumlah seribu ekar keluasan yang terletak di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) yang terlibat. Konsep Bandar Hijau yang dirancang oleh Kerajaan Negeri Melaka merujuk kepada bandar yang dikategorikan sebagai bandar paling kurang atau cuba mengecilkan pencemaranya, sikap dan komitmen penduduknya yang mesra alam, kualiti udara yang baik, penggunaan sumber tenaga alternatif yang mesra alam, pengangkutan awamnya mesra alam, pengkalan kawasan hijaunya terancang serta melaksanakan polisi mesra alam.
 
3. Melaka bebas Asap Rokok
 
Objektif program adalah untuk mewujudkan beberapa kawasan sebagai bebas asap rokok untuk melindungi hak golongan majoriti bukan perokok dari ancaman pencemaran udara oleh asap rokok. Selain itu, ia juga untuk meggalakkan tidak merokok sebagai amalan cara hidup sihat dalam kalangan masyarakat Melaka dan menggalakkan para perokok untuk berhenti merokok. Di samping itu,  objektif program ini adalah untuk membantu usaha kerajaan negeri mencapai dan mengekalkan status negeri maju dengan melaksanaka persekitaran bebas asap rokok bagi melindungi kesihatan rakyat sejagat. Seterusnya dapat membantu usaha untuk mengekalkan status “Bandaraya Warisan Dunia” dengan melaksanakan projek “Melaka Bebas Asap Rokok” supaya melindungi artifak-artifak dan bangunan-bangunan warisan tamadun sejarah Negeri Melaka daripada kesan kehakisan kepada bangunan dan artifak.
 
4. Program Explorasi Hijau
 
Perbadanan Hang Tuah Jaya mengambil langkah untuk memberi lebih pengetahuan kepada para pelajar untuk mengeksplorasi dunia Teknologi Hijau di Taman Botanikal Melaka dengan menawarkan pakej pelancongan bermanfaat khusus untuk pelajar. Pelajar dapat menimba pengalaman dan pengetahuan di samping eksplorasi ini boleh dijadikan medium pelancongan untuk melepaskan tekanan belajar.
 
Terdapat 8 pekej yang ditawarkan oleh pihak Perbadanan Hang Tuah Jaya kepada para pelajar iaitu 1) Program Kenderaan Karbon Rendah- program ini akan memberikan kesedaran tentang pelepasan karbon yang dijana daripada sektor pengangkutan. Pelajar berpeluang menaiki buggy elektrik di sekitar Taman Botanikal Melaka dan belajar untuk mengira jejak karbon yang dikeluarkan oleh asap kenderaan, 2) Program karbon sink atau pengasingan karbon- program ini akan memberi penerangan kepada proses pengiraan karbon dalam situasi sebenar.Pelajar akan bergerak melalui e-buggy ke satu kawasan yang dikhaskan di Taman Botanikal Melaka dan di sana pelajar akan melihat bagaimana proses pengasingan karbon dijalankan, 3) Lawatan Sambil Belajar Tenaga Boleh Diperbaharui- pelajar yang mengambil pakej ini di Taman Botanikal Melaka akan diberikan taklimat berkenaan tenaga yang boleh diperbaharuui dan kepentingannya.Selain itu, pelajar juga dapat melawat model Tenaga Boleh Diperbaharui dan bangunan hijau di Taman Botanikal Melaka  di mana mereka juga akan diajar cara untuk mengukur penjimatan tenaga, 4) Lawatan Sambil Belajar Pensampelan Bangunan Hijau, 5) Lawatan Sambil Belajar Pengurusan Sisa- bagi pelajar yang berminat untuk belajar cara pengurusan sisa juga boleh menyertai program ini. Mereka akan diberi taklimat mengenai konsep mengurang, mengguna serta mengitar semula (3R), mengetahui kepentingan pengurusan sisa, faedah dan pengalaman kompos di Taman Botanikal Melaka, 6) Persembahan Video Mengenai Perubahan Iklim dan Pemanasan Global- video yang mengenai isu-isu perubahan iklim dan pemanasan global ditayangkan untuk memberi kesedaran kepada para pelajar tentang kepentingan menjaga alam sekitar,dan meraka akan diajar dengan cara untuk mengurangkan permanasan global demi kesejahteraan hidup, 7) Lawatan Sambil Belajar Permuliharaan Alam Sekitar- pelajar mendapat penjelasan mengenai kepentingan hutan, hutan biodiversiti serta berpeluang bertanding dalam  pertandingan penghasilan gambar biodiversiti terbaik dan berpeluang memenangi hadiah istimewa, dan 8) Lawatan Sambil Belajar Pengurusan Air- pelajar akan belajar mengenai pemuliharaan air serta berpeluang melihat model kitar semula air di samping dapat mengambil bahagian dalam pengiraan jejak air.
 
5. Program Biodiesel Melaka
 
Program ini adalah salah satu program bagi mengurangkan carbon footprint di sektor pengangkutan bagi mencapai matlamat Melaka Negeri Bandar Teknologi Hijau 2020. Ini adalah program komuniti hijau dimana kesedaran tentang penjagaan alam sekitar da perubahan iklim dapat disebarkan kepada seluruh rakyat Melaka.
 
Pada peringkat pemulaan, biodiesel yang dihasilkan adalah dari sumber sisa minyak masak yang dikumpulkan di seluruh negeri. Peserta yang menyumbang sisa minyak masak adalah terdiri daripada orang awam, komuniti kampung dan bandar, gerai makan, restoran, kedai makanan segera, kilang IKS,hotel, kilang makan dan lain-lain.
 
Biodiesel yang dihasilkan adalah menepati piawaian antarabangsa iaitu ASTM 6751-03 dan atau EN 14214 dan diguna pakai oleh kenderaan awam dan swasta termasuk juga jentera penjana letrik di Melaka. Semua penggunaan biodiesel akan direkodkan bagi tujuan mengiraan pengurangan carbon footprint di sektor pengangkutan yang terlibat.

Matlamat program ini adalah untuk mengurangkan carbon footprint, sebagai saluran kesedaran tentang kemudaratan kesihatan akibat penggunaan minyak masak kitar semula, menambah kesedaran tentang isu halal apabila punca minyak masak kitar semula tidak dapat dikenal pasti dan kempen kesedaran tentang penjagaan alam sekitar terutamanya kebersihkan longkang dan perparitan setempat.
 
Senarai Projek Teknologi Hijau di Melaka yang dijalankan ketika ini ialah, 1) Pembangunan masjid di Kawasan Perindustrian Rembia. Jabatan Agama Islam Negeri Melaka telah mengemukakan permohonan peruntukan kepada Pejabat Pembangunan Negeri dan reka bentuk telah disediakan oleh JKR Negeri Melaka. Masjid ini boleh memuatkan 3000 orang jemaah. Pembangunan ini akan menggunakan konsep Low Energy Buildingv dan penggunaan tenaga elektrik yang dijana oleh panel suria pada bangunan masjid, 2) lampu jalan solar hybrid di Lebuh AMJ. Cadangan projek ini melibatkan penambahbaikan bagi menggantikan 500 unit lampu sedia ada kepada lampu solar hybrid sebagai satu elemen untuk menjadikan Melaka sebagai Bandar Teknologi Hijau, 3) perhentian bas dengan pencahayaan solar hybrid. Cadangan projek ini melibatkan penambahbaikan bagi menggantikan 76 unit pondok menunggu bas konvensional sedia da kepada pondok menunggu bas solar hybrid sebagai satu elemen physical look “Negeri Bandar Teknologi Hijau” selain bertujuan pengurangan penggunaan tenaga khususnya bil utiliti pihak berkuasa tempatan, 4) projek demonstrasi BIPV (Pemasangan panel surai di bumbung rumah sedia ada untuk penjanaan elektrik dan penggunaan domestik). Pelaksanaan secara penswastaan in melibatkan pemasangan solar panel ke atas bumbung 397 unit rumah di Taman Rembia Perkasa di dalam kawasan Melaka World Solar Valley. Pemasangan panel suria di setiap bumbung rumah di Taman Rembia Perkasa membantu mengurangkan 1,327 tan pengeluaran karbon dioksida setiap tahun. Selain itu, penguna dapat mengurangkan 50 peratus bil elektrik isi rumah setiap tahun dan lebihan eletrik yang tidak digunakan dapat dikembalikan dalam bentuk keuntungan melalui Feed In Tarif (FIT), dan 5) Pembangunan RDIC Park MWSV seluas 128 ekar di Kawasan Perindustian Rembia. 
 
Pengunaan teknologi hijau haruslah digunakan seluas yang boleh dalam kalangan rakyat dan negara kerana ia memberi banyak faeda di samping dapat mengurangkan masalah- masalah pencemaran, jerebu dan sebagainya. Usaha ini juga selari dengan keputusan untuk mewujudkan dana dalam memajukan pembekalan dan penggunaan teknologi hijau. Melalui dana ini, syarikat pengeluar dan pengguna teknologi hijau dapat membuat pinjaman untuk membiayai aktiviti yang menyokong pertumbuhan industri teknologi hijau. 
 
Selain itu, kerajaan dapat mengambil langkah-langkah yang inisiatif untuk memperkukuh lagi struktur pelaksanaan dan pembangunan teknologi hijau serta mengantarabangsakan potensi penggunaannya. Misalnya, dalam Belanjawan 2014 nanti,  kerajaan boleh menstrukturkan semula Pusat Tenaga Malaysia menjadi Pusat Teknologi Hijau Negara. Pusat ini bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyediakan pelan tindakan pembangunan teknologi hijau dan berperanan sebagai agensi yang menetapkan piawaian dan mempromosi teknologi hijau.
 
Selain daripada itu,  dicadangkan untuk mewujudkan strategi persekitaran yang kondusif bagi pembangunan teknologi hijau. Strategi ini dapat dilaksanakan dengan dana yang mencukupi  untuk menggalakkan lagi usaha merancakkan promosi terutamanya untuk menarik pelaburan langsung asing dalam industri teknologi hijau dan merangsang pelaburan langsung domestik industri tempatan. Malah, strategi mewujudkan persekitaran yang kondusif ini penting dalam usaha menjadikan Malaysia pangkalan teknologi hijau serantau khususnya bagi tenaga yang boleh diperbaharui seperti teknologi solar fotovoltanik.
 
Rujukan
 
Ahmad Ridzwan Mohd Noor, Nor Azila Ahmad, Norliah Kudus, Mahadi Abu Hassan,    
     Shahrulanuar Mohamed, Ismail Ibrahim, Radzuan Nordin,  Ali Hafizar Mohamad Rawi.
     (2012). Falsafah Sains dan Teknologi. Melaka: Penerbit Universiti Teknikal Malaysia
     Melaka.
 
Angelo A. Calvello. (2009). Environment Alpha. United State America. Penerbit Wiley.
 
Lawrence Webber and Micheal Wallace. (2009). Green Tech. USA. Penerbit American
     Management Association.
 
Michael F. Ashby. (2009). Materials And The Environment. Canada. Penerbit 
     Butterworth- Heinemann.

Osman Attmann. (2009). Green Architecture Advanced Technologies and Materials      
     Los Angeles, USA. Penerbit Mc-Graw Hill.

No comments:

Post a Comment