Saturday, August 10, 2013

Kaji semula kursus kahwin elak pasangan mudah bercerai





 

Pelaksanaan kursus perkahwinan perlu dikaji semula bagi memastikan pasangan yang bakal berkahwin lebih bersedia dan tabah mengharungi konflik rumah tangga.
 
Perunding Syariah dan Undang-Undang Keluarga Islam, Zainal Abidin Yahaya berkata, ini berikutan kursus disediakan kini kurang menepati keperluan serta ilmu pengetahuan tentang perkahwinan yang menyebabkan kes penceraian berleluasa.
 
Paling ketara katanya, pasangan Muslim gagal memahami erti serta tujuan perkahwinan yang merupakan fitrah dalam konteks agama Islam.
 
''Mereka tidak mempunyai daya ketahanan yang tinggi dalam menghadapi masalah rumahtangga selain didikan agama yang kurang menjadikan semangat mereka lemah.

''Sepatutnya, kursus perkahwinan membantu mereka mempersiapkan minda serta emosi dalam mengharungi alam rumahtangga untuk mengelakkan berlakunya penceraian,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
 
Semalam Bernama melaporkan terdapat purata tiga kes penceraian bagi setiap jam dalam kalangan pasangan Muslim di negara ini.
 
Menurut Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM), Prof. Madya Datin Noor Aziah Mohd. Awal, maklumat itu diperolehi daripada kajiannya terhadap statistik penceraian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) 2011.
 
Katanya, secara purata, terdapat 70 kes penceraian dilaporkan sehari, 2,000 kes sebulan dan 25,000 kes setahun di seluruh negara.
 
Sementara itu, Pakar Perunding Keluarga, Wan Akashah Wan Abd. Hamid berpendapat, kajian tentang punca masalah pasangan Muslim negara ini perlu dilaksanakan segera bagi menangani kes penceraian yang semakin meningkat.
 
"Langkah ini penting memandangkan tekanan ekonomi serta sosial yang terpaksa dihadapi menyebabkan golongan tersebut melihat penceraian sebagai langkah mudah untuk menyelesaikan masalah mereka.
 
"Selain itu, penghayatan tentang keperluan perkahwinan serta tanggungjawab suami isteri perlu ditekankan dalam setiap individu yang berhasrat mendirikan rumahtangga,'' katanya.

(Utusan Malaysia, 10 Ogos 2013)

 

No comments:

Post a Comment