Wednesday, April 24, 2013

PRU13: "Ini kali lah"





Sepanjang minggu ini saya bergerak dari satu tempat ke satu tempat di sekitar Melaka untuk meninjau mood dan  sentimen pengundi muda terhadap pilihan raya 2013. Malam ini saya menyertai kelompok orang muda bermain badminton di Dewan Bistari. Rata-rata pemain di sini dalam lingkungan 20 hingga 35 tahun. Mereka bekerja dalam pelbagai sektor, mahir dan separuh mahir dan datang dari pelbagai kawasan seperti Telok Mas, Durian Tunggal, Klebang dan Alor Gajah.

Sebahagian besar adalah Melayu, sedikit Cina dan malam ini tidak ada pemain India.

Sambil bersembang menunggu giliran bermain, saya mengedarkan borang selidik kecenderungan mengundi kepada orang-orang muda ini. Ada yang berminat dan ada juga yang menolak. Selepas selesai mengisi maklumat dan mengembalikan borang, saya hulurkan saguhati sebagai penghargaan kerana menjawab dengan jujur. Masa itu saya dapat sepuluh borang selidik yang lengkap diisi dari merata kawasan parlimen dan dewan undangan negeri di Melaka.

Ia sangat mengujakan kerana pola pengundi yang pelbagai ini memberi gambaran awal kepada tahap kecenderungan terhadap parti politik yang mereka akan pilih dalam pilihan raya akan datang.

“Ini kali lah, ini kali lah...” saya terdengar kata-kata ini lalu memandang ke arah suara berkenaan. Rupanya seorang pemain yang baru selesai bermain mengucapkan kata-kata itu sambil tersenyum dan bergerak menuju ke arah rakan-rakannya yang sedang memanaskan badan. Walau bagaimanapun tidak ada sambutan daripada rakan-rakannya dan ia terhenti begitu saja.

Istilah “Ini kali lah” merupakan slogan popular di media sosial khususnya laman sesawang pro pembangkang. Ia bermaksud mengajak pengundi membuat perubahan dalam pilihan raya 2013 melalui proses pemasakan indoktrinasi yang mudah, ringkas dan berterusan. Terdapat kain rentang yang dipasang di sekitar Melaka menggunakan istilah inti untuk mengingatkan pengundi.

“Ini kali lah” boleh menjadi slogan pengukuh yang hebat bagi Pakatan Rakyat jika dipamerkan di merata tempat seperti simpang jalan, kedai makan atau risalah. Ceramah juga boleh menggunakan tema ini selain daripada slogan “Ubah” yang dilihat mengambil idea kempen dalam pemilihan presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama.

Slogan “Ini kali lah” tidak mempunyai makna kepada pengundi-pengundi muda di Dewan Bistari kerana mereka tidak faham, tidak diberi penjelasan dan tidak dijadikan kempen besar-besaran dalam hidup seharian. Pakatan Rakyat berharap pilihan raya 2013 ini menjadi penentu kepada kejayaan ke Putrajaya, mungkin pengundi muda melihat ia lebih kepada ancaman ke atas kedudukan selesa mereka.

Pengundi-pengundi muda di Dewan Bistari ini mempunyai pekerjaan yang sudah mantap, gaji yang agak lumayan dan tidak perlu risau dengan keadaan hidup ketika ini. Justeru slogan “Ini kali lah” tidak begitu sinonim dengan orang-orang muda kaki badminton itu, dan saya perlu cari tempat lain untuk melihat slogan ini diraikan.

 

No comments:

Post a Comment