Monday, April 22, 2013

PRU13: Calon tanpa kualiti






Ketegasan penolakan presiden Pas, Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang terhadap calon pilihan raya yang menjadi penjual pil kuda dan penyokong Marxisme amat membantu pengundi memahami karektor bakal pemimpin mereka. Jika calon seperti ini menang, masyarakat berada dalam kesusahan kerana urus niaga dan penyebaran ideologi akan lebih mudah dilakukan.

Contohnya berniaga pil kuda, penguat kuasa tentu berasa gentar berhadapan dengan pemimpin politik ini kerana kuasa dan pengaruh yang mereka ada. Justeru tindakan agak sukar kerana tekanan yang bakal dihadapi oleh pihak berkuasa. Agensi penguatkuasaan akan berfikir dua tiga kali untuk menyiasat kerana ia melibatkan pemimpin dalam masyarakat.

Pemimpin yang menjunjung fahaman Marxisme juga bahaya kerana mudah mempengaruhi pemikiran orang muda yang agresif dalam melaksanakan perjuangan. Bermula dari seorang, ideologi ini berkembang menjadi kumpulan kecil sebelum menjadi barah yang berbahaya.

Pendedahan yang dibuat oleh presiden Pas itu menjelaskan rasa tidak senang parti itu terhadap calon-calon dari PKR kerana menjejaskan hala tuju dan misi Pakatan Rakyat untuk menjadi organisasi politik pilihan dalam pilihan raya ini. Kewibawaan PKR sebagai parti pilihan mungkin terjejas apabila peribadi dan sahsiah calon-calon mereka didedahkan.

Antara Pas, DAP dan PKR, latar belakang calon sangat diutamakan oleh Pas. Dalam setiap pilihan raya, calon-calon dari parti itu tidak boleh menghisap rokok dan menjadi polisi utama sehingga kini. Melalui saringan seperti ini, masyarakat melihat calon tanpa rokok sebagai bersih dan mengutamakan kesihatan diri. Kredibiliti calon akan lebih tinggi jika mereka memiliki tahap keintelektualan yang hebat.

Sahsiah calon menjadi kritikal dalam pilihan raya kerana pengundi lebih bijak dan pintar menentukan pemimpin mereka. Masa untuk calon-calon menggula-gulakan rakyat sudah pun berakhir kerana masa depan negara lebih penting. Persaingan dalam ekonomi dan memberi pekerjaan kepada rakyat perlukan calon yang bekerja kuat dan memahami situasi global di samping dapat mengekalkan kestabilan politik negara.

No comments:

Post a Comment