Tuesday, April 23, 2013

Kuasa persepsi penganiayaan politik






oleh Karim Raslan

Isu mengejutkan pengundi 48 jam menjelang hari penamaan calon. Ia juga mempersembahkan “senjata” penting bagi kempen Pakatan Rakyat – penganiayaan. Sebagai pembangkang, mereka terpaksa bertanding sebuah perlumbaan yang tidak adil untuk mengalahkan Barisan Nasional yang menguasai segala pelosok kerajaan.

Sebagai contoh, hampir kesemua kredibiliti yang ditonjolkan Setiausaha Agung DAP dan Ketua Menteri peralihan Pulau Pinang, Lim Guan Eng datang daripada kesanggupan beliau pada tahun 1998 untuk bersuara bagi pihak seorang gadis Melayu yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seks. Dipenjarakan hanya memperkasakan kredibiliti beliau.

Pemimpin PKR, Anwar Ibrahim juga muncul sebagai ikon pembangkang kerana dipecat dan dipenjarakan (dari 1999 hingga 2004) yang kemudiannya didedahkan sebagai kes pencabulan kuasa dan sodomi yang diada-adakan.

Pemimpin- pemimpin ini – dan juga parti mereka – menunjukkan mereka sanggup untuk bersuara dan merana untuk kepercayaan mereka. Ini juga menyatupadukan pihak pembangkang di Malaysia, melangkaui garis perkauman dan agama.

Sebaliknya, Umno telah berkuasa sejak pembentukan Malaysia. Parti itu sudah merasai prestij kuasa dan jawatan tinggi. Malah, kini berlaku gabungan identiti di antara kerajaan dan parti sehingga Umno dianggap “parti kerajaan”.

Namun zaman internet ini, kuasa kerajaan memerintah tidak menjanjikan kemenangan. Apabila institusi kerajaan menjadi kaku, tidak efisien dan korup, kegagalan mereka dikaitkan dengan tuan politik mereka. Tidak mungkin gabungan identiti ini, yang sejak dulu menjadi kebanggaan mereka, dirungkai dalam masa singkat.

Apa yang bakal kita saksikan adalah titik perubahan, di mana Barisan Nasional mula menyedari kesan buruk kerana terlalu dikaitkan dengan ‘status quo’ - terutama di kawasan bandar dan separa bandar di mana rakyat Malaysia mengambil serius perkhidmatan kerajaan, keadilan, dan ketelusan.

Kemampuan Pakatan untuk meraih simpati umum dengan menunjukkan kekerdilan mereka menentang kuasa kerajaan menyebabkan gabungan identiti BN ini menjadi pedang bermata dua. Sepanjang lima tahun lepas, pembangkang sudah mahir dalam mewujudkan kemarahan terhadap layanan diterima mereka daripada kerajaan Barisan. Simpati yang diterima membolehkan mereka menandingi jentera BN lebih besar – saksikan bagaimana Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah sengaja menjadikan diri beliau underdog walaupun beliau penyandang kerusi dan ikon pembangkang.

Dua hari kemudian pada hari Khamis, ketika calon-calon di seluruh Malaysia bersedia untuk hari penamaan calon, DAP mengadakan mesyuarat tergempar di ibu pejabat mereka di Kuala Lumpur.

Tanpa pengetahuan umum, parti itu menerima dua surat berkaitan dengan isu pentadbiran parti itu daripada pihak berkuasa setelah pilihan raya parti yang memalukan dan berkemungkinan haram pada Disember 2012 yang lepas.

Surat pertama menyatakan bahawa penyiasatan insiden itu sedang dijalankan dan perbicaraan akan diadakan pada 9 Mei.

Namun, surat kedua bertarikh sama, lebih membingungkan apabila menyebut Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP tidak diiktiraf oleh JPPM. Guan Eng mencadangkan 156 calon parti itu akan bertanding di bawah logo Pas dan PKR masing-masing di Semenanjung dan Sabah Sarawak.

Namun, Datuk Abdul Rahman Othman daripada JPPM selepas itu menyatakan logo DAP tidak dibatalkan. Tetapi, DAP berkeras selagi surat kedua itu tidak ditarik balik, parti itu akan berkempen di bawah logo sekutu mereka.

Seterusnya, Guan Eng mengumumkan parti itu akan memberikan calon mereka dua surat watikah, satu daripada roket dan satu daripada Pas/PKR.

Walau apa pun hari penamaan calon berjalan lancar dan 'roket' boleh diguna untuk kempen, kesan buruk pada Barisan Nasional tampak serius. Tanggapan bahawa kuasa kerajaan telah disalah guna untuk kepentingan politik akan mengikis sokongan pada Barisan Nasional.

Anda mungkin mengkritik politik dan taktik DAP dan Pakatan, tetapi tiada siapa boleh menafikan persepsi ketidakadilan dan pencabulan kuasa di Malaysia merupakan senjata paling mustajab bagi mereka. Sememangnya, senjata (dan muslihat) ini ada bahayanya: pertama, “si penggembala kambing hanya boleh berteriak serigala” sekali atau dua – dan selebihnya akan diragui dan kedua, pemimpin Pakatan sendiri memenuhi posisi berkuasa dan penganiayaan tidak mudah lagi dieksploitasi.

Selamat berkempen semua!

(Sinar harian, 23 April 2013)

No comments:

Post a Comment