Saturday, April 20, 2013

PRU13: Ramai calon Bebas






Pertembungan politik dalam Pilihanraya Umum ke-13 semakin rancak selepas proses penamaan calon selesai pada hari ini. Di Kedah, Pulau Pinang dan Perak memperlihat terdapat calon bebas dari UMNO sendiri yang masuk bertanding. Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim menjadi calon Bebas di Parlimen Kuala Kangsar selepas menolak tawaran untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan. Beliau juga mengumumkan perletakan jawatan sebagai ahli UMNO.

Perjuangannya dalam politik UMNO sudah berakhir dan menjadi iktibar kepada pemimpin muda pelapis supaya meletakkan kesetiaan kepada parti melebihi kepentingan peribadi. Sukar bagi pengundi yang waras untuk memilih pemimpin yang “keras kepala” seperti wanita itu.

Di sesetengah tempat, cawangan parti politik dibubarkan di samping ada yang enggan turun padang membantu kempen.

Di seluruh negara, keanehan yang agak ketara ialah peningkatan jumlah calon Bebas yang bertanding. Walaupun menjadi calon Bebas merupakan strategi politik, bilangan yang ramai menunjukkan ada faktor lain selain daripada memecahkan undi.

Satu alasan yang boleh diterima ialah tahap kesedaran masyarakat untuk memberi tekanan kepada parti-parti politik supaya meletakkan rakyat pada tempatnya. Pengundi hari ini memiliki tahap kesedaran politik yang jauh lebih baik berbanding tahun-tahun lepas. Masyarakat kampung turut mempunyai tahap kesedaran ini dan mana-mana parti politik belum tentu akan mendapat undi dengan mudah.

Isu lain yang berkaitan dengan pengundi ialah tindakan seorang pengurus cawangan bank di Nusa Bistari, Johor yang meminta pekerja Melayu untuk menyokong pembangkang. Nama pengurus dan bank  itu telah pun diketahui umum dan pihak polis menyifatkan isu tersebut sebagai masalah dalaman bank. Bagaimanapun kempen memboikot bank berkenaan dapat dilihat dalam beberapa laman blog.

Kempen pilihan raya di pihak BN dan PR sangat sengit. Sepanjang jalan terdapat pemidang besar yang memaparkan gambar pengerusi BN bersama usaha-usaha memajukan Malaysia. Begitu juga dengan kempen PR khususnya Parti Kadilan Rakyat (PKR). Anwar Ibrahim telah menghantar e-mel kepada rakyat Malaysia dalam Projek 222 untuk merayu dana kempen pilihan raya kali ini. Dengan menderma RM222 seorang, PKR mampu menjana pendapatan jutaan ringgit dalam tempoh beberapa hari sahaja.

Pilihan raya kali ini amat mencabar kerana masing-masing cuba untuk meraih kejayaan. Namun perkara yang lebih penting ialah Malaysia telah memasuki era pilihan raya yang sangat matang dan rakyat negara ini mampu menguruskan masa depan negara dengan keupayaan mereka sendiri. Pemilihan calon atau parti untuk menjadi pemimpin negara pada 5 Mei nanti harus tunduk kepada kepentingan rakyat, memerangi rasuah dan memartabatkan Islam.

 

No comments:

Post a Comment