Wednesday, April 03, 2013

PRU13: Laluan ke Putrajaya





Fikirkan masalah umat Melayu


Jumlah pengundi berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sehingga 31 Disember 2012 ialah 13,291,385 orang. Jumlah pengundi paling ramai terletak di Selangor iaitu 2,051,708 orang manakala paling sedikit di Putrajaya iaitu 15,798 pengundi. Bilagan pengundi ini bakal menentukan kerajaan baru yang akan mentadbir Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang.

Kumpulan politik di Malaysia telah berpecah kepada tiga iaitu Barisan Nasional, Pakatan Rakyat dan pengundi atas pagar. Penentu kepada kejayaan BN atau PR dikatakan terletak pada kelompok ketiga ini yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan, kaum dan umur. Ada yang menggelar mereka ini sebagai kelompok ketiga yang perlu diberi perhatian jika mahu terus kekal atau sedang menuju ke Putrajaya.

Mood atau keadaan negara ketika ini ialah lambakan maklumat dan perkembangan semasa mengenai parti politik yang bertanding. Maklumat ini mengandungi sebaran yang positif dan negatif. Jika dilihat pada media prokerajaan, sepuluh muka surat pertama ialah kebaikan-kebaikan yang dilakukan oleh BN sejak Najib Tun Razak mengambil alih kepimpinan parti itu. Setiap negeri melaporkan perubahan yang lebih baik dalam era beliau.

Media propembangkang turut melakukan tindakan yang sama. Terdapat nada yang optimis mengenai keupayaan PR untuk berada di Putrajaya kali ini. Ia mungkin berdasarkan trend semasa pengundi yang memenuhi ceramah-ceramah yang dianjurkan. Mereka juga yakin peranan media sosial yang menyasarkan golongan muda memberi kelebihan ke atas peluang ini.

Politik di Malaysia adalah unik dan mengambil kira budaya, agama dan sosioekonomi masyarakat. Perbezaan taraf hidup di bandar dan luar bandar, kekayaan yang tidak sama rata dan tahap pendidikan yang berbeza masih menjadi penentu kepada pilihan pengundi. Keadaan hidup dan taraf sosioekonomi masyarakat majoriti iaitu bumiputera yang masih ketinggalan merupakan faktor pendorong kepada sokongan terhadap BN di kawasan luar bandar. Masyarakat yang dahagakan pembangunan masih mengharapkan jalan raya diturap, elektrik dibekalkan dan air bersih untuk mandi, sudah tentu menagih janji BN sebagai pembawa pembangunan.

Bagi PR, isu-isu yang mendominasi kem ini ialah tentang kebajikan masyarakat yang dirasakan sudah diabaikan oleh BN. Justeru mereka memberi tumpuan kepada keperluan mendapatkan pendidikan percuma, pengurangan harga minyak dan menghapuskan tol. Walaupun isu ini baik tetapi banyak perkara yang perlu diberi perhatian supaya tidak membebankan perbelanjaan negara melalui kenaikan cukai.

BN dilihat berjaya menyusun strategi untuk meraih undi dalam pilihan raya kali ini apabila mendekati kelompok yang dipinggirkan seperti pertubuhan pendidikan Cina, sekolah pondok dan golongan muda. Dalam pendidikan Cina, Najib Tun Razak sendiri yang bersemuka dengan pertubuhan itu untuk meminta masyarakat pendidik Cina menyokong BN. Sebagai balasan, isu kemasukan pelajar Cina ke universiti melalui Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) aliran Cina sedia dibincangkan. Sebelum ini terdapat sebuah universiti China yang dibenarkan membuka cawangannya di Malaysia di samping beberapa institusi pengajian tinggi dari Taiwan yang diiktiraf.

Begitu juga dengan komuniti India di Malaysia. BN semakin lunak untuk memberi kad pengenalan kepada komuniti tersebut yang masih belum ada kad pengenalan walaupun sudah lama tinggal di negara ini. Keprihatinan ini dilihat akan mengambil hati pengundi India di kawasan yang dulunya dikuasai PR. 

Bagaimana dengan PR? Apa yang mereka lakukan untuk berhadapan dengan BN?

Enjin carian Google memperlihat trend carian adalah kepada Anwar sama ada positif atau negatif.. Golongan muda yang celik IT mudah berkongsi kecenderungan dan maklumat pilihan raya melalui media baru sosial yang mudah dan pantas. Kesempatan ini digunakan sebaiknya oleh tim PR untuk memancarkan imej positif mengenai parti mereka seolah-olah kejayaan berada di hadapan mata sekarang.

BN agak ketinggalan dalam mengguna pakai media baru sosial kerana tumpuan diberikan kepada liputan media massa dan elektronik.

Laluan ke Putrajaya bagi PR jauh lebih sukar daripada yang disangkakan. Tidak mudah bagi masyarakat Melayu untuk menerima persahabatan baik antara PAS dan DAP yang berbeza prinsip perjuangan walaupun berkongsi matlamat iaitu menumbangkan BN. Kes yang melibatkan moral pemimpin juga menjadi perhatian. Walaupun kes moral PR lebih menonjol, dalam BN masih terdapat pengerusi parti yang mengaku terlibat dalam masalah moral.

Jalan ke Putrajaya tidak semudah yang disangka. Kedua-dua parti perlu kuat dan gigih berusaha supaya fantasi bertukar menjadi realiti.

 

No comments:

Post a Comment