Friday, April 27, 2012

Masa adalah kehidupan

 
 
 


Masa lebih berharga daripada wang ringgit tetapi kita boleh mencari dan mendapatkan wang, bukannya masa.

Peribahasa Melayu menyatakan, "masa umpama emas", pepatah Arab pula, "masa umpama pedang" dan seorang tokoh agamawan berkata, "masa adalah kehidupan".

Tidak ada satu pun peribahasa yang menyamakan masa dengan wang ringgit kerana masa tidak pernah sama dengan nilai wang.

Apa yang kita boleh labelkan kepada seorang yang kerap tidur siang hari, berjaga malam, mempunyai tubuh badan yang kuat tetapi enggan berusaha mencari pekerjaan? Antara label yang sesuai ialah pemalas.

Bagaimana pula dengan ciri-ciri ini- kuat bekerja, tidur malam, bekerja siang dan syarikat berbangga dengan kejayaannya? Tentulah orang jenis ini digelar pekerja contoh. Pertama lebih banyak mensia-siakan masa tetapi yang kedua lebih banyak memanfaatkan masa.


Thursday, April 26, 2012

Tidak mahu mengalah



Bagi orang-orang muda yang baru menamatkan alam persekolahan dan masuk ke alam pekerjaan, persaingan mencari kerja sangat sengit. Bahkan kita yakin, dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia, mereka perlu bersaing dengan lulusan universiti dan kolej universiti.

Andai lulusan universiti belum tentu mendapat pekerjaan, bagaimana pula dengan lulusan sijil atau diploma ini? Kepada orang-orang muda yang telah mencuba tetapi gagal, anda jauh lebih baik jika dibandingkan dengan mereka yang tidak pernah mencuba.

Ramai orang yang berjaya telah pernah gagal berulang kali.

Contohnya dua orang penulis buku inspirasi yang berpusing-pusing mencari penerbit buku. Penerbit pertama, kedua sehinggalah ke-33 menolak. Namun dengan semangat pantang menyerah kalah, mereka berjumpa dengan penerbit ke-34 yang mahu merealisasikan impian mereka kedua.

Akhirnya, buku Chicken Soup for the Soul diterbitkan dan terkenal di dunia.

Bagaimana buku ini bermula?

Buku ini adalah hasil pengalaman 20 tahun berseminar dan memberi ucapan. Buku pertama mengandungi semua kisah yang digunakan dalam seminar untuk menggambarkan perkara-perkara yang mereka mahu buat.

Mereka mengambil masa dua tahun untuk mengumpulkan semua cerita dalam sebuah buku. Sebagai usaha untuk menulis buku yang seterusnya, di akhir bab pertama dinyatakan, “Jika anda mempunyai cerita yang hebat yang anda fikir boleh membantu orang, hantar dan mungkin kami akan menerbitkan buku kedua."

Lalu mereka mula mendapat antara 50 dan 200 cerita sehari. Hasilnya kini terdapat lebih 225 buku telah dicetak dengan lebih 500 juta naskah jualan di seluruh dunia dalam 47 bahasa.

Bagaimana pula mereka menggerakkan kempen dan promosi? Adakah ia suatu nasib?

Mereka sangat percaya bahawa setiap orang membuat nasib mereka sendiri dengan persediaan dan strategi yang baik. Mereka menggunakan peraturan “The Rule of 5” iaitu melakukan 5 langkah khusus setiap hari untuk bergerak ke arah matlamat dan sasaran. Contohnya, mereka membuat 5 panggilan telefon kepada akhbar untuk membuat ulasan dan menghantar 5 salinan percuma buku tersebut kepada pengulas yang dipilih.

Sebaik sahaja mereka menghantar salinan buku kepada penerbit dan pengurus rancangan TV,  semua pekerja termasuk penulis skrip, jurukamera dan pelakon diminta untuk membacanya. Kemunculan buku ini  sampai kepada Hollywood Reporter yang mencetak dan mengeluarkannya ke sindikasi dan diterbitkan pula dalam akhbar di seluruh Amerika Syarikat.

Mereka bekerja keras dan berusaha untuk melakukan penambahbaikan supaya dapat mencipta kejayaan yang lebih besar.





Tuesday, April 24, 2012

Ubah diri dengan syukur

 
 
 


Banyak kaedah yang digunakan untuk mengubah sikap-sikap negatif, perangai yang buruk atau pemikiran mundur.

Ada yang melihat perubahan mesti dalam bentuk material seperti menetapkan sasaran untuk meraih sebuah kereta mewah, dapat melancong ke tempat menarik atau dapat membeli barangan mahal.

Cara fikir ini adalah cara fikir yang mahukan kemajuan. Selain cara ini, terdapat satu cara yang lebih cepat dan mudah untuk menukar sikap yang negatif menjadi positif.

Caranya ialah mengembangkan budaya bersyukur. Bersyukur kepada Allah swt, berterima kasih kepada orang yang membantu perubahan supaya kita dapat membuat yang terbaik dalam semua perkara.

Bersyukur bukannya berpuas hati tetapi menambah lagi keinginan untuk membuat yang terbaik.

 

Monday, April 23, 2012

Tiru cara orang yang berjaya




"Jika anda hendak berjaya, carilah seseorang yang
mencapai matlamat seperti yang anda mahukan
dan ikut apa yang mereka lakukan,
anda akan dapat hasil yang sama."

Kadang-kadang kita tentu berasa sangat kecewa melakukan bermacam-macam cara untuk kekal dalam keadaan bersemangat melakukan kerja. Kita ada matlamat yang baik tetapi kaedah untuk mencapai matlamat tersebut kadangkala menyusahkan diri sendiri.

Bagaimana kita boleh mengekalkan semangat dan motivasi diri sehingga boleh merealisasikan matlamat tadi? Satu jalan pintas yang berkesan ialah mencari contoh atau model ikutan yang telah berjaya dalam bidangnya.

Pakar perubahan diri, Anthony Robbins berkata, "Jika anda hendak berjaya, carilah seseorang yang mencapai matlamat seperti yang anda mahukan dan ikut apa yang mereka lakukan, anda akan dapat hasil yang sama."

Seseorang di sini ialah yang boleh memberi inspirasi seupaya kita kuat bekerja, tidak mudah mengalah dan tinggi cita-cita.


Friday, April 20, 2012

Masih belum terlambat




Jaga kecergasan diri ketika masih muda
Ramai daripada kita yang meneruskan hidup tanpa memikirkan apa yang benar-benar diinginkan dalam hidup. Lalu, kita menutup mata, telinga dan hati untuk mengejar keinginan tadi.

Jadi, tidak adalah usaha dan daya fikir untuk bertindak. Keadaan ini berbeza dengan orang-orang yang berjaya dalam bidang yang mereka ceburi. Malah dianggap sebagai gila-gila kerana tumpuan dan perhatian terhadap bidang yang mereka suka sangat melampau-lampau.

Para saintis, teknokrat, pemimpin dan ahli sukan tersohor semuanya memiliki kegilaan luar biasa dalam bidang mereka. Setiap masa mereka berusaha berfikir dan bertindak untuk mencapai kejayaan.

Andainya kita tidak ada semangat untuk bekerja hari ini, kita sudah boleh berfikir apa yang patut dilakukan sepanjang hidup. Masih belum terlambat untuk melakukan apa-apa yang kita sukai kerana masa masih ada.

 

Thursday, April 19, 2012

Sarung personaliti

 
 
 


Suatu hari saya membeli sebuah kotak tisu yang cadangnya akan diletakkan dalam kereta. Harga kotak tisu ini tidaklah mahal tetapi gambar di sekeliling kotak itu amat menarik.

Biasanya saya hanya meletakkan kotak tisu tanpa sarung namun kali ini ada sarungnya supaya lebih menarik. Kotak tisu memberi pengajaran kepada kita untuk berasa lebih baik dalam hidup.

Kadangkala kita kurang mengambil berat sangat hal-hal kecil dan memandang rendah. Pada hakikatnya perkara kecil inilah yang menjadi perhatian orang lain. Kotak tisu yang disarungkan tampak lebih menarik dan berser-seri melambangkan peribadi tuan punya kereta.

Kalau bersarung, maknanya tuan punya kereta amat teliti dan mementingkan nilai-nilai kecantikan. Jika tidak bersarung, mungkin dia tidak mengambil berat perkara itu.

Menjadi lebih baik dan sempurna dalam semua keadaan adalah harapan kita, namun ia haruslah bermula sejak kecil dan perlu melalui proses yang teratur.


Wednesday, April 18, 2012

Kebiasaan jadi disiplin diri

 
 
 


Citra diri dan keyakinan diri kita terbentuk dari disiplin dan kebiasaan yang kita yakini. Contohnya begini.

Seorang pemandu teksi mempunyai rutin harian yang tetap. Dia mesti bangun pagi seawal jam 4 pagi untuk menunggu penumpang yang mahu keluar bekerja. Bagi kebanyakan orang, jam 4 pagi adalah masa untuk mengekalkan keenakan tidur.

Namun pemandu teksi yang percaya jika dia bangun awal, tentulah ramai penumpang yang akan menaiki teksinya. Keyakinan ini telah digabungkan dengan disiplin diri yang menyebabkannya sanggup bangun awal-awal pagi memulakan tugas.

Sama ada banyak ataupun sedikit pendapatan dalam sehari, dia perlu bangun awal esok pagi untuk bekerja.


Tuesday, April 17, 2012

Definisi kecemerlangan




Usaha biar jaya, guna seribu cara

Ramai di antara kita yang masih teraba-raba untuk memberi definisi kecemerlangan. Oleh sebab itu, ada yang mengaitkan kecemerlangan dengan memiliki harta atau aset yang banyak, memiliki rumah yang besar dan mahal dan sebagainya.

Walau bagaimanapun kecemerlangan bukanlah terhad kepada persepsi yang digambarkan ini, sebaliknya kecemerlangan ataupun kejayaan ialah keupayaan bergerak dari satu kegagalan atau kekecewaan  tanpa hilang keinginan untuk berusaha dan meraih kejayaan.

Ataupun dengan maksud yang lain- kejayaan adalah kemampuan untuk beredar dari satu kegagalan  yang lain tanpa kehilangan semangat yang membara.

Orang-orang yang kecewa dalam kerja, kecewa dalam hidup, kecewa dalam percintaan telah bangkit dari kegagalan, merancang kembali hidup mereka akhirnya mereka kembali bahagia dengan apa yang dipilih.


Sunday, April 15, 2012

Tetapkan sasaran untuk berjaya

 
 
 


Kita sentiasa berusaha untuk mencapai sesuatu tahap yang lebih baik dalam hidup. Kalau seorang pelajar, sasarannya ialah memastikan dirinya dapat meraih kecemerlangan dalam peperiksaan. Kalau usahawan, sasarannya ialah mencapai volum jualan yang ditetapkan.

Sebagai staf dalam organisasi, sasarannya ialah mencapai Sasaran Kerja Tahunan (SKT) supaya nampak peningkatan dalam kerjaya.

Dalam satu konvensyen, ketua syarikat telah mengucapkan terima kasih kepada semua ahlinya kerana membantu syarikat meningkatkan jualan ke tahap membanggakan. Katanya, tanpa bantuan dan kerja keras, tentulah syarikat tidak akan mendapat jualan yang hebat.

Satu prinsip yang sama dalam apa jua kejayaan ialah menetapkan sasaran dan berusaha ke arah sasaran tersebut. Masalah yang berlaku kepada orang yang gagal dan enggan menerima kegagalan ialah menetapkan sasaran tetapi tidak mahu berusaha. Jadi, mana boleh hendak berjaya.


Saturday, April 14, 2012

Dua perkara tidak berubah




Ramai kawan, hati senang

Seorang pemikir berkata, "Lima tahun dari sekarang kita akan tetap seperti sedia kala kecuali dua perkara, buku yang kita baca dan rakan-rakan yang kita miliki."

Masa berubah, suasana juga berubah tetapi adakah ilmu kita turut berubah dan bertambah, adakah jaringan sosial kita juga bertambah?

Kita tidak akan  ke mana andainya masih enggan mencari ilmu untuk meningkatkan taraf hidup, ilmu untuk menjadi seorang bapa yang lebih baik, seorang pekerja yang cemerlang dan sebagainya.

Kita akan hidup keseorangan tanpa ramai kawan jika tidak dapat menerima nasihat dan teguran malah akan ditinggalkan jika tidak bercampur dengan masyarakat.

Sepatutnya apabila umur meningkat, ilmu semakin banyak dan rakan-rakan semakin ramai.



Friday, April 13, 2012

Apabila tidak bersedia, kehidupan amat menyeksakan




Tidak perlu bergantung kepada orang lain
untuk berjaya dalam hidup

Apa yang berada di sekitar kita boleh mempengaruhi pemikiran, sikap dan watak kita.

Contohnya orang yang malas akan berubah menjadi rajin jika berkawan dengan rakan-rakan yang rajin, begitu juga sebaliknya.

Saya ingin berikan tamsilan ini dengan keadaan burung-burung camar. Di suatu kawasan pantai, sekelompok burung camar akan berkumpul di kawasan nelayan untuk mendapatkan ikan-ikan percuma  yang dibuang oleh nelayan kerana tidak diperlukan.

Oleh kerana senang mendapat makanan, burung-burung itu menjadi malas, gemuk dan lambat bergerak. Namun apabila nelayan mendapat idea bagaimana menggunakan anak-anak ikan yang tidak diperlukan tadi, burung-burung camar kembali kelaparan.

Bagaimana hendak mencari makanan kalau malas? Akhirnya ada yang mati kebuluran.

Apabila kita tidak bersedia ketika susah, kehidupan amat menyeksakan.


Thursday, April 12, 2012

Fahami erti marah





Jika seseorang cepat marah dan tidak dapat dikawal, dia dikatakan kurang sabar. Andai tidak dapat ditenteramkan, marah hanya akan memburukkan keadaan. Apakah maknanya jika seseorang itu marah?

Pertama, harga diri yang rendah. Sukar bagi orang lain hendak menghormati orang yang marah kerana tidak beruapaya mengawal diri emosi.

Kedua, merana sepanjang masa. Pernahkah kita lihat bagaimana keadaan orang yang marah-marah? Tentulah ada yang menghempas barang, menumbuk dinding, pukul orang atau menjerit-jerit.

Dalam kalangan rakan-rakan kita, tentu ada yang dihimpit masalah hutang kad kredit, kereta, sewa rumah atau kecewa kerana ditinggalkan kekasih. Andainya masalah ini dilayan dengan marah, tentu masalah tidak akan selesai.


Wednesday, April 11, 2012

Label diri

 
 
 


T-shirt dengan tulisan yang berbagai-bagai jenis boleh didapati di mana-mana dengan harga yang murah.

Bayaran RM10 sudah mencukupi untuk mendapat sehelai t-shirt yang baik.

Kalau ada tulisan, beraneka jenis tulisan dengan gaya tersendiri. Namun kita tertarik dengan tulisan "Born to lose" (dilahirkan untuk kecundang). Orang yang memakai t-shirt dengan tulisan ini terpapar pada bajunya tidak pula ada rasa bersalah, sebaliknya berbangga dengan menayang kepada orang lain.

Kalau kita bertanya kepada diri sendiri, adakah pemakai t-shirt ini benar-benar ingin menzahirkan bahawa dia seorang yang tidak mampu meraih kejayaan? Adakah dia tidak rasa tercabar apabila orang lain mula membentuk persepsi negatif terhadap keupayaannya?

Sebaik-baiknya apabila memilih perkataan pada t-shirt, topi atau apa sahaja, biarlah yang memberi semangat kepada pemakainya.



Tuesday, April 10, 2012

Menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong ke-14




Yang di-Pertuan Agong ke-14
(Sumber: google images) 

Esok pada 11 April 2012 Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang menaiki takhta menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin dari Terengganu, ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Ia adalah satu-satunya peristiwa kenegaraan tertinggi bagi Malaysia.


Peristiwa itu menepati kehendak Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan yang antara lain memperuntukkan: "Maka hendaklah ada seorang Kepala Utama Negara bagi Persekutuan digelarkan Yang di-Pertuan Agong, yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan..."

Frasa Kepala Utama Negara di bawah Perkara 32(1) itu tanpa sebarang keraguan atau kesamaran meletakkan Raja bagi Persekutuan Malaysia sebagai peneraju utama bagi negara ini.

Peruntukan itu yang sedia sedemikian semenjak berkuatkuasanya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, susulan kepada syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Lord Reid selaku pembentuk kerangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Pada masa sama, Perkara 32(2) pula memperuntukkan bahawa "Permaisuri Yang di-Pertuan Agong yang digelar Raja Permaisuri Agong adalah mengambil keutamaan mengatasi segala orang lain dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong."

Sementara Perlembagaan Persekutuan menentukan format dan bentuk lafaz sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong seperti yang terkandung di Jadual Keempat, Permaisuri Agong tidak dikehendaki melafaz apa-apa bentuk sumpah jawatan sekalipun Baginda diberi penarafan dan kedudukan tertinggi selepas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Tuanku Abdul Halim adalah satu-satunya Sultan yang berpeluang ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi kali kedua.

Baginda menduduki takhta Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kelima bagi tempoh 1970 hingga 1975, tempoh yang ditransisikan masing-masing oleh Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra dan Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein.

Tuanku Abdul Halim adalah kemanakan kepada Tunku.

Dalam konteks sejarah, Tuanku Abdul Halim juga menempa sejarah.

Perdana Menteri dalam tempoh pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong sebelum ini ialah Tun Abdul Razak.

Kini, anakandanya, Datuk Seri Najib pula sebagai Perdana Menteri.

Baginda adalah SPBYDA pertama yang mula bersemayam di Istana Negara Baru.

Pada majlis gilang-gemilang 11 April, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ke-14 akan menjalani semua acara tradisional diraja pada sebelah pagi hingga malam apabila santapan pertabalan diraja berlangsung.

LUNAS SEJARAH

Sebagai lunas perbandingan sejarah, jawatan Kepala Utama Negara seperti yang terdapat pada Perkara 32(1) pada mulanya dicadangkan oleh Suruhanjaya Reid sebagai Yang di-Pertuan Besar; sesuatu yang mencerminkan cadangan Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri pertama Malaysia susulan pengamatan beliau setelah meneliti sistem Raja bergiliran di Negeri Sembilan.

Sebagaimana dimaklum, di Negeri Sembilan para Undang Yang Empat sebagai "Rulers" atau Pembesar-pembesar Memerintah tempatan memilih seorang Raja bagi negeri itu mengikut peraturan adat di Negeri Sembilan.

Apabila semua pihak yang mewakili Raja-Raja Melayu, UMNO dan Perikatan serta pandangan pelbagai pihak, panggilan Yang di-Pertuan Besar diganti dengan Yang di-Pertuan Agong atas alasan supaya tidak timbul sebarang kekeliruan dengan Raja yang memerintah di negeri beradat itu.

Daripada sudut sejarah juga jelas bahawa jawatan Yang di-Pertuan Agong adalah lahiran Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (1957) dan kemudiannya disambung oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia (1963).

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah berasaskan konsep Raja Berperlembagaan atau "Constitutional Monarchy" yakni Raja yang sentiasa kena mematuhi nasihat Jemaah Menteri atau salah seorang yang mewakilinya (biasanya Perdana Menteri) seperti yang dikehendaki Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Daripada sudut kuasa legislatif, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah satu daripada tiga komponen yang mewujudkan Parlimen (Dewan Rakyat, Dewan Negara dan SPBYDA).

Parlimen di Malaysia tidak lengkap tanpa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai salah satu komponennya.

Justeru, Seri Paduka wajib menandatangani semua Rang Undang-Undang yang diluluskan kedua-dua Dewan.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong perlu dianggap sebagai mercu perlambangan Ketua Negara yang paling tinggi lagi utama.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Kepala Utama Negara merupakan mercu kedaulatan Malaysia.

Semua rakyat tanpa mengira kaum, latar belakang agama, kebudayaan atau kepercayaan sedia terpanggil untuk memberi penghormatan dan pengiktirafan terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Benar, Seri Paduka adalah Raja berketurunan Melayu yang beragama Islam tetapi daripada sudut kenegaraan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah Raja bagi Malaysia dan rakyatnya.

Larasan yang paling mudah ialah Ratu Elizabeth di United Kingdom yang melambangkan pihak diraja bagi semua rakyat Britain yang sebahagian besar kini mewakili pelbagai kaum dan etnik.

Cuma Ratu Elizabeth tidak digilirkan kedudukan diraja baginda lantaran pemerintahan beraja secara Anglo-Saxon menjangkau 400 tahun lampau manakala Diraja Scotland dan England bersatu pada tahun 1603.

Selepas 11 April nanti, gambar rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah akan dipaparkan di semua pejabat rasmi Kerajaan di setiap negeri.

Begitu juga halnya di semua 104 kedutaan Malaysia di seberang laut.

RAJA BERPERLEMBAGAAN

Konsep dan amalan Raja Berperlembagaan di Malaysia diterima dan disahkan oleh pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Reid sebagai paling sesuai bagi negara ini.
Ini adalah kerana sebelum mencapai kemerdekaan, Raja-Raja Melayulah yang memegang tampuk kekuasaan dan kedaulatan bagi setiap negeri.

Walaupun dalam proses pergolakan bersejarah, negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah berakhir dengan ketiadaan Raja, pemerintahan beraja terus-menerus beroleh pengiktirafan, khasnya di bawah pentadbiran kolonial British.

Selepas 1963 semua negeri yang tiada Raja (Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan) secara automatik menerima Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan walaupun tiada perisytiharan dibuat bagi maksud itu.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah Raja yang memerintah mengikut nasihat cabang Eksekutif. Seri Paduka sebenarnya mempunyai senarai tanggungjawab dan fungsi yang panjang lagi rumit bagi ketiga-tiga cabang Kerajaan – Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman.

Seri Paduka melantik Perdana Menteri, para Menteri dan Timbalan Menteri, Peguam Negara, hakim mahkamah semua peringkat (kecuali mahkamah majistret) dan mentauliahkan para duta Malaysia untuk bertugas di kedutaan seberang laut.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan menjadi Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia di samping bertindak sebagai pihak yang boleh mengampunkan atau menangguhkan hukuman bagi semua kesalahan yang dijatuhi mahkamah tentera dan kesalahan-kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Ketika Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) masih berkuatkuasa, Seri Paduka boleh bertindak atas hal berkaitan rayuan daripada Lembaga Penasihat ISA.

Seri P aduka berkuasa, atas nasihat, mengisytiharkan sesuatu keadaan darurat menurut kehendak Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

MAJLIS RAJA-RAJA (MRR)

Majlis Raja-Raja (MRR) yang merupakan badan tertinggi diraja dan yang memilih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan di bawah Perkara 38.

Walaupun hal-hal dasar kenegaraan juga boleh diagendakan untuk MRR, kebanyakan hal yang dipertimbangkannya adalah berkisar pada perkara-perkara kedirajaan, pengampunan, menangguhkan dan meringankan hukuman, adat-istiadat Melayu dan hal-hal yang berkaitan agama Islam.

Biasanya, MRR juga memberi perhatian kepada pelantikan-pelantikan tertentu seperti para hakim dan peraturan-peraturan yang diperbuat di bawah Perkara 32 mengenai perkhidmatan awam. Pendeknya SPBYDA terlibat dalam banyak hal dan urusan berkaitan jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Kepala Utama Negara.

PROGRAM

Program-program khas dari 11 April hingga 21 April tentunya mendapat perhatian rakyat. Walaupun daripada segi amalan dan susunannya tidak banyak berbeza daripada amalan perayaan yang dijalankan pada masa lampau lantaran perlu menjejak turutan tradisi, penegasan Jawatankuasa Induk Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tertumpu kepada tema "Raja dan Rakyat Berpisah Tiada".

Istiadat pertabalan yang bakal dihadiri semua kerabat diraja dan Yang Dipertua Negeri pada 11 April akan diadakan mulai jam 9 pagi.

Ringkasnya, tema ini menegaskan perihal "tiada rakyat tiada Raja" dan hubungan antara kedua-dua entiti itu harus dipelihara dengan cermat lagi berkesan dalam ertikata kepentingan rakyat tidak diabaikan. Sementara itu institusi Raja Berperlembagaan sentiasa dipelihara dan dihormati.

Pada 12 April (Khamis) diadakan bacaan Yassin di Masjid Negara dan disusuli dengan khutbah khas pada Jumaat 13 April.

Dijadualkan juga acara keagamaan lain yang memberi ucap selamat untuk Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong melalui sesi agama kaum masing-masing.

Satu pertandingan golf akan diadakan pada 14 April (Sabtu) di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam, mulai jam 7.40 pagi.

Pameran Raja Kita pada 15 April (Ahad) mulai jam 11 pagi di Istana Negara Lama dijangka menarik minat rakyat.

Pameran itu memuatkan pelbagai aspek pemerintahan beraja dan institusi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semenjak merdeka 1957 hinggalah ke hari ini.

Sempena pertabalan ini, kira-kira 50,000 buku kecil "Raja Kita" akan diedarkan khasnya bagi pelajar sekolah serta generasi muda untuk mengenal dan memperhalusi ilmu pengetahuan darihal institusi diraja khasnya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah akan meraikan sekumpulan kanak-kanak di Dewan Serbaguna Istana Negara Baru pada 21 April mulai jam 9 pagi.

Pelbagai acara keceriaan kanak-kanak akan berlangsung sekali gus menggagaskan kepentingan kanak-kanak yang dilayani dengan penuh mesra.

Program raksasa "Persembahan Raja dan Rakyat Berpisah Tiada" sebelah malam 21 April di Dataran Merdeka adalah kemuncak perayaan pertabalan.

Pada malam itu diketengahkan pelbagai persembahan budaya pelbagai kaum, hiburan muzik serta nyanyian dan acara-acara selingan yang setimpal dengan malam kemuncak kepada perayaan Raja Kita.

KEUNIKAN

Apa yang akan dilangsungkan bagi tempoh 11 hingga 21 April tentunya akan menonjolkan satu keunikan bagi masyarakat yang berpaksikan Komuniti 1Malaysia: kita satu dalam kepelbagaian.

Kita satu dalam menentukan matlamat kenegaraan dan kita berani berbeza pendapat untuk melahirkan yang terbaik untuk Malaysia. Dalam usaha inilah institusi diraja – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menjadi paksi keutuhannya.

Seri Paduka bukan saja lambang kenegaraan, keutuhan dan kesatuan tetapi juga simbolisme yang penuh daulat.

Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku.
Rakyat dan Raja Berpisah Tiada.

(Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim, adalah Pengerusi Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14). - BERNAMA


(Berita Harian, 10 April 2012)

 

Monday, April 09, 2012

Tidak ada yang mustahil untuk berjaya




Bob Wieland
(Sumber: google images)

Pernahkah kita mendengar nama Bob Wieland? Barangkali tidak ramai yang pernah mendengarnya.

Bob Wieland merupakan seorang veteran perang Vietnam yang kehilangan kedua-dua kakinya dan bergerak menggunakan tangan.

Dalam satu perlumbaan marathon di New York, peserta lain menghabiskan masa hanya beberapa jam tetapi Bob mencatatkan rekod dengan masa 4 hari 2 jam 48 minit 17 saat kerana beliau bermarathon menggunakan kedua-dua tangan.

Bob Wieland tidak melihat kecacatan tubuhnya sebagai penghalang untuk berjaya. Namun sebahagian besar daripada kita telah hilang semangat sebelum perlumbaan yang sebenar.

Kejayaan bukanlah dinilai ketika seseorang memulakan usahanya tetapi dinilai ketika menyempurnakan tugasnya.


Sunday, April 08, 2012

Idea 'gila-gila' cetus inovasi




Industri penerbangan berubah dengan idea yang 'gila-gila'

Idea yang hanya 10 peratus dari produk terdahulu mampu menghasilkan jutaan ringgit. Banyak produk hari ini sebenarnya merupakan produk inovasi yang ditemui kerana orang memikirkan 10 peratus yang baru tadi.

Televisyen hari ini telah melalui proses inovasi yang sangat canggih sehinggakan kotak televisyen hitam putih susah hendak dicari. Alat atau gajet lain yang sangat pantas berubah ialah telefon bimbit.

Dengan sedikit inovasi, jenama-jenama terkenal berlumba-lumba menarik pelanggan dengan ciri-ciri tambahan yang unik dan berkualiti. Begitu juga jika kita sebagai pelajar, remaja, ibu bapa atau sesiapa sahaja, andai kata dapat membuat inovasi pemikiran, tentu dapat menjadikan hidup kita lebih bermakna.

Andainya kita dapat berfikir satu idea satu hari, Insya Allah kita dapat berkembang sebagai individu yang sangat hebat.

Bagi menjadi individu hebat, kita mesti mampu berfikir di luar kebiasaan, mencetuskan idea gila-gila dan tidak segan atau silu dengan sindiran. Begitu juga tidak takut untuk berhadapan dengan kritikan atau ancaman kerana orang yang berjaya ialah orang yang kuat jiwanya dan tabah dengan kesusahan.


Saturday, April 07, 2012

'Internal dialogue' reaksi diri yang sebenar

 
 
 


Secara sedar ataupun tidak, kita lebih banyak bercakap kepada diri sendiri dalam fikiran atau dipanggil sebagai 'internal dialogue' berbanding bercakap dengan orang lain.

Cuba kita ingat kembali, semasa menghadapi saat-saat sukar, contohnya tersangkut dalam kesesakan jalan raya, sekejap-sekejap pihak bank menelefon kerana urusan kad kredit atau kereta, setiap hari bos panggil masuk ke pejabat dan keputusan wang belanja keluarga.

Bagaimana reaksi kita ketika itu? Apakah ungkapan yang sering kita keluarkan?

Apabila menghadapi situasi seperti ini, reaksi berkenaan merupakan refleksi diri kita iaitu sama ada seorang yang optimis ataupun pesimis.

Orang yang optimis mengambil pendekatan yang aktif iaitu cepat bangkit daripada kegagalan, kepercayaan diri yang tinggi dan lihat masa depan yang cerah dengan peluang yang lebih banyak.

Orang yang pesimis menyerahkan masa depan kepada keadaan dan tidak memiliki daya juang untuk mengubah haluan hidup.


Friday, April 06, 2012

Mulai dengan diri sendiri



 
 
 



Melakukan perubahan bukannya angan-angan atau cita-cita yang tidak boleh dicapai tetapi bermula dari kerja keras dan niat yang bersih.

Semuanya digaul dengan akhlak atau tingkah laku yang lurus. Ramai orang yang telah berjaya mengubah diri, keluarga dan masyarakat melalui usaha yang bersungguh-sungguh, membuat perancangan rapi, mengambil kira semua faktor seterusnya memulakan langkah perubahan.

Dalam Surah Ar-Raad ayat 11 yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah suatu kaum sehingga mereka mahu mengubah diri mereka sendiri". Allah swt mengingatkan kita bahawa peluang untuk berubah terletak pada diri sendiri, andai mahu bertindak, memilih pendekatan yang betul, Insya Allah akan mencapai kejayaan.


Thursday, April 05, 2012

Cerewet, cermat dan cekap




Lambang kuat bekerja, bersih,
teratur dan sempurna.

Kebanyakan orang bersetuju jika dikatakan orang Jepun rajin bekerja. Ciri-ciri kerajinan ini terserlah dalam budaya hidup orang Jepun dan mereka memiliki nilai-nilai yang tidak ada pada kebanyakan orang.

Nilai-nilai inilah yang menjadikan mereka lebih berjaya dan hebat. Sejak kecil anak-anak dilatih dengan nilai kuat bekerja, menjaga kebersihan dan teratur serta mahukan kesempurnaan. Semua nilai ini menjadikan orang orang Jepun lebih cerewet, cermat dan cekap dalam membuat keputusan. Apabila bekerja, mereka memberikan perhatian dalam semua perkara, melakukan yang terbaik dan pentingkan kualiti.

Jika kita teringin hendak membeli sebuah televisyen baru, jenama yang mana satu kita akan pilih? Sebut sahaja produk elektrik, sedozen jenama buatan Jepun yang muncul.

Nilai dan budaya yang disemai sejak kecil menjadikan orang Jepun lebih banyak bekerja dan mencipta produk baru yang inovatif untuk masyarakat dunia.


Wednesday, April 04, 2012

Susun keutamaan

 
 
 


Kita sentiasa diingatkan untuk memberi keutamaan dalam hidup. Namun kita selalu lupa kerana memang sifat kita yang mudah lupa. Kadang-kadang hal yang remeh menjadi keutamaan menyebabkan banyak urusan penting tergendala.

Kita boleh menyusun kategori keutamaan hidup. Pertama, keluarga dan pendidikan anak-anak. Kedua, kerjaya iaitu pembangunan kerjaya untuk naik pangkat dan personaliti. Ketiga, sumbangan kepada masyarakat.

Keupayaan meletakkan keutamaan pada tempat yang betul dapat mengurangkan kos dan menjimatkan masa. Ramai orang yang terpaksa berbelanja lebih kerana mencampuradukkan di antara keutamaan dan remeh-temeh. Andai kita dapat mengurus keutamaan dengan baik, Insya Allah, hidup menjadi lebih bahagia.


Tuesday, April 03, 2012

Hidup untuk memberi dan beramal

 
 
 


Sebahagian daripada hidup kita ialah memberi. Lebih banyak memberi, lebih banyak kita menerima.

Inilah kitaran hidup yang dilalui oleh seorang rakan yang telah bersara dan menguruskan sebuah kolej pengajian tinggi swasta.

Semasa muda dan bekerja di universiti, beliau sentiasa mencari peluang untuk memberi ceramah, buat kelas tambahan dan tambahkan wang untuk operasi rumah anak-anak yatim. Kegemarannya ialah memberi kuliah agama di surau dan masjid. Beliau tidak ada masa untuk duduk bersenang-senang seperti orang lain.

Baginya, hidup adalah memberi kerana dia mengharapkan kualiti hidup yang lebih baik. Kadang-kadang wang gaji habis digunakan untuk melakukan amalan kebajikan demi kesenangan orang lain.

Hari ini, ada di antara orang-orang yang pernah dibantunya kembali menemuinya dan bersama-sama melakukan kebajikan untuk kesenangan orang ramai.




Monday, April 02, 2012

Perubahan adalah menyakitkan




Jalan masa depan bergantung kepada diri sendiri

Perubahan selalunya menyakitkan kerana kesakitan dan kepayahan adalah ciri-ciri perubahan.

Seorang anak muda yang baru menamatkan pengajian di universiti membuat keputusan untuk mencari kerja di negara orang. Dengan semangat berdikari yang tinggi, beliau berjaya meyakinkan beberapa kenalan untuk membuka satu bisnes. Susah payah dalam bisnes ditempuh dan dalam masa 12 bulan, bisnes ini semakin besar dan mendapat sambutan.

Masalah mula timbul iaitu iri hati. Lalu pemuda itu diminta melepaskan semua urusan bisnesnya. Dengan senang hati pemuda ini berlalu pergi dan di dalam fikirannya ialah masa depan yang gelap.

Bersama tekad tidak mahu mengalah, dia kembali ke negara asal, mula bekerja dan mengumpul wang dan mendaftarkan diri di universiti untuk meneruskan pengajian. Hari ini, anak muda itu telah berjaya dalam kerjayanya, mempunyai rakan-rakan yang lebih ramai dan hidupnya kembali bahagia.

Hidup sentiasa penuh dengan ujian yang tidak disangka-sangka. Namun ketabahan dan kesabaran adalah kunci kepada kejayaan dalam mengharungi ujian ini kerana Allah swt berkenan untuk melihat orang yang diuji itu bersabar dan redha dengan apa yang berlaku ke atas dirinya.


Sunday, April 01, 2012

Perubahan sentiasa berlaku




Perubahan tetap berlaku sama ada suka ataupun tidak

Perubahan berlaku secara sukarela atau paksa. Kalau telah diberi peluang berubah secara sukarela tetapi masih enggan, pilihan yang ada hanyalah satu iaitu paksa. Sukarela dan paksa berlaku di semua peringkat sama ada negara, negeri, komuniti, persatuan ataupun dalam keluarga sendiri.

Ketika menjadi perdana menteri, Tun Dr Mahathir telah melakukan banyak perubahan dan pembaharuan yang merangkumi nilai, sikap dan budaya masyarakat Malaysia. Salah satu kesan yang sangat mempengaruhi masyarakat ialah penyelarasan masa seluruh negara. Sebelum itu, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan dua jam yang berbeza masa dalam sepuluh saat sebelum Berita Nasional 8 malam ke udara.

Kewujudan dua masa yang berbeza memberi kesan kepada institusi pendidikan, kewangan dan badan penyiaran sendiri. Waktu sekolah di Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak juga tidak sama.

Falsafah penyelarasan masa telah menyatukan pemikiran rakyat Malaysia untuk bekerja bersama-sama membina negara walau di mana mereka berada. Di peringkat Asean, negara-negara jiran turut mengikut langkah Malaysia menyelaraskan masa masing-masing.