Thursday, April 26, 2012

Tidak mahu mengalah



Bagi orang-orang muda yang baru menamatkan alam persekolahan dan masuk ke alam pekerjaan, persaingan mencari kerja sangat sengit. Bahkan kita yakin, dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia, mereka perlu bersaing dengan lulusan universiti dan kolej universiti.

Andai lulusan universiti belum tentu mendapat pekerjaan, bagaimana pula dengan lulusan sijil atau diploma ini? Kepada orang-orang muda yang telah mencuba tetapi gagal, anda jauh lebih baik jika dibandingkan dengan mereka yang tidak pernah mencuba.

Ramai orang yang berjaya telah pernah gagal berulang kali.

Contohnya dua orang penulis buku inspirasi yang berpusing-pusing mencari penerbit buku. Penerbit pertama, kedua sehinggalah ke-33 menolak. Namun dengan semangat pantang menyerah kalah, mereka berjumpa dengan penerbit ke-34 yang mahu merealisasikan impian mereka kedua.

Akhirnya, buku Chicken Soup for the Soul diterbitkan dan terkenal di dunia.

Bagaimana buku ini bermula?

Buku ini adalah hasil pengalaman 20 tahun berseminar dan memberi ucapan. Buku pertama mengandungi semua kisah yang digunakan dalam seminar untuk menggambarkan perkara-perkara yang mereka mahu buat.

Mereka mengambil masa dua tahun untuk mengumpulkan semua cerita dalam sebuah buku. Sebagai usaha untuk menulis buku yang seterusnya, di akhir bab pertama dinyatakan, “Jika anda mempunyai cerita yang hebat yang anda fikir boleh membantu orang, hantar dan mungkin kami akan menerbitkan buku kedua."

Lalu mereka mula mendapat antara 50 dan 200 cerita sehari. Hasilnya kini terdapat lebih 225 buku telah dicetak dengan lebih 500 juta naskah jualan di seluruh dunia dalam 47 bahasa.

Bagaimana pula mereka menggerakkan kempen dan promosi? Adakah ia suatu nasib?

Mereka sangat percaya bahawa setiap orang membuat nasib mereka sendiri dengan persediaan dan strategi yang baik. Mereka menggunakan peraturan “The Rule of 5” iaitu melakukan 5 langkah khusus setiap hari untuk bergerak ke arah matlamat dan sasaran. Contohnya, mereka membuat 5 panggilan telefon kepada akhbar untuk membuat ulasan dan menghantar 5 salinan percuma buku tersebut kepada pengulas yang dipilih.

Sebaik sahaja mereka menghantar salinan buku kepada penerbit dan pengurus rancangan TV,  semua pekerja termasuk penulis skrip, jurukamera dan pelakon diminta untuk membacanya. Kemunculan buku ini  sampai kepada Hollywood Reporter yang mencetak dan mengeluarkannya ke sindikasi dan diterbitkan pula dalam akhbar di seluruh Amerika Syarikat.

Mereka bekerja keras dan berusaha untuk melakukan penambahbaikan supaya dapat mencipta kejayaan yang lebih besar.





No comments:

Post a Comment