Taman Saujana Hijau, Presint 11 |
UTUSAN: Apa keutamaan Tan Sri sebaik sahaja diberi kepercayaan untuk menerajui PPj?
TAN SRI ASEH CHE MAT: Pertama sekali terima kasih kepada kepimpinan negara dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di atas kepercayaan ini. Saya berhasrat menjadikan Putrajaya tempat yang ulung dan contoh kepada tempat-tempat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.
Putrajaya ialah sebuah pusat pentadbiran yang mempunyai semua ciri-ciri terbaik dan paling mesra. Kalau dikategorikan sebagai bersih Putrajaya mestilah yang paling bersih, kalau cantik mestilah paling cantik dan semua ciri yang baik wajar ada di sini.
Maka, Putrajaya seharusnya menjadi benchmark dan ikutan kepada PBT dan bandar lain di dunia sebagai satu-satunya bandar termoden dan terbaru dalam dunia.
Selepas lebih dua bulan dilantik sebagai Presiden PPj apa yang menarik perhatian Tan Sri tentang Putrajaya?
Sebaik diberi amanah saya terus memulakan tugas dengan menyampaikan isu-isu asas iaitu melihat pada kehendak pelanggan itu sendiri di mana saya bagi keutamaan berkenaan isu kebersihan.
Saya melihat kebersihan di Putrajaya belum di tahap membanggakan mungkin ramai orang sudah berpuas hati tapi bagi saya tidak. Dalam tempoh dua minggu saja saya sudah ambil gambar dan lawat puluhan tempat untuk melihat tandas-tandas dan saya dapati banyak penambahbaikan kena dilakukan. Jadi saya merumuskan tahap kebersihan di sini mungkin di tahap memuaskan hati pekerja-pekerja kontrak kerana ramai daripada mereka ialah pekerja Bangladesh, Nepal, Pakistan dan Indonesia.
Lebih teruk, selain tandas berbau ada juga yang jadikannya sebagai tempat memasak. Bila berhadapan sesuatu masalah saya akan siasat hingga ke akar umbi bukan sekadar ambil gambar tapi sehingga panggil kontraktor dan baru-baru ini seramai 106 kontraktor di Putrajaya dipanggil memberitahu permasalahan yang berlaku sekarang. Kebanyakan mereka beritahu masalah itu berlaku disebabkan kekurangan pekerja tetapi bagi saya alasan itu tidak boleh diterima.
Berapa lama Tan Sri hendak tengok semua perubahan ini berlaku?
Dari aspek kebersihan kesedaran sudah begitu meningkat. Sebagai contoh ada satu tempat saya jalan kaki tiga kali dan jumpa pekerja yang sama tidak buat kerja tetapi sejak pasukan jalan kaki ditubuhkan pada setiap Selasa dan Khamis saya lihat dia sudah mula bekerja.
Selain itu, saya juga sentiasa mendapatkan maklum balas daripada orang ramai dan pelanggan. Antara rungutan diterima berkaitan kesesakan lalu lintas pada waktu bekerja dan masalah tempat letak kereta di beberapa tempat. Kita akan bagi perhatian masalah itu dan cuba atasinya dalam jangka masa pendek dan panjang.
Dalam masa sama, saya juga mendapat maklum balas daripada pihak berkuasa seperti minggu lepas ketika mempengerusikan mesyuarat bandar selamat, dilaporkan bahawa jenayah di Putrajaya berada pada kadar yang paling rendah iaitu satu jenayah satu hari manakala kes kecurian motosikal pada tahun lepas ialah sebanyak 200 buah. Bagi saya ini boleh dikurangkan lagi dan dibendung.
Apakah peranan PPj untuk membendung masalah jenayah itu?
Banyak program akan dilakukan terutamanya mendekati orang ramai serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti minggu lepas saya panggil Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan Presidennya, Datuk Omar Osman beritahu saya sepanjang PPj ditubuhkan ini kali pertama mereka dipanggil bertemu. Bagi saya Cuepacs merupakan badan yang penting kerana mereka ialah sebuah NGO dan sebahagian besar penduduk di sini merupakan kakitangan kerajaan.
Tiga hari lepas pula saya panggil guru-guru besar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) supaya setiap program sekolah, PPj akan libatkan diri sekali.
Berdasarkan pemerhatian Tan Sri apakah kekangan yang perlu di atasi segera untuk memastikan imej Putrajaya terus terpelihara?
Saya melihat kepada soal sistem penyampaian sesuatu produk sebagai contoh ketika mengetuai Kementerian Dalam Negeri (KDN) saya laksanakan sistem pasport segera oleh itu bercakap soal produk benda pertama saya lakukan ketika berada di sini ialah mendalamkan Tasik Putrajaya supaya kapal Cruise tasik boleh pusing keliling tasik itu.
Ini kerana sekarang cruise itu tidak boleh pusing habis kerana terdapat kawasan yang airnya sangat cetek dan tidak pernah digali sejak 2007. Jadi saya selesaikan masalah ini dulu sebab ia nampak cacat dan saya mahukan produk kita sempurna. Dalam masa sama, saya mahu libatkan semua orang di PPj, seperti menghantar pegawai muda pergi berkursus di Melaka untuk melihat program di sana. Saya mahukan seluruh anggota supaya betul-betul aktif dan mahu kejutkan mereka supaya kerja lebih daripada biasa.
Putrajaya bertuah ada kemudahan lengkap, apakah langkah untuk menaikkan lagi imej Putrajaya?
Bagi saya penglibatan semua pihak itu penting kalau kemudahan bertaraf dunia tetapi mempunyai minda kelas ketiga ia masih tidak memadai sebab itu dari awal saya mahukan isu asas diselesaikan.
Dengan izin Ketua Setiausaha Negara (KSN) saya mahu bertemu dengan semua Ketua setiausaha Kementerian (KSU) diikuti dengan timbalannya yang menjaga bahagian pengurusan dan akhir sekali adakan sesi dengan semua KSU bersama KSN.
Ini kerana saya mahu mewujudkan perasaan sense of ownership atau rasa tanggungjawab dimiliki oleh semua pegawai kerajaan di mana saya sebagai fasilitator, PPj sebagai tunjang dan yang lain membantu.
Tan Sri dilihat begitu gemar menggunakan pendekatan turun padang dalam mengadakan penambahbaikan, adakah pendekatan seperti ini akan diteruskan atau ia hanya dilakukan di peringkat permulaan sahaja?
Pendekatan saya memang berterusan dari dulu sampai sekarang tidak boleh duduk diam tiap-tiap hari ada benda kena buat contohnya dua hari lepas saya melawat satu kawasan yang selalu berlaku kemalangan sebaik menerima aduan.
Dalam masa sama, saya juga mahu libatkan pegawai muda dengan program-program baru supaya mereka tahu setiap aktiviti mahu pun masalah yang berlaku di Putrajaya.
Apakah perancangan Tan Sri untuk memastikan bahawa Putrajaya tidak hanya dikenali sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan semata-mata sebaliknya menawarkan lebih daripada itu?
Saya melihat Putrajaya dari aspek produk pelancongan iaitu untuk menggemilangkan dan menghidupkan Putrajaya. Sekarang ini pelancong melawat tanpa sebarang penerangan khusus diberikan jadi saya merancang menghantar pegawai muda ke Melaka untuk berkursus supaya selepas ini boleh atur program dan terlibat sebagai pemandu pelancong.
Dalam masa sama, ada pegawai yang cadangkan supaya ditubuhkan unit pelancongan maknanya tambah orang tetapi saya tidak percaya pendekatan itu bagi saya cukup menggunakan tenaga kerja sedia ada cuma lakukan sedikit penambahbaikan.
Selain itu, Putrajaya juga unik kerana mempunyai tasik yang luas jadi saya mahu kita beri perhatian pada aktiviti sukan air dengan melatih pelajar-pelajar sekolah untuk mewakili Putrajaya dalam pelbagai kejohanan besar sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa.
Kita juga sedang berunding pada hari Ahad orang awam boleh menaiki helikopter untuk pusing Putrajaya melalui udara. Dalam masa sama, akan memberi nafas baru kepada pengangkutan Bas Nadi Putra untuk membawa pelancong dari Kuala Lumpur datang ke sini dengan hanya mengenakan token semurah RM1 sebagai harga pengenalan.
Bagaimana pula usaha menghidupkan suasana malam di Putrajaya yang sering mendapat jolokan bandar mati apabila tiba waktu malam dan hujung minggu?
Kita akan cadangkan beberapa program menarik pada hujung minggu contohnya yang telah diadakan seperti Konsert Kemuncak Suria FM 2012 di Dataran Putrajaya dan pertandingan memancing.
Pertandingan memancing misalnya dulu saya dimaklumkan hanya 1,000 kaki pancing saja yang datang sekarang saya buka lebih luas turunkan yuran daripada RM30 ke RM10 dan ditambahkan dengan pelbagai jenis hadiah. Selain itu, sebanyak enam pertandingan memancing terbesar dengan hadiah menarik juga akan diadakan bermula tahun hadapan.
Saya juga merancang untuk hidupkan Boulevard pada hujung minggu dengan kehadiran ahli kelab-kelab kereta mewah misalnya. Selain itu, pelbagai program melibatkan belia juga akan diperbanyakkan misalnya paintball, kapal terbang control dan lain-lain lagi.
Selain itu, saya merancang menayangkan wayang pacak di Dataran Boulevard pada waktu malam Ahad untuk sebulan atau dua minggu sekali kalau sambutan menggalakkan kita akan adakan tiap-tiap minggu.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad minta saya tengok model di Champs-Elysees di Paris di mana beliau meminta Boulevard Putrajaya mencontohinya.
Saya juga hendak hidupkan semula pertunjukan bunga api yang pernah dibuat di sini beberapa tahun lalu kerana ia mendapat sambutan yang baik.
Pada bulan Ramadan akan datang saya merancang mahu menjadikan dua masjid di sini sebagai produk pelancongan dari waktu berbuka hingga sahur dengan turut dibina bazar tanpa perlu bersesak-sesak ke Kuala Lumpur.
Ada yang melihat pendekatan turun padang seolah-olah mahu menidakkan sumbangan presiden terdahulu. Boleh Tan Sri komen?
Bagi saya pemimpin terdahulu ialah yang terbaik pada masa itu mungkin pada masa itu pembangunan Putrajaya tidak sampai ke tahap hari ini tetapi sekarang keperluan sudah bertambah dan pendekatan lama sudah tidak sesuai lagi.
Saya juga melihat kedudukan pegawai dan kakitangan di sini dalam keadaan selesa mungkin mereka tidak sedar permintaan sudah meningkat jadi tugas saya untuk gegarkan balik.
Ada pihak yang tidak gemar dengan cara Tan Sri yang terlalu kerap turun padang seolah-olah mahukan publisiti, apa pandangan Tan Sri?
Saya sudah cukup enjoy publisiti sewaktu berkhidmat dengan kerajaan dahulu kalau betul saya mahukan publisiti sudah lama saya tunjukkan gambar-gambar kebersihan tandas dan keadaan landskap yang teruk.
Tidak ada faedah pun cari publisiti jadi apa yang saya buat untuk kebaikan hari depan, publisiti pun perlu tapi bukan secara berlebihan kerana kita bukan ahli politik. Kalau nak tulis silakan kalau tidak mahu pun tidak mengapa tetapi lebih baik kita uar-uarkan sesuatu berita supaya orang ramai tahu.
Apa pencapaian setakat hampir tiga bulan meneraju PPj?
Saya sedang mula menyusun benda baru dan mulakan benda asas letakkan balik Putrajaya di tahap dan landasan yang betul. Saya juga lebih gemar mengambil pendekatan kemanusiaan contohnya berkaitan kebajikan kakitangan supaya semua terjaga dan komited untuk bekerja.
Selain itu, saya juga memupuk semangat berpasukan di kalangan mereka termasuk penguatkuasa dengan harapan semua orang dapat bekerjasama membantu memartabatkan Putrajaya.
Saya juga mengambil pendekatan lain dalam mentadbir PPj sebab selepas bersara saya terlibat dengan sektor swasta jadi setiap perkara perlu dipandang dari aspek perniagaan jadi banyak benda yang bermasalah di sini akan diperbetulkan.
(Utusan Malaysia, 31 Oktober 2012)
No comments:
Post a Comment