Tuesday, October 30, 2012

Belajar sesuatu daripada Mo Ibrahim






oleh Karim Raslan

Mo Ibrahim, seorang jurutera Sudan berusia 66 tahun adalah seorang tokoh yang berterus-terang. Menurutnya, “hanya negara Afrika yang kaya tetapi rakyatnya adalah miskin. Sepatutnya keseimbangan antara sumber asli dan jumlah rakyat membuatkan mereka lebih kaya.”

Mo sememangnya tahu akan hakikat ini. Bermula pada 1998, usahawan itu memulakan perniagaan yang akhirnya menjadi Celtel, sebuah syarikat rangkaian telefon bimbit pan-Afrika yang kemudian dijual pada harga AS$3.4 bilion pada 2005.

Sejak itu dan sejak tujuh tahun lalu, penembusan telefon bimbit di Afrika meningkat di luar jangkaan.

Pada bulan Julai, BBC menganggarkan kini terdapat kira-kira 695 juta pelanggan telefon bimbit di Afrika. Penggunaannya bukan hanya membantu hubungkan pengguna, tetapi pengganti untuk infrastruktur yang kurang atau tidak ada, terutama berkaitan dengan sistem perbankan dan pembayaran.

Pada masa sama, China yang mengejar kekayaan sumber asli telah menyebabkan ledakan ekonomi- dan juga peningkatan kegiatan rasuah.

Setelah menjual Celtel, Mo tidak hilang daripada kehidupan umum, sebaliknya beliau berusaha melunaskan impian peribadi.

“Kami di Afrika tidak boleh terus menyalahkan orang lain - terutamanya penjajah - untuk kegagalan kami. Kita harus memikul tanggungjawab sendiri. Semuanya bergantung kepada kepimpinan dan bagaimana rakyat memilih untuk ditadbir,” katanya.

Pada 2007, Mo yang didorong kekecewaan terhadap rasuah dan penyelewengan yang dihadapinya telah menubuhkan dua inisiatif untuk pentadbiran dan kepimpinan di bawah panji Yayasan Mo Ibrahim.

Beliau mendanai pengiktirafan “Ibrahim Prize” untuk Pencapaian Kepimpinan Afrika. Mo juga menubuhkan Ibrahim Index of African Governance untuk pantau perkembangan sistem pentadbiran negara-negara serantau.

Anugerah kepimpinan itu menarik perhatian ramai kerana jumlahnya besar - penerima akan mendapat wang ganjaran USD5 juta sepanjang 10 tahun serta AS$200,000 setahun untuk tahun seterusnya. Penerima akan dapat ganjaran tambahan sebanyak AS$200,000 setahun jika mereka menjalankan aktiviti yang memanfaatkan rakyat.

Pada asasnya, Yayasan (Mo bukan sebahagian daripada jawatankuasa memilih pemenang) akan memilih pemimpin Afrika atau pentadbir rasmi kerajaan yang telah bersara daripada jawatan tertinggi. Ia merupakan pengiktirafan tertinggi dan sejak enam tahun lalu terdapat hanya tiga penerima, termasuk Joaquim Chissano dari Mozambique.

Bagaimanapun, Mo amat berbangga dengan indeks beliau. Seperti dijelaskan kepada saya ketika makan malam baru-baru ini, indeks itu - yang kini memasuki tahun keenam - memberikan gambaran pengurusan setiap satu daripada 54 negara Afrika secara menyeluruh dan berterusan.

Menurut Yayasan beliau, “indeks tersebut adalah koleksi data kuantitatif yang paling komprehensif bagi menyediakan penilaian tahunan pengurusan di setiap negara Afrika” serta “rangka kerja untuk rakyat, pihak berkuasa dan badan independen untuk menilai penyediaan projek awam dan perkhidmatan yang berkesan.”

Walaupun metodologinya mungkin dipersoal (bergantung pada 88 penunjuk dari 23 pemberi data bebas antarabangsa), tidak boleh diragu bahawa Mo melihat latihan itu dengan serius.

Setelah indeks mencecah tahun keenam, ia memberikan gambaran baik mengenai prestasi negara-negara, sama ada meningkat atau tidak.

Sebagai contoh, dalam indeks terbaru dikeluarkan bulan ini, Yayasan itu mendedahkan tujuh negara termasuk Liberia, Angola dan Rwanda menunjukkan peningkatan ketara dalam skor pentadbiran keseluruhan mereka, manakala Tanzania menjalani peningkatan momentum yang ketara. Sebaliknya, beberapa pemain utama serantau Afrika - Mesir, Kenya, Nigeria dan Afrika Selatan menyaksikan tren yang bertentangan, terutama dalam petunjuk Keselamatan & Kedaulatan Undang-Undang, dan Penyertaan & Hak Asasi Manusia.

Mo bukan usahawan terkaya di Afrika, tetapi komitmennya terhadap pentadbiran dan kepimpinan negara membuatkan beliau salah satu daripada pemimpin penting bagi Afrika.

Setelah bertahun mendengar pengusaha Malaysia merungut tentang rasuah dan pentadbiran yang lemah, saya rasa ada banyak boleh dipelajari daripada Mo - dalam dunia perniagaan, Mo telah merangka sebuah plan yang berjaya dalam mengatasi masalah kepimpinan dan rasuah. Adakah anda berani untuk mengikuti jejak langkah beliau? Tepuk dada, tanyalah selera….


(Sinar Harian, 30 Oktober 2012)




No comments:

Post a Comment