Tuesday, November 27, 2012

Kunjungan tukang cerita ke Afrika

 



oleh Karim Raslan

Novel hebat Joseph Conrad yang berlatar belakangkan Afrika, The Heart of Darkness, bermula dan berakhir dengan konsep berlandaskan suasana lembab dan suram di kota Brussels, Belgium. Bagi novelis Poland ini yang dahulunya pelaut, ibu kota Eropah utara itu merupakan puncak keangkuhan dan kepura-puraan kelas bourgeois: sebuah bandar diliputi istana mewah dan bangunan awam yang dibiayai keringat hamba di Congo yang bekerja untuk mendapatkan gading, getah dan sedekad kemudian, kobalt dan tembaga.

Pada pendapat saya, daya tarikan terhadap Afrika (atau mungkin lebih kepada obsesi?) boleh dikesan kembali ke perkampungan wira komik Tintin. Malah, pengalaman di Brussels bulan lepas memang seperti digambarkan oleh Conrad, iaitu suasana yang sungguh ‘suram’ dan berkabus.

Mengapa saya ke Brussels? Sebenarnya, saya ke ibu kota negara yang terkenal dengan strawberi dan coklat itu untuk menghadiri mesyuarat lembaga pemegang amanah sebuah badan bukan kerajaan iaitu International Crisis Group atau ICG.

ICG, sebuah lembaga bebas dianggotai pemikir seluruh dunia yang ditubuhkan khas untuk mencegah dan mencari penyelesaian konflik berbahaya secara global. Pergerakan ini diketuai Louise Arbour, seorang ahli perundangan Kanada yang amat dihormati, (beliau juga bekas Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia) bersama kakitangan melebihi 150 orang di seluruh dunia.

Sewaktu di Brussels saya tertarik dengan sesi di Afrika, sehinggakan ketika ada masa lapang, saya akan bergegas ke kedai-kedai buku di gedung antik Place Sablon dan Avenue Louise, yang juga penuh dengan artifak dari Afrika Barat dan Tengah.

Ketika di sana jugalah saya menerima undangan daripada rakan ahli lembaga ICG, Mo Ibrahim untuk menghadiri acara Mo Ibrahim Foundation’s Governance Weekend di Dakar, ibu kota Senegal. Didorong keinginan untuk melarikan diri dari kebosanan menunggu Pilihan Raya Umum Malaysia yang ke-13 yang tidak kunjung tiba, saya mengemas beg dan menuju ke Afrika menaiki Kenya Airways 777 melalui Bangkok, pada masa sama, berfikir adakah saya telah hilang kewarasan?

Semasa mendarat di Lapangan Terbang Jomo Kenya di Nairobi, saya terkesima melihat penumpang dari pesawat sama bergegas untuk menaiki penerbangan sambungan masing-masing ke destinasi eksotik seperti Kigali, Luanda, Lubumbashi dan Juba – nama yang saya hanya pernah lihat di atlas.

Pengalaman di Nairobi sungguh membuka mata. Ibu kota Kenya menyerupai kesesakan lalu-lintas di Jakarta serta terkenal dengan reputasi untuk jenayah. Namun, saya nekad mengelilingi sekitar bandar untuk berjumpa dengan wartawan, aktivis, penganalisis politik dan penyelidik, dengan satu tangan menggenggam erat beg saya, takut dirompak!

Walau bagaimanapun, semasa makan malam dengan rakan-rakan di rumah ladang mereka yang terletak tinggi di kehijauan Ngong Hills, di mana penulis Denmark, Karen Blixen pernah tinggal, saya kagum dengan kemeriahan di bandar ini, penuh kerancakan dan sungguh dinamik.

Tiga hari kemudian, saya menaiki pesawat lain, mempersiapkan minda untuk perjalanan sembilan jam, kali ini untuk ke Dakar (melalui Abidjan). Sekali lagi, tertanya-tanya sama ada kekecewaan dengan politik Malaysia merupakan sebab munasabah untuk saya merantau jauh dari negara saya?

Mo Ibrahim Foundation’s Governance Weekend sememangnya merangsang minda saya untuk berfikir dengan lebih mendalam. Ada ketikanya saya berasa seolah-olahnya berada di Indonesia sekitar tahun 2002: menyaksikan permulaan sesuatu yang sangat dramatik dan penuh potensi.

Saya menghabiskan hujung minggu dengan pertemuan amat bermanfaat. Salah satu daripadanya adalah makan tengah hari bersama Trevor Manuel, Menteri Perancangan Afrika Selatan yang bernas, melihat penyanyi Angelique Kidjo yang mempunyai vokal mantap sehingga menggegarkan auditorium serta duduk semeja dengan salah seorang pemimpin muda sungguh berkaliber pernah saya jumpai, seorang bekas ahli perbankan dari Cameroon, Mamadou Toure yang boleh berbahasa Perancis, Jerman, Sepanyol dan Inggeris.

Setelah mempengerusikan panel dengan bekas Presiden Nigeria, Obasanjo Mamadou menjelaskan beliau aktif membantu menubuhkan gerakan aktivis NGO antaranya Africa 2.0, dan satu pergerakan khas untuk hartawan simen Nigeria, Aliko Dangote. Ketika beliau bercerita tentang Dangbara, salah satu dari kilang simen terbesar dan kini paling menguntungkan di dunia, masa itu terdetik di fikiran, akhirnya saya sudah tiba di Afrika pada masa yang sangat sesuai.



(Sinar Harian, 27 November 2012)

 

No comments:

Post a Comment