Jongole Angaya Ogile seorang lelaki yang tinggi lampai dan kurus. Berusia 38 tahun dan dilahirkan di Juba, sekarang ini merupakan ibu negeri Sudan Selatan. Beliau anak kepada bekas pegawai tentera dan penganut Kristian yang bertutur serta menulis dalam Bahasa Arab.

Berasal dari Sudan, negara yang telah mengalami perang saudara berdekad lamanya (akhirnya negara Sudan Selatan lahir pada 9 Julai 2011), kehidupan Jongole sememangnya sukar.

Terlihat di matanya akan segala bahaya pernah ditempuh. Sebaik kami melabuhkan punggung di kerusi kafe, mata Jongole meliar untuk melihat keadaan sekeliling- memastikan tiada pergerakan di luar jangkaan. Masih terbawa-bawa kehidupan seperti pelarian, berpindah dari satu kem perlindungan ke kem yang lain, dikawal polis, askar dan berhadapan puak penentang.

Kami di Nairobi, 555 batu selatan dari Juba yang merupakan hab penting untuk warganegara Sudan. Saya mewawancara Jongole untuk cuba menyelami pengalaman membesar dan hidup dalam dunia di mana yang konflik bersenjata merupakan norma kehidupan dan keamanan akhirnya, setelah sekian lama bakal menjadi sesuatu kenyataan. Tambahan pula, Sudan merupakan antara destinasi pelaburan terbesar Malaysia di benua Afrika.

Menurut Jongole, semuanya mulai musnah apabila kampungnya, Torit, 74 batu dari Juba, jatuh ke tangan puak pemisah SPLA dari Sudan Selatan. Jongole dan keluarganya melarikan diri ke Uganda dan kemudian ke Kenya sebelum kembali ke Khartoum. Sesudah kembali ke Khartoum, Jongole diterima masuk ke Sekolah Teknik Gadrif untuk mengejar cita-citanya menjadi jurutera elektrikal.

Awal 1990-an Sudan cuba bangun dari kombinasi perang saudara, ekonomi yang merudum dan inflasi meninggi. Buat Jongole, saat gelap paling diingatinya ialah ketika kerajaan memperkenalkan kerahan tenaga untuk tentera, sesuatu yang beliau tidak sanggup hadapi kerana tentera ketika itu diarahkan bertempur di zon bahaya seperti di Selatan Sudan dan Darfur.

Justeru pada 1995, ketika berusia 16 tahun, Jongole berhijrah ke Ethiopia atas desakan bapanya walaupun ibunya risau akan keselamatan anak muda itu di perantauan. Namun kerana masalah bahasa dan budaya, Jongole tidak bertahan lama di sana dan berhijrah pula ke Kenya.

15 tahun seterusnya, kehidupan Jongole terus dihantui ketidaktentuan, berpindah antara Kenya, Uganda dan Sudan, kadangkala mengikut kapal minyak yang sering ditahan pejuang pemisah SPLA.

Apabila ditanya mengenai pengalaman perang saudara di Selatan Sudan, Jongole mengeluh “pertempuran di sana berterusan. Ada bandar yang jatuh ke tangan puak pemisah kemudian dirampas semula oleh kerajaan. Saya kehilangan ramai ahli keluarga. Ini semua kerana politik.”


Bagaimana pula keadaan sekarang, di mana Sudan Selatan sudah bebas merdeka? Adakah beliau berhajat untuk pulang menetap di Juba atau kampung halamannya di Torit?

Jongole tersenyum simpul. Saya dapat melihat mukanya cengkung dan kulitnya yang tebal mengeras. “Sekarang ini, saya dalam proses berpindah ke Torit. Saya rasa keadaan sudah semakin aman, selamat untuk membesarkan keluarga. Keluarga saya juga akan berpindah ke selatan dari Khartoum.”

Beliau menambah, “ramai di antara kami yang pernah tinggal di Nairobi dapat melihat bagaimana kehidupan boleh diuruskan dengan baik di sana, dan kami akan cuba untuk mengikut model itu.” Apatah lagi, dengan jumlah populasi 8.26 juta,luas 644,329 km persegi dan simpanan rizab minyak yang besar, potensi negara tersebut membangun memang besar.
  
“Pekan-pekan di sini terlalu bergantung kepada penjana kuasa yang menggunakan diesel yang mahal. Kami memerlukan tenaga elektrik. Saya sendiri sedang dalam usaha mengimport penjana kuasa yang lebih efisien dari Korea Selatan.

Kami sedang dalam rangka untuk mendapat bekalan dari pusat penjanakuasa dengan kapasiti 3 Megawatt di Mombasa pada Januari 2012. Menurutnya ramai yang sudah pulang dari kem-kem pelarian di negara serantau.

Berkenaan konflik persempadanan baru-baru ini, Jongole menjelaskan, “itu bukan kehendak rakyat. Ini semua permainan politik. Tiada siapa menginginkan perang berterusan.”

Memandangkan Malaysia melalui Petronas, sudah mempunyai pelaburan di Sudan, saya bertanya kepada Jongole apa pendapat mereka tentang Malaysia.

“Pelabur Malaysia, adalah pelabur murni. Anda semua hanya datang untuk berniaga, bukan seperti China, mereka berminat untuk mempengaruhi sistem politik dan kedaulatan kami.”

Sebelum kami berpisah, terdetik di lubuk hati saya adakah harapan Jongole untuk kemanan dan kehidupan berkeluarga dan perniagaan yang harmoni - sesuatu yang kita nikmati dan mungkin juga tidak dihargai akan tercapai? Adakan keamanan ini akan berkekalan?

(Sinar Harian, 20 November 2012)