Tanggungjawab ibu bapa membesarkan anak |
(Dipetik daripada pembentangan Pengerusi Jawatan Kuasa Pembangunan Sosial Ikram, Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj bertajuk Senario Semasa Keluarga di Malaysia dalam Seminar Wanita dan Syariah 2012 bertemakan "Mengarusperdanakan keluarga asas pembangunan masyarakat")
Senario semasa keluarga di Malaysia dibahagikan kepada banyak cabang antaranya dalam aspek pembentukan keluarga, jurang generasi dalam keluarga, gejala sosial dan seksual. Ini adalah trend masyarakat kini yang mendatangkan kesan negatif dalam pembentukan sahsiah masyarakat kita.
Keluarga terhasil dengan ikatan perkahwinan, untuk mendapat keluarga bahagia memerlukan perkongsian dan bukan dipikul seorang. Ibarat kata suami, isteri dan anak-anak perlu saling bekerjasama untuk mengecapinya.
Firman ALLAH SWT bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untuk mu pasangan daripada jenis mu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya antara kamu rasa kasih dan sayang.
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”. (Surah ar-Ruum : 21)
Ramai berstatus bujang
Keupayaan membentuk keluarga melibatkan kesejahteraan fizikal, kemantapan ekonomi, kesediaan dari segi emosi, kelapangan masa di mana seseorang itu bijak membahagikan masanya dan sokongan sosial daripada ramai pihak.
Mungkin elemen di atas menakutkan sesetengah golongan untuk berumah tangga menyebabkan hampir 2.5 juta (16.7 peratus) rakyat Malaysia berusia dalam lingkungan 25 tahun ke atas berstatus bujang. Data tersebut berdasarkan bancian pada 2010.
Banyak kajian dilakukan dan mendapati bahawa terdapat lima faktor yang menyebabkan lelaki dan wanita kini tidak berkahwin iaitu:-
- Masalah kewangan
- Tidak ada calon yang berkenan di hati
- Hanya memikirkan kerjaya
- Selesa hidup membujang
- Komitmen terhadap keluarga
Ramai daripada mereka memberikan jawapan seperti di atas sedangkan alasan sebegitu perlu diubah. Lelaki adalah kelompok yang paling ramai tidak berkahwin (60.4 peratus) berbanding wanita (39.6 peratus).
Rumah tangga bergolak
Zaman bercinta indah belaka, selepas berkahwin indahnya itu semakin menghilang. Suami menunjukkan belang manakala isteri menampakkan taringnya, masing-masing tidak mahu kalah. Namun, pastinya tenaga lelaki lagi kuat sehingga berlakunya keganasan dalam rumah tangga.
Walaupun suami tidak pernah menjentik isterinya itu tidak bermakna tidak terjadinya keganasan dalam rumah tangga. Penderaan dari segi mental dan fizikal boleh diklasifikasikan sebagai keganasan rumah tangga. Punca utama wujudnya situasi ini adalah disebabkan ketidaksefahaman dan sering salah faham terhadap pasangan (54 peratus).
Faktor-faktor lain yang boleh dikaitkan seperti :-
- Kewangan
- Pengaruh alkohol
- Perasaan cemburu
- Masalah anak-anak
Daripada keganasan rumah tangga berlakunya penceraian dan mencambahkan gejala sosial dalam kalangan remaja kita. Betapa kejam remaja kita tanpa segan silu menjadi pembunuh bayi sendiri, memukul ibu bapa dan melakukan banyak perkara negatif.
Menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sejak 2005 hingga 2009, bilangan anak tidak sah taraf adalah 214,033 orang dan 74,723 orang (35 peratus) adalah kaum Melayu. Kaum Cina dan India (11 peratus) manakala lain-lain berjumlah (43 peratus).
Sejak 2000 hingga Julai 2008, lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa nama bapa. Secara puratanya, kelahiran anak luar nikah adalah:
- 2880 kes setiap bulan
- 96 kes setiap hari
- Satu kes pendaftaran adalah setiap 15 minit.
Bayangkan setiap kes didaftarkan dalam tempoh 15 minit, sedih dan bimbang. Inilah yang perlu kita utamakan, pembentukan nilai diri remaja bermula dari rumah.
Gerakan anti keluarga
Tanggapan institusi keluarga tradisional bersifat patriarki dan mengutamakan anak lelaki, tidak menghormati, meminggirkan, menindas, mengongkong dan menafikan hak wanita serta kanak-kanak perempuan, memaksa wanita hidup miskin dengan bergantung harap kepada suami dan bapa selain mengambil kesempatan terhadap fungsi reproduksi wanita iaitu mengandung, melahirkan dan menyusukan anak. Ia akan mewujudkan satu krisis keyakinan terhadap institusi keluarga tradisional. Lantas melahirkan satu aliran pemikiran memperjuangkan pemerkasaan wanita untuk menuntut hak asasi dari segi tahap pendidikan, kesihatan, ekonomi, politik dan lain-lainnya.
Kelompok feminis ini menganggap keluarga tradisional adalah liabiliti bagi wanita. Kaum Hawa terpaksa berkorban dan melupakan cita-cita. Feminis menggarapkan bahawa keluarga tradisional menghalang wanita untuk ke hadapan dan maju.
Pembelaan terhadap wanita menjurus kepada perjuangan mendapatkan kesamarataan gender. Sedangkan dalam Islam menetapkan lelaki adalah ketua dalam setiap urusan. Golongan Feminis liberal dan radikal mengetengahkan ideologi berlandaskan hak asasi individu dari perspektif sekularisme.
Keadaan itu menjurus kepada perkahwinan sama jantina yang diamalkan di luar negara, sekali gus melahirkan keluarga moden ciptaan Barat yang langsung bercanggah dengan agama Islam.
Kita perlu mengarusperdanakan keluarga dengan meletakkan institusi itu sebagai keutamaan dalam semua aspek pentadbiran, politik dan pembuatan polisi. Selain itu, sentiasalah mempertimbangkan impak dan kesan kepada institusi keluarga sebelum sebarang perundangan, polisi dan dasar digubal.
Sebagai akhir kata, jadikan rumah sebagai syurga dan bukannya tempat kesengsaraan. Wahai suami bantulah isteri jika berkelapangan, jangan hanya bersikap mahu menerima sedangkan memberi dan menerima adalah satu cerminan keluarga bahagia.
(Sinar Harian, 2 November 2012)
No comments:
Post a Comment