Kejayaan
Obama memenangi pilihan raya presiden Amerika Syarikat bagi penggal kedua
mengesahkan sokongan golongan muda ke atas pemimpin pertama kulit hitam itu.
Generasi milenium yang berumur dari 18 hingga 29 tahun meningkat kepada 19
peratus pada tahun ini berbanding 18 peratus pada 2008.
Ada beberapa
perkara pokok yang menjadi tumpuan dalam kempen Obama menarik minat
penganalisis politik dan pakar strategi. Selepas slogan “change” yang
meruntuhkan kekebalan Republikan, kini kempen Obama menggunakan slogan
“forward” untuk meraih undi. Keseimbangan strategi Obama dalam mengurus isu
ekonomi dan sosial Amerika Syarikat dikatakan telah menarik minat golongan
muda.
Kajian
Harvard Institute of Politics menunjukkan pengundi-pengundi muda lebih memihak
kepada Obama dalam isu-isu yang berkaitan dengan pembaharuan imigresen (50
peratus berbanding 30 peratus untuk Romney), dasar kesihatan (54 peratus
berbanding 35 peratus) dan isu-isu yang relatif kepada wanita (58 peratus
berbanding 27 peratus). Tinjauan oleh Pew Research Center pada tahun 2011 menunjukkan 59 peratus rakyat Amerika
Syarikat yang berumur 18 hingga 30 tahun menyokong perkahwinan sejenis.
Isu-isu lain
yang dapat ditangani oleh Obama ialah peneguhan berterusan ke atas perkahwinan
sejenis dan kebenaran tinggal selama dua tahun bagi pendatang asing yang tidak ada
pengenalan diri. Obama sedar pengundi-pengundi muda bukan sahaja membantu
pertukaran rejim malahan membantu membuat perubahan dasar.
Obama berhak
meraikan kemenangannya kali ini selepas Matt Romney mengaku kalah. Pilihan raya
di Amerika Syarikat berada dalam keadaan matang kerana pengundi meletakkan
elemen warna kulit di sebelah sebaliknya mengutamakan profesionalisme dan kebolehan
melakukan kerja. Dalam siri jelajah dan kempen Obama, majoriti yang datang
ialah penyokong kulit putih.
Obama juga
memahami isu-isu sosial yang tidak banyak disentuh oleh Romney. Contohnya perkhidmatan
kesihatan kepada golongan berpendapatan rendah menjadi perhatian Obama
berbanding Romney yang tidak merasai erti kemiskinan kerana dirinya sendiri
merupakan seorang yang kaya-raya.
Obama diberi
mandat sekali lagi untuk meneruskan agenda perubahan yang ingin dilakukan. Namun
beliau harus ingat bahawa masih terdapat ribuan rakyat Amerika Syarikat yang
tidak menyokongnya. Banyak lagi isu yang perlu dilakukan supaya penggal kedua ini
berjalan dengan lancar.
No comments:
Post a Comment