Dalam muktamar Parti Islam Semalaysia (PAS) baru-baru ini,
para perwakilan telah mencadangkan presiden parti, Datuk Seri Haji Hadi Awang
diangkat sebagai perdana menteri Malaysia selepas pilihan raya umum akan
datang. Keyakinan ini berdasarkan congakan umum bahawa Pakatan Rakyat akan
mendapat laluan ke Putrajaya memandangkan mood
pengundi yang dirasakan cenderung kepada mereka.
Sama ada berjaya atau tidak, seseorang pemimpin mesti
memiliki sifat optimis dalam perjuangannya supaya dapat membakar semangat para
pengikut di samping mengukuhkan corak kerja untuk meraih kejayaan. Hadi
Awang memiliki sifat tersebut namun banyak persoalan yang boleh ditanya tentang
kemampuan beliau dan persediannya sebagai perdana menteri. Jika dilihat
kepada pasukan kempen pilihan raya Amerika Syarikat baru-baru ini, Hadi Awang
wajar bekerja lebih kuat untuk memenangi hati pengundi-pengundi di Malaysia
khususnya pengundi Cina dan India.
Di Amerika Syarikat, proses pilihan raya presiden melibatkan
kempen dan strategi yang sistematik. Setiap calon mempunyai jentera kempen yang
unik dengan pelbagai latar belakang seperti pakar sains sosial, psikologis dan
teknologi korporat. Rata-ratanya adalah orang muda yang boleh bertahan dengan
bersengkang mata meneliti statistik, membuat maklum balas dan pantas membuat
keputusan.
Ketua kempen pasukan Barack Obama ialah seorang wanita
berusia 31 tahun, Laura Olin. Sebahagian besar latar belakang akademik wanita
ini adalah berkaitan dengan politik iaitu dari kolej hinggalah ke universiti.
Beliau menyertai pasukan Obama pada Mac 2011 dan sedikit demi sedikit menyerap gaya
dan gerak kerja Obama.
Olin merupakan wanita yang tangkas melakukan tugas,
serba-serbi tugasan dilakukan bermula dari mengedit emel, blog hinggalah
memantau jaringan media sosial baru. Bersama Abby Aronofsky, Jessi Langsan dan
Alex Wall, mereka memantau akaun Facebook, Twitter, Pinterest, Instagram,
Tumblr dan Spotify kepunyaan Barack Obama, Joe Biden dan Michelle Obama.
Ketangkasan pasukan media sosial ini sentiasa diuji, jadi
mereka perlu membuat keputusan dengan pantas. Apa sahaja isu yang dijangka
menjadi perhatian ramai akan disalurkan melalui akan masing-masing seperti Joe
Biden menguruskan hal ehwal veteran, keluarga kelas menengah dan pekerja kolar
biru manakala Michelle Obama menguruskan isu-isu pendidikan, wanita, kesihatan
dan pemakanan. Pada Obama, sasaran kempen adalah orang muda yang
menggunakan saluran Tumblr, sementara kempen kepada golongan berusia lebih 55
tahun ialah melalui Facebook. Kempen melalui media sosial menjadi kaedah
berkesan untuk memenangi hati pengundi di samping penggunaan media sedia ada
seperti akhbar dan televisyen.
Pendek kata, kempen Obama menggunakan jaringan media sosial
untuk menarik hati pengundi kerana negara itu memiliki akses kepada internet
yang sangat luas. Tambahan pula pengundi lebih matang dan menyedari hak dan
tuntutan masing-masing hanya akan dipenuhi jika calon yang dipilih akan menang
dalam pilihan raya.
Dalam PAS, komunikasi Hadi Awang menggunakan saluran media
sosial yang terhad. Facebook, Twitter, Berita TV PAS, HarakahDaily dan sokongan
beberapa blog yang belum mampu mencapai kelompok sasar dengan cepat. Beliau
bernasib baik kerana kadar penembusan jalur lebar di Malaysia hanya sekitar 60
peratus, justeru tidak semua rakyat Malaysia akan mendapat maklumat dan masih
perlu bergantung kepada kaedah konvensional seperti Harakah.
Tambahan pula, dalam beberapa isu negara seperti pendidikan, ekonomi, sosial dan budaya, maklum balas dilihat ringkas dan kurang meyakinkan. Sebaik-baiknya isu-isu ini harus dijawab oleh pakar dan disusuli dengan fakta yang boleh mempengaruhi hati dan minda pengundi. Di sinilah pentingnya pakar berada dalam pasukan kempen pilihan raya Hadi Awang supaya pengundi mendapat maklumat yang pantas, bernas dan logik.
Berbanding Barisan Nasional khususnya UMNO, pemimpin parti
itu memanfaatkan sepenuhnya laman Facebook, Twitter, laman sesawang dan
mendapat sokongan media konvensional seperti televisyen dan akhbar untuk
menerangkan agenda mereka.
Sebagai parti politik yang telah lama bertapak di Malaysia,
PAS perlu memiliki jentera kempen media sosial yang kuat, aktif dan terdiri
daripada orang-orang muda yang pakar dalam pelbagai bidang khususnya
kemanusiaan dan psikologi pengundi supaya pengaruh dan sokongan bertambah.
Tidak cukup untuk menjadi perdana menteri dengan sekadar sokongan ahli-ahli
sendiri sedangkan dalam realiti masyarakat, persepsi umum terhadap PAS masih
belum menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.
No comments:
Post a Comment