Monday, November 05, 2012

Selaraskan operasi banjir melalui BilGeT




Persediaan banjir perlu dilakukan setiap masa
Banjir telah mula melanda Johor, Selangor dan Melaka. Ratusan mangsa banjir telah mula dipindahkan ke kawasan selamat oleh pasukan penyelamat yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan. Di peringkat negeri, bilik gerakan banjir mula diaktifkan.
 
Bulan November dan Disember menjadi bulan sibuk bagi agensi kerajaan yang terlibat dalam menghadapi banjir seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pelajaran Negeri dan tidak ketinggalan wakil-wakil rakyat. Keadaan hujan yang lebat dan limpahan air sungai menyebabkan penduduk di kawasan yang kerap dilanda banjir mulai risau dan tidak tidur lena sepanjang malam. Keadaan mula menakutkan apabila arus deras air sungai memasuki rumah.

Banjir yang berlaku setiap tahun menjadikan agensi penyelamat lebih mahir dalam menguruskan bantuan dan memberi pertolongan. Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia umpamanya, memiliki peralatan yang mencukupi untuk menguruskan operasi pemindahan dan menyelamat dalam skala yang lebih besar. Angakatan Tentera Malaysia juga bersiap sedia menghadapi gelombang banjir dan bertindak apabila kepakaran mereka diperlukan khususnya melibatkan pemindahan pesakit, warga emas atau orang kurang upaya. Suasana yang biasa kita lihat ialah pemindahan pelajar sekolah menggunakan trak askar di kawasan yang tidak boleh dilalui oleh kenderaan biasa.

Awal tahun 2000 lepas menyaksikan beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia dilanda banjir besar yang menyebabkan ribuan mangsa dipindahkan. Di Perlis, limpahan air dari Empangan Timah Tasoh merebak ke daerah Kubang Pasu di Kedah, banjir besar di Kota Tinggi, Johor menjadikan bandar itu umpama lautan. Di Kelantan, saban tahun operasi menyelamat dilakukan sekitar Rantau Panjang dan Kota Bharu, malah melibatkan kehilangan nyawa terutama kanak-kanak yang leka bermain dengan banjir.

Dalam melaksanakan operasi bantuan, agensi kerajaan mempunyai kakitangan yang sangat terhad dan tidak mampu menyelesaikan operasi dengan sempurna. Di sinilah peranan individu, masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan amat diperlukan. Bantuan boleh dipelbagaikan seperti menyediakan makanan, agihan pakaian dan lebih diutamakan ialah bantuan dan sokongan moral melalui sesi berkumpulan dan kaunseling.

Impak besar banjir ke atas individu dan keluarga memerlukan perhatian dari semua pihak. Walaupun Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memiliki kaunselor berdaftar, ruang kepada proses kaunseling wajar dibuka kepada semua pihak yang berkelayakan dan mempunyai pengalaman mengendalikan krisis kemanusiaan. Biarpun sesi kaunseling dilihat lebih profesional, kehadiran tokoh masyarakat, ahli politik dan aktivis kemanusiaan dapat memberikan sedikit kelegaan jiwa dan fikiran kepada mangsa banjir. Keadaan emosi seperti sedih, putus harapan dan terkejut mangsa banjir yang ditunjukkan melalui tekanan mental dan kebimbangan yang berpanjangan sedikit sebanyak dapat diatasi melalui keprihatinan mereka yang berpengaruh ini. Ada mangsa banjir ini yang enggan makan dan tidak mendapat rehat yang cukup apabila memikirkan rumah yang ditinggalkan dan kos baik pulih selepas banjir reda. Kebimbangan ini menyebabkan mangsa-mangsa banjir terlantar di hospital.

Memastikan kesihatan mental dan fizikal mangsa banjir adalah perkara yang wajar diutamakan supaya diri mereka menjadi stabil dan mendapat pembelaan. Menjadi tugas kaunselor dan pegawai perubatan untuk membuat tindakan susulan selepas banjir supaya mangsa-mangsa ini dapat menjalani kehidupan dengan normal.

Antara langkah utama untuk menguruskan mangsa banjir di tempat pemindahan ialah mendirikan Bilik Gerakan dan Trauma (BilGeT) sebagai rujukan pelbagai agensi dan hospital. Maklumat yang diperolehi daripada BilGeT ini boleh dijadikan bahan penyelidikan di peringkat negara untuk menambah baik prosedur operasi menyelamat sebelum, semasa dan selepas banjir. Data-data ini seharusnya mempunyai profil lengkap setiap kes dan tindakan susulan yang bakal dilaksanakan.

Kemahiran memberi rawatan selepas banjir tidak lagi menjadi tanggungjawab eksklusif kakitangan dari jabatan kesihatan atau hospital sahaja, sebaliknya melibatkan kemahiran meredakan trauma emosi yang tidak dapat disediakan oleh pegawai perubatan ketika krisis banjir. Bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan seperti Haluan Malaysia atau persatuan yang terlibat dalam kaunseling dan penyelesaian konflik seperti Persatuan Kaunseling Malaysia (Perkama) patut diutamakan. Kerjasama dan penglibatan mereka ini perlu didaftarkan, diberi sokongan dan dihargai. Kepakaran yang sedia ada boleh menjadi asas kepada penglibatan pertubuhan bukan kerajaan dari Malaysia untuk memberi khidmat yang serupa kepada negara-negara luar pada masa hadapan.   
 
 

No comments:

Post a Comment