Monday, December 03, 2012

Gelagat kaya dan miskin





oleh Hafizahril Hamid

Menjadi orang ternama apatah lagi pemimpin adakalanya begitu sukar walau banyak juga yang manis.

Gelagat dan tindak-tanduk yang dilakukan akan senantiasa diperhatikan sama ada untuk dijadikan panduan oleh penyokongnya atau ancaman bagi penentangnya.

Menjadi ternama memang banyak kelebihannya antaranya dikenali ramai, hidup mewah selain jadi perhatian pihak-pihak yang mahu menumpang populariti.

Hakikatnya, bukan semua bernasib baik kerana ramai juga yang merana kerana mengejar populariti.

Pancawarna minggu ini menyorot gelagat orang ternama termasuk pemimpin yang dihormati di negaranya tetapi tidak di mata orang lain.

Hitler dan Kim Jong-il misalnya mungkin disanjungi dan dihormati penyokong mereka, namun dikutuk dan dibenci segolongan lain terutama yang menderita akibat corak pemerintahan mereka.

Jong-ill dikatakan sanggup membiarkan rakyatnya tidak cukup makan serta sanggup menculik pengarah dan pelakon dari Korea Selatan untuk menyebarkan propaganda tentang dirinya kepada rakyat Korea Utara.

Mungkin ramai yang tidak tahu, Hitler langsung tidak minat kepada sebarang sukan tetapi begitu menggemari pertunjukan sarkas.

Ada juga gelagat pemimpin yang terlalu ghairah mahu memegang kuasa namun kemudian dilihat hanya memalukan diri sendiri.

Bekas calon Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Sarah Palin misalnya dikenali kerana terlalu ghairah menonjolkan diri sebagai calon berkaliber namun sebenarnya belum cukup 'masak' untuk memegang jawatan itu kerana belum menguasai banyak isu penting seperti dasar luar dan ekonomi.

Namun dalam keghairahan sang pemimpin di puncak pemerintahan, kita masih bersyukur tidak semua mereka tenggelam dalam keasyikan kuasa.

Presiden Uruguay, Jose Mujica dianggap sebagai presiden paling miskin di dunia kerana meninggalkan kemewahan hidup di istana presiden hanya untuk tinggal di rumah ladang yang serba sederhana dan memandu kereta Volkswagen Beetle keluaran 1967.

Kehidupan masa depan sememangnya tidak boleh dijangka. Namun tindak-tanduk kita hari ini bakal menentukan corak kehidupan yang kita mahukan, sama ada seperti Mujica ataupun yang lain-lain.

(Utusan Malaysia, 2 Disember 2012)

 

No comments:

Post a Comment