Perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan pejuang Moro
merupakan detik penting bagi kemakmuran di selatan Mindanao. Selepas lebih 10
tahun berperang, angka kematian mencecah ratusan ribu, penculikan warganegara
asing yang menggemparkan dan kemunduran berleluasa, masyarakat di wilayah itu
boleh menarik nafas lega apabila halangan kepada perdamaian sebenar itu telah
diatasi.
Usaha tiga pihak iaitu kerajaan Filipina sendiri dengan
pejuang Moro dan Malaysia yang menjadi orang tengah bakal menjadi model kepada
penyelesaian konflik berpanjangan di Asia Tenggara. Perubahan terbesar dalam
mencapai persetujuan ini ialah keazaman kedua-dua pihak bertelagah untuk
melupakan semua masalah dan melihat masa depan demi kepentingan negara.
Mindanao adalah sebahagian daripada Filipina dan perlu
dilayan dengan wajar dan hormat. Layanan yang adil ini bakal mengukuhkan
kedaulatan negara itu kerana perpaduan adalah kekuatan. Selama ini, konflik dan
pergaduhan mencetuskan siri serangan dan serangan balas yang tidak
berkesudahan. Ia juga menyuburkan gerakan pemisah dan menjadi lubuk kepada
latihan dan perancangan keganasan di Asia Tenggara. Di sini bakal penyerang
yang terdiri dari pelbagai negara mendapat pendedahan teknik dan strategi
ketenteraan khususnya penggunaan senjata dan survival dalam situasi perang
sebenar.
Banyak implikasi yang akan muncul selepas perjanjian ini
dimuktamadkan.
Pertama, pembangunan wilayah yang memerlukan kemasukan dana
lebih banyak. Mahu atau tidak, pelaburan dari luar akan terus dibawa masuk ke
wilayah itu khususnya bagi pembinaan penempatan, pembukaan jalan raya dan
mewujudkan institusi pembangunan wilayah yang kukuh. Selama ini pembangunan
wilayah tidak dapat diaksanakan dengan sempurna kerana keadaan keselamatan yang
tidak terjamin, bekalan tenaga yang terhad dan serangan bom tanpa musim.
Dana untuk pembangunan wilayah perlu disediakan oleh
Filipina sendiri namun kehadiran wakil Pertubuhan Liga Islam sebagai pemerhati
diharap dapat menarik negara-negara Islam untuk memulakan pelaburan jangka
panjang di rantau itu.
Kedua, pembangunan sosial memerlukan persepakatan banyak
pihak untuk merancang agenda modal insan khususnya pendidikan dan kehidupan
selepas era perang. Peranan pekerja sosial sangat penting untuk membantu
masyarakat yang rata-ratanya masih di bawah kemiskinan untuk mengurus hidup dan
menjadikan masa depan memihak kepada Bangsamoro. Begitu juga dengan peranan
pendakwah Islam untuk memperkenalkan kurikulum yang lebih dinamik dalam
kalangan masyarakat Islam yang masih lagi beranggapan peperangan adalah
satu-satunya pilihan untuk menyelesaikan masalah mereka.
Perancangan bandar, pembangunan komuniti dan transformasi
kesejahteraan wilayah perlukan pengemblingan pakar dan pengamal sosial yang
arif. Bentuk demografi yang berbukit dan berpulau turut mempengaruhi cara hidup
masyarakat di sana yang bakal menjadi cabaran kepada saintis sosial untuk
menyusun kembali kehidupan normal masyarakat pelbagai etnik di Mindanao.
Ketiga, puak
bertelagah yang tidak mendapat habuan ketika perjanjian damai ini akan beralih
kepada bentuk lain untuk merebut hak mereka yang hilang. Kelompok seperti Abu
Sayyaf dan kumpulan serpihan pejuang bangsa Moro akan membentuk koloni sendiri
dan mula mencetuskan kekacauan yang akan menguji keikhlasan kerajaan Filipina
dan pejuang Moro.
Senjata yang mudah didapati di Mindanao akan terus kekal di
situ sehinggalah kerajaan melaksanakan kempen tukar senjata dengan wang bagi
mengurangkan sedikit demi sedikit jumlah senjata yang boleh mengancam
ketenteraman awam. Pelaksanaan skim ini perlu disegerakan kerana pelaburan
tidak akan mula masuk jika ancaman keselamatan dilihat sebagai perkara utama
yang difikirkan.
Keempat, perkembangan agama Islam diyakini kembali
berkembang dan dapat dilaksanakan dengan teratur walaupun penganut kristian
dikatakan semakin bertambah khususnya di kawasan bandar. Inilah yang diharapkan
melalui perjanjian damai itu supaya dakwah Islam dapat bertahan dan berkembang.
Lebih banyak implikasi yang bakal menghalang perjanjian
damai ini menunjukkan kemajuan dari semasa ke semasa. Namun penglibatan
Malaysia dan masyarakat Islam seluruh dunia memberi isyarat jelas kepada bangsa
Moro bahawa mereka tidak pernah dilupakan dan masyarakat Islam terus berusaha
untuk membebaskan mereka daripada penindasan dan kezaliman.
Selepas selatan Filipina, usaha Malaysia masih lagi
diharapkan untuk membawa keamanan di selatan Thailand. Pergolakan di negara itu
hampir sama dengan Mindanao namun kesungguhan politik mampu membawa pihak-pihak
bertelagah ke meja rundingan. Kejayaan di Filipina boleh menjadi model kepada
Thailand untuk mewujudkan rantau bebas konflik di selatan negara itu.
No comments:
Post a Comment