oleh Norliah binti Kudus
Pensyarah Kanan
Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)
Bagi penulis, bukan mudah bergelar seorang pemimpin. Pemilihan sebagai
pemimpin mahasiswa ini bukan untuk glamour atau popular. Tetapi disusuli dengan
amanah dan tanggungjawab berat bagi memastikan manifesto yang dibawa dapat
dilaksanakan dengan sempurna.
Pertamanya buat semua mahasiswa yang baru
mendaftar, penulis ucapkan Selamat Datang Ke Universiti dan buat mahasiswa
senior, Selamat Kembali meneruskan pengajian bagi sesi 2012/2013. Semoga
tulisan ini ada signifikannya sebagai harapan mewakili seluruh warga mahasiswa
dan universiti yang tidak jemu menerangi dunia akademia ini dengan cahaya ilmu kepada anak bangsa yang tercinta.
Bahang pilihanraya kampus (PRK) yang kini sedang berlangsung bakal
menyaksikan persaingan sengit di antara kumpulan Proaspirasi (PA) dan Promahasiswa
(PM) di 20 universiti awam iaitu UTeM, UniMAP, UniSZA, UTHM, UiTM, , UIA, UKM,
UM, UMK, UMS, UNIMAS, UMT, UPSI, UPNM, UPM, USIM, UMP, USM, UTM dan UUM.
Setakat ini, penulis diberitahu bahawa kumpulan Proaspirasi juga telah menguasai lima
kampus IPTA pada pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2012/2013 pada
minggu lepas.
Jika dulu kita sering dipaparkan dengan pilihan
raya kampus yang dicemari pelbagai insiden kontroversi serta memalukan. Kini
kebanyakannya lebih menjurus kepada profesionalisme dan integriti selain tidak
dikuasai emosi semata-mata kerana mahasiswa masa kini sudah mempunyai tahap
kesedaran tinggi.
Ini merupakan petunjuk baik dan signifikan kepada
institusi menara gading serta mahasiswa kerana mereka sudah matang dan bijak
membezakan kepentingan proses pilihan raya ini sebagai melaksanakan
tanggungjawab dan amanah, bukan mencipta sensasi.
Penulis percaya bahawa pihak kerajaan juga memberikan kepercayaan kepada
barisan kepimpinan MPP IPTA seluruh Malaysia untuk memainkan peranan yang lebih
besar dan berkesan dalam memperjuangkan nasib mahasiswa agar menjadi pelajar yang
unggul dan rakyat yang lebih baik.
Pemimpin mahasiswa yang dipilih ini akan bertanggungjawab untuk membela
nasib pelajar lain di peringkat fakulti dan sebagai wakil mereka. Pilihan raya
ini berjaya mendidik mahasiswa menjadi warga kampus yang berhemah dan mempunyai
keperibadian yang unggul serta akan melahirkan pelajar dan bakal pemimpin yang
berkarisma tanpa dipengaruhi ideologi kepartian luar kampus.
Penulis amat bersetuju
bahawa mahasiswa atau graduan glokal merupakan golongan
atau kumpulan yang menjadi tonggak kepada aspirasi bangsa, agama dan negara.
Merekalah merupakan golongan intelek yang bakal melakarkan sejarah kepimpinan
negara pada masa akan datang.
Istilah `glokal' merupakan gabungan antara global dan lokal. Ia juga
memberi maksud di samping kita hebat dalam negara, kita juga berperanan di
arena antarabangsa. Akar kita berpaksi di kota dan desa namun akal kita
menerjah merentasi ke serata dunia.
Ketrampilan Glokal yang diimpi dan dihasratkan ialah rakyat yang berakar
nasional dan internasional bertunjangkan budaya asal dan adat tradisi serta
ajaran agama yang suci, pada ketika yang sama berani meneroka dunia yang penuh
pancaroba ini.
Mahasiswa perlu menobat dan
melengkapkan diri dengan input-input yang positif dan berpaksikan
mencintai kebijaksanan dan kecemerlangan. Dengan pemikiran yang berasaskan
nilai suci, nilai kebitaraan, nilai logik dan nilai lateral. Insya Allah akan lahirlah
insan yang berilmu berperibadi unggul dan berketrampilan glokal.
Menara Gading
IPT atau menara gading ini
adalah merupakan gedung ilmu atau sebagai tempat untuk menjana minda dan
merevolusikan pemikiran glokal. Para mahasiswa menjadikan IPT sebagai medan
untuk mencari dan mempelajari sesuatu yang mana dapat mengusulkan suatu
anjakan paradigma.
Penulis bersetuju bahawa objektif dan peranan
universiti adalah untuk melahirkan siswazah yang bekelayakan tinggi dalam
bidangnya, menghasilkan siswazah yang bersedia untuk pembelajaran sepanjang
hayat, menghasilkan siswazah yang boleh berkomunikasi dengan berkesan dalam
persekitaran berkumpulan, meluaskan pengetahuan berdasarkan kepada bidangnya
untuk memenuhi keperluan masyarakat dan mengembangkan pengetahuan berterusan
melalui pendidikan, bengkel dan seminar.
Di akhirnya, penulis ingin menyeru kepada semua mahasiswa pelbagai etnik, ingatlah bahawa amanah yang akan dipikul oleh bakal calon atau wakil anda adalah pemberian anda sebagai pengundi. Maka dengan itu, jangan lupa kewajipan anda dan buatlah pilihan dengan matang serta bijaksana. Letakkan hak pada yang berhak, nafikan hak mereka yang dangkal dan berfikiran cetek. Selamat Mengundi dan Tahniah buat semua calon Majlis Perwakilan Pelajar di seluruh IPTA yang menang dalam pilihan raya kampus.
Pilihan Raya Kampus (PRK)
PRK adalah medium atau wadah untuk para mahasiswa untuk belajar mengenai
amalan demokrasi di negara ini. Para mahasiswa ini juga akan mempraktikkan apa
yang dipelajari di IPTA dan IPTS apabila tamat pengajian nanti. PRK ini juga adalah
sangat penting untuk para mahasiswa memilih pemimpin mereka yang layak dan berkaliber
yang dapat mewakili suara mahasiswa di peringkat universiti tanpa di pengaruhi
oleh unsur-unsur dari pihak luar.
Bagi penulis, sepanjang perjalanan pilihan raya kampus minggu lalu dari
penamaan calon sehinggalah kepada kempen pilihan raya berjalan dengan aman dan
teratur melalui pemantauan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEPA) di seluruh IPTA.
Proses pilihan raya kampus ini
juga permulaan positif untuk mengubah pandangan serta sikap mahasiswa menjadi
lebih matang, bertanggungjawab serta tahu meletakkan kepentingan pada kedudukan
sepatutnya. Perubahan ini diharap bakal memberi impak positif untuk jangka masa
panjang sekali gus melahirkan mahasiswa berwibawa, mempunyai semangat juang
jitu serta mampu mencorakkan perjalanan politik tanah air untuk masa depan.
Mahasiswa
Terbilang
Penulis juga bersetuju bahawa mahasiswa dan
mahasiswi di IPT ini merupakan sumber modal insan terbilang yang akan
memberikan satu kekuatan kepada pembangunan negara. Mahasiswa sebenarnya adalah
golongan terpilih untuk memenuhi dunia kebitaraan dan profesional di samping
mendalami bidang keilmuan secara formal.
Kejayaan dan pencapaian dalam mencintai hikmah
atau kebijaksanaan ( to love wisdom) ini amat penting untuk direkodkan kerana
ianya berkait rapat di dalam menobatkan jatidiri generasi muda terpelajar
melalui kecemerlangan ilmu yang dilahirkan oleh universiti. Seiring dengan
kekuatan ilmu, mahasiswa perlu dilengkapi dengan jatidiri budaya kebangsaan
yang kukuh iaitu yang mempunyai jiwa, wajah dan langkah yang bersepadu – jiwa
warisan, wajah wawasan dan langkah patriot.
Ini penting bagi menjadikan
aspirasi mahasiswa Malaysia, khususnya mereka akan kaya dari aspek kefahaman
dan penghayatan, memperkasa dari aspek inovasi, kreativiti dan ketrampilan. Di
samping bangga dengan jatidiri budayanya sebagai akar kehidupan zaman siber dan
global serta pagar apabila berhadapan dengan pengaruh asing dan negatif.
Pada masa yang sama,
nilai-nilai yang dapat memupuk daya juang dan daya saing juga perlu diserapkan.
Antaranya ialah keyakinan, keberanian, kebijaksanaan, kesungguhan dan
kesinambungan. Di samping keperluan untuk menyedarkan bahawa semua mahasiswa
dan anak muda ini dapat menjadi pemimpin contoh tauladan yang baik kepada
masyarakat dan negara.
Aspirasi Glokal
Menara Gading
Tugas ini sebahagian besarnya terletak pada
institusi pengajian tinggi. Sebenarnya peranan universiti bukan sahaja tertumpu
pada penghasilan sumber tenaga, tetapi ianya meliputi tiga aspek utama iaitu
aspek pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan kepada masyarakat.
Di samping itu juga untuk mencapai objektif ini,
input utama IPT termasuklah ahli fakulti yang berkelayakan tinggi, bermotivasi
dan berkomitmen, pelajar yang berbakat, sokongan staf yang mencukupi,
ko-kurikulum yang sesuai, peralatan yang cukup canggih dalam makmal dan
kemudahan komputer, kemudahan penginapan, sumber perpustakaan serta prosedur
dan standard yang lengkap.
Harapan Komuniti
Secara automatik golongan mahasiswa inilah juga disandarkan
harapan oleh masyarakat untuk memimpin dan membimbing mereka. Sedar atau tidak,
setiap mahasiswa wajib memikul amanah ini, sekurang-kurangnya dengan
menjadikan menara gading sebagai tempat persediaan ke arah mempersiapkan diri
dengan kemahiran insaniah yang bersifat glokal untuk terjun dalam masyarakat
dan industri setamatnya pengajian di IPT nanti.
Penerapan Kemahiran Insaniah di Kalangan Mahasiswa
ini juga boleh dirujuk dalam buku suntingan penulis bersama rakan akademik yang
lain terbitan Penerbit UTeM. Penulis juga bersetuju bahawa harapan dan
peranan yang mahasiswa pikul pada hari ini adalah amat berat dan memerlukan
persediaan yang terancang dan sistematik.
Begitu
juga masyarakat hari ini amat mengharapkan generasi muda yang lahir dari
‘menara gading’ atau lembah ilmu ini mampu membawa angin perubahan di dalam
mendepani arus kehidupan dan kerjaya yang semakin kompleks dan mencabar.
Di akhirnya, penulis ingin menyeru kepada semua mahasiswa pelbagai etnik, ingatlah bahawa amanah yang akan dipikul oleh bakal calon atau wakil anda adalah pemberian anda sebagai pengundi. Maka dengan itu, jangan lupa kewajipan anda dan buatlah pilihan dengan matang serta bijaksana. Letakkan hak pada yang berhak, nafikan hak mereka yang dangkal dan berfikiran cetek. Selamat Mengundi dan Tahniah buat semua calon Majlis Perwakilan Pelajar di seluruh IPTA yang menang dalam pilihan raya kampus.
No comments:
Post a Comment