oleh Karim Raslan
Pada minggu lepas, saya telah mempelajari suatu frasa baru: “lu-lagi, lu-lagi” atau “kamu lagi, kamu lagi”.
Dituturkan dalam nada kesal, frasa tersebut merupakan “bahasa gaul” klasik – digunakan dalam pertuturan seharian penduduk Indonesia, kasar, dan dipengaruhi unsur Hokkien: sesuatu yang akan anda dengar di kafe dan warung di Jakarta dan di seluruh negara.
Walau bagaimanapun, frasa itu bukan digunakan untuk merujuk kepada ibu mertua ‘kesukaan’ anda. Sebaliknya, ia adalah baris ungkapan yang digunakan untuk merujuk calon-calon awal untuk Presiden Republik Indonesia: “Ibu Megawati, Aburizal, Hatta Rajasa, Jusuf Kalla…lu-lagi, lu-lagi!”
Sejak kemenangan Jokowi dalam Pilihan Raya Gabenor Jakarta, para penganalisis politik di bandar ini giat – mengeluarkan kajian tinjauan dan keputusan pilihan raya dengan melihat pada faktor kemenangan bekas Datuk Bandar Solo itu di pentas nasional.
Dalam kesibukan aktiviti seharian, mungkin perkara yang paling penting adalah semangat dan keinginan melihat wajah baru kalangan ahli politik – melihat pada kekecewaan yang timbul menerusi bidasan “lu-lagi, lu-lagi”.
Tetapi rakyat Indonesia mungkin perlu kembali kepada realiti. Jika dilihat pada peruntukan perlembagaan, usaha untuk melenyapkan ‘muka-muka lama’ adalah mustahil: perubahan politik kontemporari bersifat evolusi.
Dengan ketetapan syarat lebih 20 peratus daripada kerusi Parlimen atau 25 peratus undi popular, calon dari parti yang lebih kecil, walaupun popular di kalangan penduduk mempunyai harapan tipis untuk dicalonkan. Apatah lagi, terdapat desas-desus mengatakan syarat peratusan itu berkemungkinan dinaikkan.
Ini menjadikan perbahasan di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia untuk menentukan bilangan kerusi Parlimen dan peratusan undi popular bagi pencalonan jawatan Presiden sangat kritikal.
Menariknya, dan berdasarkan tinjauan pendapat, tokoh yang mendahului Pilihan Raya Presiden 2014 merupakan bekas jeneral dan pemimpin parti nasionalis Gerindra yang penuh kontroversi, Prabowo Subianto.
Walaupun begitu – menolak aspek peningkatan dramatik atas sokongan yang diberikan terhadapnya menjelang tahun 2014 - parti Gerindra kelihatan tidak mampu mencalonkan pemimpinnya sendiri. Malah, sukar bagi Prabowo jadi calon Presiden melainkan jika Gerindra bekerjasama dengan salah satu daripada tiga parti lain yang lebih besar – Demokrat, Golkar atau PDI-P.
Berdasarkan politik kini, nampaknya PDI-P sahaja mungkin kerjasama dengan Gerindra.
Kemungkinan besar perebutan kerusi Presiden akan ditandingi calon-calon yang dipilih daripada salah satu tiga parti utama berkenaan. Menurut tinjauan pendapat baru-baru ini, ketiga-tiga parti tersebut telah mendahului parti lain, dan menyaksikan penurunan sokongan ketara terhadap parti berasaskan Islam (terdiri daripada PKS hingga kepada PAN).
Namun, sebahagian masalah yang dihadapi parti-parti politik adalah kejengkelan pengundi terhadap suasana bursa politik dan tingkah laku ahli-ahli politik. Dengan timbulnya skandal-skandal rasuah setiap minggu, pengundi kini semakin menyampah dan benci.
Tambahan lagi, para pengundi berasa kecewa dengan gesaan golongan elit untuk mencalonkan muka-muka lama – kembali kepada sindrom “lu-lagi, lu-lagi”. Selain itu, liputan media yang meluas akan memberikan impak negatif jika tiada perkara baru atau relevan yang mahu dilaporkan.
Justeru, sementara parti-parti utama sedar mereka mempunyai “kunci automatik” terhadap sistem negara, mereka turut berwaspada akan risiko tercetus protes kemarahan pengundi.
Seperti saya nyatakan sebelum ini, beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan kebangkitan ahli-ahli politik yang asalnya tiada latar belakang karier politik. Ini termasuk ahli teknokrat Dahlan
Iskan, Mahfud MD dan selebriti bertukar penggubal undang-undang, Rieke Diah Pitaloka.
Semestinya, sesetengah pihak mungkin mengatakan tokoh-tokoh ini (terutama jika mereka ialah bintang pop atau pelakon) hanya sekadar perubahan remeh dalam dunia politik Indonesia, justeru masih melibatkan risiko jika mereka terjun ke dunia politik.
Sungguhpun demikian, tidak dapat disangkal pemimpin seperti ini sangat diperlukan kerana mereka bukanlah ahli politik. Namun, ini tidak bermakna mereka akan terlepas daripada penilaian masyarakat umum.
Cabaran untuk calon-calon “alternatif” adalah menyeimbangi kebolehan mereka mentadbir seperti “orang dalam” dan pada masa sama mempunyai kredibiliti seperti “orang awam” yang memenangkan mereka di peti undi sebelum ini. Tukang cerita berharap ramai muka baru yang berkredibiliti akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 nanti, ini untuk mengelakkan sindrom- “lu lagi, lu lagi….”
(Sinar Harian, 23 Oktober 2012)
No comments:
Post a Comment