Monday, October 08, 2012

Buat semua calon PMR: Semoga berjaya dalam peperiksaan





oleh Norliah binti Kudus
Pensyarah Kanan
Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)
 
 
Pertamanya, sempena bermulanya peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) minggu ini, penulis ingin mengucapkan ‘Selamat Menjawab’ kepada semua 15,256 calon PMR di seluruh negara yang akan menduduki peperiksaan ini yang bermula dari 9 hingga 16 Oktober 2012. Diharapkan artikel ini juga akan menjadi buah tangan istimewa dan cenderahati unggul buat semua pelajar, ibu bapa dan para pendidik.

Keduanya melalui tempoh minggu peperiksaan ini, marilah kita sebagai ibu bapa bersama-sama memastikan tahap kesihatan anak-anak dalam keadaan yang terbaik dan bersamalah kita mendoakan kejayaan anak-anak, semoga mereka ini akan terus konsisten dan berasa yakin untuk menempuhi cabaran ini.

Di samping itu, buat para pelajar marilah kita pohon keredaan dari guru-guru yang telah mencurahkan bakti  mereka terhadap segala ilmu dan ucapkan terima kasih cikgu kerana telah mendidik dan membimbing dengan penuh ikhlas dan dedikasi.

Baru-baru ini juga penulis telah diundang oleh pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Keroh untuk berkongsi rahsia kejayaan dalam program pecutan terakhir bersama pelajar-pelajar yang akan menduduki PMR dan SPM.  Begitu juga penulis turut diundang oleh pihak Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) untuk berkongsi rahsia kecemerlangan melalui semangat jatidiri patriotik kepada pelajar tingkatan enam terpilih dari seluruh Malaysia yang akan menduduki peperiksaan STPM. Terima kasih dan tahniah kepada pihak yang berusaha dan prihatin dengan kecemerlangan pendidikan dan pembangunan modal insan ini.

Sejak awal tahun lagi kita juga melihat pelbagai aktiviti keilmuan dan usaha telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran dan kerajaan Negeri Melaka termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) dengan aktiviti tuisyen, kelas tambahan, kursus motivasi, bengkel menjawab soalan dan banyak lagi bagi memastikan murid-murid ini berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan.

Pentingnya Peperiksaan

Penulis begitu yakin dan percaya bahawa seseorang pelajar itu tidak dapat lari daripada menghadapi peperiksaan untuk meneruskan perjalanan pembelajaran, kerana peperiksaan ini adalah merupakan saringan awal ke laluan seterusnya untuk mencapai cita-cita pada masa akan datang.

Seperti yang semua maklum, bahawa peperiksaan ialah ujian untuk mengukur tahap pencapaian akademik seseorang pelajar. Di mana ianya akan menguji tahap pemahaman pelajar terhadap sesuatu pelajaran yang telah dipelajari mengikut tahap. Dengan kata lain, peperiksaan adalah merupakan kayu pengukur sejauh mana pelajar itu dapat menguasai pengetahuan dan kemahiran sesuatu mata pelajaran yang telah di pelajari.

Bagi pelajar, mereka semua akan berhadapan dengan pelbagai peperiksaan seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM yang memerlukan persediaan yang rapi dan berkesan untuk meraih kejayaan yang cemerlang. Tanpa persedian yang tersusun dan lengkap, besar kemungkinan natijah yang terhasil tidak setanding dengan usaha yang telah dilakukan selama ini.

Gerbang Kejayaan

Penulis bersetuju dengan semua pihak bahawa setiap peperiksaan itu adalah merupakan pintu gerbang untuk mendapatkan kejayaan di dalam perjuangan menuntut ilmu. Menghadapi peperiksaan perlu untuk mengesahkan kelayakan pelajar untuk terus melangkah ke peringkat yang lebih tinggi.

Bagi mereka yang lulus cemerlang juga adalah menjadi syarat untuk melanjutkan belajar ke sekolah menengah berasrama penuh atau sebagainya. Seterusnya mereka akan terus belajar sehingga ke peringkat yang lebih tinggi lagi yang memerlukan mereka menduduki peperiksaan sehinggalah ke peringkat universiti.

Bagi penulis, kecemerlangan dalam peperiksaan memerlukan persediaan dari segala aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek, bukan hanya setakat membaca dan mengulangkaji semata-mata. Persediaan yang tersusun akan memupuk keyakinan dan usaha yang tinggi untuk pelajar menghadapi peperiksaan dengan baik.

Mencipta Kecemerlangan

Seperti tahun-tahun lepas, kejayaan membanggakan pelajar-pelajar dalam keputusan ujian PMR, SPM dan STPM di Melaka ini turut dikongsi bersama. Memetik juga hasrat yang pernah diutarakan oleh Y.A.B Ketua Menteri Melaka, ‘agenda kecemerlangan bangsa adalah satu gagasan besar yang melibatkan pelan tindakan untuk menjadi hebat dalam pendidikan, kuat ekonomi, mantap dalam aspek sosial dan terbilang di pentas dunia’.

Marilah kita bersama hayati ungkapan kejayaan, kecemerlangan, berkualiti, terbilang dan kehebatan yang seringkali menjadi fokus utama setiap manusia. Memang benar, di dalam masyarakat kita Malaysia yang hidup selamat, aman dan makmur dengan rakyat pelbagai kaum, apabila disebut perkataan cemerlang, maka pemikiran mereka akan terfokus kepada kecemerlangan akademik semata-mata.

Pelajar Hebat dan Cemerlang

Bagi penulis fokus utama kejayaan dan kecemerlangan ini juga seharusnya dialih ke arah yang begitu luas dan lebih rasional dalam realiti hidup kita seharian. Sebenarnya kejayaan dan kecemerlangan kita dan anak-anak boleh difokuskan dalam banyak perkara, bidang, peristiwa, amalan dan sebagainya yang berkaitan realiti kehidupan seharian.

CEMERLANG  adalah sifat yang dimiliki melalui satu proses di mana pelajar bangun atau bangkit  dari seorang pelajar biasa-biasa menjadi pelajar yang luar biasa. GEMILANG pula ialah satu keadaan  atau tahap yang lebih cemerlang lagi. Maka dengan sebab itulah wujud istilah gilang –gemilang (bercahaya terang-benderang-Kamus Dewan). Pelajar yang yang gemilang pada akhirnya nanti akan menempa kecemerlangan yang lebih tinggi yang menjurus kepada menjadi orang ‘TERBILANG’.

Semua pelajar seharusnya memahami bahawa merekalah sebagai generasi muda yang menjadi harapan negara pada masa akan datang. Ketahuilah bahawa setiap manusia yang dicipta oleh Allah itu sempurna dan cemerlang. Justeru, tugas mengenal kesempurnaan dan kegemilangan diri terletak di bahu setiap orang. Para pelajar yang mengenal dirinya akan mencapai lebih tinggi tahap kecemerlangannya.

Oleh itu juga para pelajar yang ingin mencapai kegemilangan harus mengenali potensi diri. Bak kata seorang sarjana ‘kehebatan diri seseorang sudah ada dalam dirinya, cuma menunggu untuk dikeluarkan sahaja’. Ini juga menunjukkan betapa pentingnya ilmu dalam kehidupan.

Manfaat Ilmu

Penulis bersetuju bahawa ilmu merupakan kualiti kerohanian yang tidak dimiliki oleh mesin atau komputer. Budaya ilmu yang sebenarnya akan memberi peluang kepada semua anggota masyarakat untuk mencari ilmu dan memperolehi kecemerlangan, betapa pun rendah taraf sosio-ekonomi pelajar itu.

Peluang pendidikan sentiasa terbuka dan menanti. Bak pepatah “ di mana ada kemahuan di situ ada jalan”. Janganlah ada sebarang alasan untuk tidak meneruskan perjalanan sebagai seorang penuntut. Seperti sabda Rasulullah saw : “Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad”. Maksud hadis ini menyarankan kita bahawa ilmu itu dipelajari sejak kita kecil lagi sehinggalah akhir hayat ilmu ini tetap berterusan.

Penghargaan

Ayuh, marilah adik-adik bersama kita ucapkan Terima Kasih Cikgu, redakan segala ilmu yang telah dicurahkan adalah ungkapan signifikan dari murid kepada guru atau dari ibu bapa kepada para guru sebagai tanda penghormatan dan penghargaan bermakna dalam mencurahkan kepayahan dan keperitan mendidik, membimbing, memecahkan kegelapan dan kejahilan yang menyelubungi pemikiran dan hati anak bangsa kami.

Penulis bersetuju bahawa guru diibaratkan seperti ‘sebatang lilin, sanggup membakar diri’ untuk menerangi sekelilingnya. Sumbangan dan jasa guru begitu banyak sekali. Tanpa guru mungkin tidak akan lahirnya seorang  doktor, jurutera, peguam, pensyarah, hakim, wakil rakyat, Perdana Menteri dan banyak lagi

Guru memainkan peranan utama sebagai penyampai ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada pelajar-pelajar. Guru juga adalah wadah untuk pelajar membina daya pemikiran yang analitikal, kritikal dan kreatif bagi membentuk individu terbilang.

Insya Allah dengan saringan dan pengiktirafan akademik yang diterima melalui peperiksaan PMR, SPM, STPM ini juga dan berbekalkan semangat jati diri yang teguh, ia bakal menjadikan pelajar sebagai individu yang cemerlang lagi terbilang.

Yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang. Individu yang berjaya mempunyai prinsip diri yang kuat dan keazaman yang utuh. Selagi ada kekuatan dan keinginan, teruskan usaha murni ini kita untuk mengejar dan mencari peluang mempertingkatkan ilmu dan kemahiran.

Akhir bicara, Selamat Menduduki Peperiksaan buat semua calon PMR tahun 2012 ini. Di doakan mereka ini juga akan menempa kejayaan yang lebih besar dan mencontohi kecemerlangan mereka yang telah berjaya. Ayuh, sasarkan keputusan terbaik. Malaysia Boleh, Melaka Terbilang, Kita Hebat. Semoga berjaya dan bertemu kita di puncak kejayaan.

 

No comments:

Post a Comment