Mayat mangsa diletakkan di tepi jalan raya |
Tiga termasuk seorang ibu yang dalam perjalanan ke majlis persandingan anak tirinya, maut dalam kemalangan di Kilometer 38 Jalan Kluang-Ayer Hitam, berhampiran Kampung Manong, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengahari itu, Imam Masjid Taman Kasih Kluang, Osman Binti, 68, dan isterinya, Saleha Osman, serta kerani sekolah, Isnah Othman, 52, meninggal dunia di tempat kejadian. Suami Isnah, Jumat Talib, 52, yang juga pemandu kereta Proton Wira, kritikal dan dirawat di Hospital Batu Pahat (HBP), manakala dua anak saudaranya yang menaiki kenderaan sama turut parah.
Isnah bersama keluarganya dalam perjalanan ke Rengit bagi menghadiri persandingan anak tirinya, Mohd Ridwan Jumat, 25, dan pasangannya, Jamaliah Abdul Rahman, 18, yang bernikah kelmarin.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Waja dipandu Osman dari arah Ayer Hitam menuju ke Kluang tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Proton Wira, dipandu Jumat.
“Tiga mangsa yang menaiki Proton Wira itu turut cedera parah dan dirawat di HBP, termasuk seorang dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan,” katanya.
Sementara itu, Ridwan berkata, ayahnya menelefonnya kira-kira jam 12 tengahari memaklumkan mereka sekeluarga sudah bertolak dari rumah mereka di Taman Intan, Kluang untuk menghadiri persandingannya pada jam 2 petang.
“Sepatutnya, ayah berkonvoi bersama enam kenderaan saudara lain tetapi ayah menghubungi saya memaklumkan berlaku kelewatan menyebabkan saudara lain bertolak dulu.
“Bagaimanapun kira-kira 40 minit kemudian ketika saya dan isteri sedang bersiap untuk majlis persandingan kami, seorang rakan menelefon memaklumkan kereta dinaiki keluarga kami terbabit dalam kemalangan dekat Ayer Hitam,” katanya ketika ditemui di HBP.
Ridwan berkata, beliau terus membatalkan majlis persandingan dan bergegas ke HBP sebelum dimaklumkannya ibu tirinya meninggal dunia, manakala ayah dan dua lagi saudaranya cedera parah.
(Berita Harian, 1 Oktober 2012)
No comments:
Post a Comment