Wednesday, October 19, 2011

NGO Malaysia wajar ke Thailand





Banjir di Thailand dianggap sebagai terburuk dalam sejarah negara itu. Kerugian terkumpul setakat ini berjumlah RM10 bilion atau US$3.3 bilion, suatu jumlah yang sangat besar kerana kesan pemulihan melibatkan banyak isu. Jumlah kematian sehingga kini ialah 297 dan dijangka bertambah apabila fenomena air pasang melanda.

Di samping kerugian harta benda, banjir besar ini memusnahkan sama sekali keegoan pemimpin-pemimpin Thailand yang menzalimi umat Islam di selatan negara itu. Sejak banjir, tidak ada berita yang kita dengar dari wilayah bergolak Patani, Yala dan Narathiwat. Keadaan aman ini sedikit sebanyak membantu menstabilkan keadaan tegang akibat letupan bom di hadapan sebuah hotel milik etnik Cina baru-baru ini. Sekurang-kurangnya rakyat Malaysia berasa selamat untuk membeli-belah atau mengunjungi saudara mara di sana.

Sejak banjir, negara-negara Barat terutama Amerika Syarikat telah menghulurkan bantuan kewangan dan kepakaran untuk membantu kerajaan Thailand menguruskan pemindahan mangsa. Kumpulan penyelamat juga berhempas-pulas membentengi sungai dan longkang untuk menghalang kemusnahan yang lebih besar.

Kita belum lagi mendengar komitmen pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia khususnya Islam untuk membantu mangsa-mangsa bencana banjir di Bangkok. Tidak seperti gempa bumi di Indonesia, NGO dari Malaysia mengorak langkah awal menyelamatkan mangsa. Sumbangan dari segi kewangan, kesihatan dan kaunseling menjadi perkhidmatan paling laris. Faktor ini mungkin disebabkan bahasa dan budaya yang hampir sama antara masyarakat kedua-dua negara.

Thailand tidak punya daya tarikan seperti mana Indonesia. Bahasa, budaya dan agama menjadi penghalang kepada kecelapakan NGO dari Malaysia untuk menghulurkan bantuan. Buktinya kita masih belum mendengar pengumuman rasmi dari mana-mana NGO ini yang berminat. Ia berbeza dalam kes liputan bantuan sumbangan dari rakyat Malaysia di Somalia yang mana setiap hari media memberi ruang kepada ketua delegasi untuk tampil bercakap di televisyen.

Kita masih menanti NGO yang bergerak atas platform kebajikan untuk turut serta dalam memindahkan mangsa banjir di Bangkok. Soal bahasa dan agama wajar diketepikan kerana pesakit dan derita tidak pernah memahami perbezaan bahasa, agama dan budaya.

Sewajarnya NGO Islam mengorak langkah menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir itu supaya masyarakat sedar bahawa Islam mengutamakan kebajikan manusia. Secara tidak langsung, dakwah kepada masyarakat bukan Islam dapat disampaikan. Keupayaan NGO Islam dari Malaysia telah diuji dengan ketabahan mereka bersama-sama rakyat Palestin, mengharungi kepungan tentera zionis dan meredah tanah gersang Somalia untuk memberi bantuan kepada umat Islam. Malah ada yang sanggup berkorban untuk mendapatkan gambar dan berita.

Bagaimana kita boleh menggerakkan minat dan rasa prihatin NGO Malaysia? Adakah kerajaan perlu memberi intensif kepada mereka supaya imej negara ini positif pada pandangan masyarakat antarabangsa?

Selepas melibatkan diri dengan beberapa siri misi kemanusiaan adalah wajar bagi NGO Islam dari Malaysia untuk mengambil bahagian dalam misi banjir di Bangkok, Thailand.   
    
 

1 comment:

  1. Assalamualaikum,

    Benar dan setuju. NGO Malaysia perlu mengorak langkah proaktif dalam membantu Thailand.

    Tajuk macam tergantung? NGO Malaysia wajar Thailand.

    BroHamzah

    ReplyDelete