Saturday, October 29, 2011

Libya tanpa Ghaddafi






Selepas 42 tahun menjadi ‘raja segala raja’, legasi pemimpin yang menjadi presiden pada usia yang muda, 27 tahun, Muammar Ghaddafi, penghujung hidupnya amat menyedihkan. Dia dikatakan ditembak dan mayatnya diletakkan dalam bilik sejuk yang biasanya dijadikan tempat menyimpan daging. Mayatnya diletakkan di sebelah mayat anak lelaki, Mu’tasim yang ditawan lebih awal.

Keagungan dan kemegahan pemerintahan Ghaddafi berakhir sebaik sahaja kepalanya diledakkan dengan tembakan yang menyebabkannya mati ketika dalam kenderaan untuk dibawa ke hospital selepas cedera dipukul oleh pasukan penentang.

Selama 42 tahun, Ghaddafi dan keluarganya hidup dengan kekuasaan dan kemewahan. Penglibatan anak-anak lelakinya dalam pentadbiran kerajaan menunjukkan pengaruh keluarga Ghaddafi dalam semua aspek perjalanan negara. Sistem ini sama seperti yang diamalkan di negara-negara yang menggunakan sistem monarki. Di Timur Tengah, negara-negara yang masih mengamalkan sistem monarki ialah Arab Saudi, Qatar dan Bahrain.

Bagi negara yang tidak ada raja, sistem pentadbiran republik masih lagi mengamalkan kaedah monarki iaitu menjadikan jawatan presiden sebagai hak keluarga dengan mempersiapkan anak lelaki sebagai pengganti. Dua negara yang mempraktikkan amalan ini ialah Syria dan Libya.

Dalam kes Libya, perasaan marah rakyat negara itu terhadap Ghaddafi amat jelas dan tidak ada penyesalan. Membunuh seorang pemimpin dan berpesta meraikan kematiannya adalah tindakan luar biasa rakyat yang bencikan pemimpin. Ada lagi tanda-tanda rakyat yang bencikan pemimpin ini. Antaranya ialah berasa sangat bangga sebaik sahaja melihat mayat pemimpin dan tidak segan silu mengambil gambar kenang-kenangan. Barangkali ada yang mengherdik dan meludah pemimpin berkenaan kerana benci yang tidak dapat dilindungi lagi.

Keadaan yang berlaku di Libya tidak sama dengan Syria. Amerika Syarikat dan sekutu Barat begitu berminat menjatuhkan Ghaddafi berbanding Hafiz Assad. Di Libya, simpanan minyaknya begitu banyak dan negara-negara besar begitu terdesak mencari sumber minyak yang baru. Namun Syria tidak ada seperti itu, jadi negara-negara Barat tidak ada hati untuk menggulingkan Hafiz ketika ini. Malahan kekuatan penentang Hafiz jauh lebih lemah daripada kumpulan penentang Ghaddafi.

Mana-mana pemimpin yang agak lama berada dalam keadaan tertekan dan tertindas akan lahir sebagai sebuah negara yang dinamik dan ingin memenuhi inspirasi yang ideal. Negara Libya pun akan mengalami keadaan yang sama seperti yang sedang berlaku di Tunisia. Rakyat negara itu sedang menikmati kebebasan bersuara yang telah lama tidak ada. Libya juga akan menikmati peluang yang sama selepas ini apabila setiap rakyat Libya berpeluang dipilih sebagai pemimpin melalui proses demokrasi.

Hala tuju Libya baru belum jelas kerana proses pemilihan pemimpin belum dilaksanakan. Namun adakah proses ini akan berjalan dengan lancar sedangkan hendak menguruskan jenazah Ghaddafi pun masih belum sempurna? Proses pemilihan pemimpin baru tentu akan dibayangi oleh tangan-tangan ghaib yang mahu pengaruh mereka diambil kira.

Sudah pasti Amerika Syarikat dan sekutunya akan berusaha memastikan tindakan menyokong penentang Ghaddafi dibalas dengan harta yang berharga iaitu minyak. Rakan dagang tradisi Libya seperti China pasti ditolak ke tepi dan perlu mencari sumber minyak yang baru. Jika dilihat dari perspektif ini, dasar luar yang akan digubal oleh pemimpin-pemimpin Libya selepas ini akan cenderung memenuhi kehendak ‘sahabat’ barunya.

Sebaik sahaja pengaruh kuasa penakluk menjalar dalam dasar dan pelaksanaan pentadbiran negara, golongan ulama yang begitu merindui cara hidup shariah di Libya tentu akan diberi perhatian. Kelompok ini telah pun menyuarakan keinginan mereka dan suara yang menentang golongan ulama ini pun memberi respon yang keras. Itu belum lagi mengambil kira kewujudan puak-puak yang berbalah.

Penglibatan pasukan tentera Libya ketika era Ghaddafi lebih banyak berfungsi sebagai pelindung kuasa Ghaddafi dan keluarganya, selepas kekalahan besar pasukan ini kepada pasukan penentang, ke mana pasukan yang setia kepada Ghaddafi hendak pergi? Senario kelompok ini akan sama seperti Tentera Nasional Indonesia yang tidak lagi dibenarkan berfungsi dalam politik negara itu.

Libya selepas Ghaddafi lebih cerah dan proses demokrasi akan berjalan lancar. Perubahan yang berlaku di negara itu dijangka memberi pengaruh yang sangat besar kepada negara-negara Arab dan Afrika yang lain khususnya dalam kebebasan menentukan pemimpin.

Pemimpin-pemimpin yang telah lama di puncak kuasa tentu tidak senang duduk apabila angin perubahan sedang merebak di rantau itu. Dasar terbaik ketika ini ialah pragmatik supaya kuasa kekal dan pada yang sama membuat pembaharuan sedikit demi sedikit.

 

No comments:

Post a Comment