Friday, October 21, 2011

Bajet 2012 guna dana dalam negara





Persoalan besar yang melingkari fikiran kebanyakan penduduk Malaysia berkaitan Bajet 2012 ialah, 1) ke mana peruntukan yang berjumlah RM230.8 bilion disalurkan? 2) pihak mana yang mendapat faedah daripada Bajet 2012 ini? Dan, 3) adakah kerajaan Malaysia memiliki kemampuan untuk membiayai perbelanjaan yang begitu besar?

Selepas perdana menteri, Datuk Seri Mohd Najib membentangkan Bajet 2012 yang dianggap sebagai ‘bajet pemurah’ untuk rakyat Malaysia, perbincangan dalam bentuk seminar, konferens, bual bicara dan sorotan semasa dibuat dalam pelbagai medan interaktif. Media cetak umpamanya mengambil banyak ruang untuk menghuraikan implikasi bajet daripada pelbagai perspektif.

Ia melibatkan komentar daripada pakar ekonomi, sosial, pendidikan dan politik yang datang dari institusi pengajian tinggi, tokoh masyarakat dan penganalisis. Manakala radio dan televisyen menjadikan inti pati bajet sebagai sasaran utama rancangan bual bicara. Di ruang maya, perbincangan lebih serius dan panjang lebar melibatkan pelbagai sumber maklumat. Bagi para intelektual dan akademia, mereka lebih cenderung membincangkan isu ini dalam ruang lingkup ilmiah dan mengenengahkan fakta sebagai asas untuk berhujah.

Perbelanjaan kerajaan Malaysia merangkumi sembilan sektor utama iaitu pentadbiran am, pengangkutan, perdagangan dan industri, kemudahan awam, pertanian dan pembangunan luar bandar, perumahan, kesihatan, pendidikan dan latihan serta keselamatan. Antara semua sektor ini, pendidikan dan latihan diperuntukkan sejumlah bajet yang besar. Walau bagaimanapun terdapat sejumlah peruntukan jauh lebih besar yang diletakkan di bawah lain-lain sektor dengan jumlah RM70 bilion. Sektor ini merangkumi caj perkhidmatan hutang, bayaran pindahan, komunikasi serta perkhidmatan ekonomi dan sosial.

Dalam setiap bajet tahunan, Malaysia dilihat meletakkan pendidikan sebagai keutamaan. Dengan peruntukan RM24.0 bilion, sektor pendidikan, pengangkutan dan kemudahan awam akan menjadi pemacu dan penjana aktiviti ekonomi Malaysia pada tahun hadapan. Kemudahan awam merangkumi bekalan elektrik, air dan kemudahan-kemudahan lain. Keutamaan untuk sosial, ekonomi dan pendidikan serta latihan menjadi iltizam kerajaan  membangunkan modal insan atau talent.

Sementara tidak menafikan keperluan terhadap pendidikan dan latihan, menjadikan pengangkutan sebagai salah satu teras penjana ekonomi negara adalah langkah berani ke arah mewujudkan masyarakat bandar di seluruh negara khususnya  di Kuala Lumpur dan Selangor. Program Transformasi Ekonomi atau Economic Transformation Programme (ETP) melibatkan pelaburan berbilion ringgit untuk membina rangkaian pengangkutan moden di Lembah Klang. Termasuk juga pembinaan jalan raya yang mensasarkan kontraktor Kelas F untuk menggerakkan lingkaran ekonomi domestik.

Perbelanjaan operasi kerajaan Malaysia adalah besar. Daripada peruntukan operasi ini, sebanyak 18.3 peratus disalurkan untuk pelbagai jenis subsidi dengan sebahagian besarnya untuk subsidi bahan api (RM17 bilion) merangkumi petrol dan gas. Semua pengguna yang menggunakan kenderaan Malaysia mendapat faedah daripada subsidi bahan api ini. Selain Brunei, hanya kita yang memberi subsidi kepada bahan bakar itu. Pengguna di negara-negara Asean yang lain perlu membayar harga bahan api yang tinggi di samping mempelbagaikan sumber tenaga. Peruntukan lain adalah geran kepada badan berkanun, bayaran balik dan pelupusan, pemilikan aset, bekalan dan perkhidmatan, caj perkhidmatan cukai, pencen dan gratuiti serta emolumen. Perbelanjaan seterusnya ialah geran kepada dana berkanun, perusahaan awam, organisasi antarabangsa, tuntutan insurans dan sebagainya. Dalam aspek emolumen, jumlah yang besar (RM50 bilion) merangkumi gaji, bonus dan lain-lain pemberian kepada kakitangan awam kerana Malaysia mempunyai nisbah kakitangan awam ke atas penduduk yang kedua paling besar di dunia iaitu 1.3 juta orang selepas Jepun.

Soalan yang kedua pula berkaitan kelompok mana yang mendapat faedah daripada Bajet 2012 yang diumumkan.

Perdana menteri nampaknya mendengar keluh-kesah rakyat, memahami keperluan dan mengambil langkah untuk menangani masalah rakyat. Teras Bajet 2012 adalah mengutamakan kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara. Beliau mengambil maklumat tersebut melalui laman sesawang Facebook, twitter dan blog yang diakses terus ke akaunnya. Justeru kerajaan menggubal pelbagai langkah bagi meringankan beban lapan golongan yang sedang berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup. Lapan kelompok ini ialah penjawat awam, pelajar, kumpulan berpendapatan pertengahan, penduduk luar bandar, warga emas dan pesara kerajaan, kumpulan berpendapatan rendah, orang miskin serta pekerja sekuriti, bekas polis dan tentera. Sebahagian besar daripada mereka memiliki pendapatan isi rumah di bawah RM10,000 sebulan. Hakikat yang perlu diketahui ialah hampir 60 peratus rakyat Malaysia mempunyai pendapatan di bawah RM3,000 sebulan (Unit Perancang Ekonomi).

Penjawat awam tidak pernah dilupakan setiap kali pembentangan bajet. Mereka mendapat bonus dan tambahan tahun perkhidmatan. Bagaimana kelompok rakyat yang lain? Apakah habuan mereka?

Lima aspek besar digariskan sebagai langkah-langkah utama sasaran Bajet 2012. Pertama, pengurangan kos hidup, bayaran sekali dan pemberian tunai. Dalam aspek pertama ini, langkah-langkah yang diambil ialah mengekalkan peruntukan subsidi (RM33.2 bilion), memansuhkan yuran sekolah rendah dan menengah (RM150 juta), pemberian sebanyak RM500 kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan sebanyak RM3,000 ke bawah yang dapat memberi manfaat kepada 3.4 juta atau 53 peratus isi rumah di seluruh negara. Jumlah ini melibatkan RM1.8 bilion. Bantuan persekolahan RM100 kepada semua murid sekolah rendah dan menengah dari tahun 1 hingga tingkatan 5 (RM530 juta), baucar buku sebanyak RM200 kepada semua pelajar pengajian tinggi awam, swasta, matrikulasi dan tingkatan 6 (RM250 juta) serta RM3,000 kepada 62,000 bekas konstabel, polis bantuan yang berkhidmat semasa darurat dan balu (RM186 juta).

Kedua, kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Langkah ini merangkumi peruntukan RM1.2 bilion untuk program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KARISMA) bagi faedah 500,000 rakyat pelbagai kaum termasuk bantuan bulanan RM300 kepada warga emas miskin dan RM100 hingga RM450 untuk kanak-kanak miskin. Caruman KWSP dinaikkan daripada 12 peratus kepada 13 peratus untuk pekerja berpendapatan di bawah RM5,000. Program Army Care untuk menaik taraf dan senggara kem dan kuarters tentera seluruh negara (RM500 juta), program khas untuk 175,000 pesara tentera bagi menceburi bidang perniagaan dan mencari kerja baru dengan peruntukan sebanyak RM50 juta. Kelompok yang tidak ada rumah dan hidup merempat, kerajaan mengambil inisiatif mewujudkan Anjung Singgah yang akan memberi faedah kepada 1,400 rakyat terbiar di Kuala Lumpur, kaedah yang sama juga akan dikembangkan di Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

Ketiga, kelompok penjawat awam, pesara kerajaan dan warga emas. Bagi penjawat awam, mereka diperkenalkan kaedah penilaian baru yang dikenali sebagai Sistem Baru Saraan Awam (SBSA) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia, tambahan setengah bulan bonus dengan bayaran minimum RM500 kepada 1.3 juta kakitangan awam. Selain itu, kerajaan juga memberi bantuan yuran kelas tambahan untuk melanjutkan pelajaran secara separuh masa (RM200 juta), elaun on-call pegawai perubatan dan pakar dinaikkan dari RM30 hingga RM80. Di samping elaun itu, doktor dan doktor pelatih diberikan elaun bekerja fleksibel khas sebanyak RM600. Warga emas diberikan perhatian yang agak istimewa dalam bajet ini. Mereka yang berumur 60 tahun ke atas dikecualikan daripada yuran daftar pesakit luar di hospital kerajaan, klinik kesihatan (termasuk Klinik 1Malaysia) dan klinik pergigian, sementara itu kerajaan memberikan diskaun 50 peratus bagi menikmati perjalanan dengan LRT dan monorel bermula 1 Januari 2012.

Keempat, menyediakan rumah mampu milik dan rumah kos rendah. Dalam program rumah mampu milik, kerajaan menaikkan kelayakan harga rumah kepada RM400,000 menerusi pinjaman bersama suami isteri. Sasaran Skim Rumah Pertama ini adalah mereka berpendapatan bawah RM3,000. Skim Rumah Rakyat 1Malaysia (PRIMA) menyediakan 9,580 unit di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

Golongan nelayan turut diberi perhatian dengan Dana Perumahan Khas berjumlah RM300 juta. Bagi rumah kos rendah, terdapat 15,000 unit di bawah Program Perumahan Rakyat (RM443 juta), 10,000 unit di bawah Rumah Mesra Rakyat (RM200 juta), 1,270 unit di bawah Program Pemulihan Rumah Terbengkalai (RM63 juta). Kerajaan juga tidak melupakan rumah-rumah kos rendah yang daif dengan memberi peruntukan sebanyak RM40 juta yang turut merangkumi khidmat senggaraan di pihak swasta.

Kelima, keprihatinan ke atas penduduk luar bandar. Kerajaan memberi perhatian yang sangat tinggi kepada masyarakar luar bandar seluruh negara melalui Program Transformasi Luar Bandar (Rural Transformation Programme) atau RTP. Melalui rancangan ini, kerajaan melaksanakan Program Lonjakan Mega Desa yang melibatkan 11 projek agropolitan untuk tanaman komodoti, kontan dan sangkar ikan (RM110 juta), sementara pekebun getah juga mendapat imbuhan apabila penanaman semula getah Risda memberi faedah kepada 20,000 pekebun kecil (RM140 juta). Kemudahan infrastruktur melibatkan naik taraf kemudahan asas (RM5 bilion) iaitu rancangan pembangunan dan senggaraan besar-besaran di seluruh negara. Dalam pada itu, pembinaan dan naik taraf dewan serbaguna, surau, saliran, jambatan kecil, lampu jalan dan kemudahan asas yang lain (RM1 bilion) menjadi rahmat kepada masyarakat luar bandar. Projek bekalan air di pedalaman Sabah, ladang dan kawasan Felda (RM500 juta) diharap membantu masyarakat di sana bersama-sama menikmati bekalan air bersih. Sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk pembangunan dan kebajikan 190,000 orang asli. Manakala 29,000 kontraktor Kelas F mendapat faedah bagi Projek Senggara Infra Awam (PIA) dan Projek Infra Asas (PIAS) yang bernilai RM500 juta.

Langkah-langkah lain yang membantu meringankan masyarakat ialah pengenalan Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA1Malaysia) mensasarkan 100,000 isi rumah berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan. Pemilik teksi yang sukar mencari wang bakal dibantu sebanyak RM7,560 seorang untuk memperkemaskan hidup. Begitu juga  pendaftaran dengan Tabung Haji di mana RM1,300 boleh dikeluarkan dari Akaun 2 dalam KWSP untuk pendaftaran haji. Oleh kerana hujan yang sering turun menyebabkan ada kawasan  dilanda banjir, kerajaan merancang melaksanakan tebatan banjir di Perlis, Perak dan Johor.

Berdasarkan Bajet 2012, sebanyak RM48.1 bilion atau 20.9 peratus daripada perbelanjaan RM230.8 bilion disalurkan untuk kurangkan beban kerana kenaikan kos hidup, membina perumahan mampu milik, mengurangkan jurang pendapatan antara kelompok sosial, meneruskan kebajikan sosial dan memperkasa jaringan sosial. Bajet 2012 juga mengandungi langkah-langkah untuk sektor perkhidmatan bagi merancakkan strategi pembangunan selepas era perindustrian. Antaranya ialah liberalisasi secara berperingkat 17 sektor kecil bukan perkhidmatan, penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Saham dan industri kecil dan sederhana (IKS) menerima layanan lebih istimewa daripada kerajaan.

Istimewa yang dimaksudkan ialah peruntukan RM5 bilion dalam bentuk dana dan skim pembiayaan. Sejumlah RM2 bilion adalah untuk Dana Pembiayaan IKS patuh syariah oleh bank-bank Islam dengan kadar dua peratus ditampung oleh kerajaan. Dana Revitalisation IKS sebanyak RM100 juta yang menawarkan pinjaman mudah maksimum RM1 juta untuk usahawan memulihkan perniagaan mereka. Bagi inisiatif IKS mengkomersilkan penyelidikan, Dana Penkomersilan Inovasi patuh syariah disediakan dengan peruntukan sebanyak RM500 juta. Dana Kecemasan IKS untuk membantu usahawan IKS yang terjejas dengan bencana alam. Peruntukan yang lain ialah galakan usahawan kecil melalui Tekun sebanyak RM300 juta. Amanah Ikhtiar Malaysia diperuntukkan RM2.1 bilion bagi membiayai pembiayaan mikro usahawan khususnya wanita. Daripada jumlah ini, RM200 juta disediakan untuk usahawan India dan Cina. Galakan kepada talent diberi tenaga baru dengan pembentukan Modal Teroka MyCreative dengan dana permulaan RM200 juta.

Manfaat besar yang diperoleh dalam Bajet 2012 merupakan agihan berhati-hati supaya beban hidup dapat dikurangkan. Ia juga memberi ruang kepada penjanaan modal dalam negara melalui projek pengangkutan yang bakal mencipta peluang pekerjaan. Selain itu dapat menarik pelaburan asing yang berminat dengan iklim pelaburan di Malaysia. Dianggarkan jumlah pelaburan dari Amerika Syarikat telah mencecah RM30 bilion sehingga kini. Penyenaraian FGVH tentu melahirkan lebih ramai juwatan Felda pada masa depan.

Soalan yang paling penting dan sentiasa menjadi tanda tanya kepada rakyat Malaysia ialah dari mana kerajaan memperoleh wang untuk membiayai Bajet 2012?

Terdapat dua sumber pembiayaan iaitu sektor perkhidmatan dan rakan dagangan baru seperti China,India dan Jepun. Dalam menguruskan ekonomi negara, perolehan kerajaan mencecah RM187 bilion di mana separuh atau 52 peratus berpunca daripada cukai pendapatan syarikat, individu, petroleum, perkhidmatan, jualan dan cukai koperasi. Perolehan lain ialah eksais, duti import, surtax, duti eksport petroleum dan lain-lain. Jumlah cukai pendapatan petroleum, individu dan syarikat sahaja berjumlah RM97 bilion.

Pertumbuhan ekonomi negara mencatatkan 5.5 peratus pada tahun lepas dan kadar ini dijangka tidak banyak berubah pada tahun 2012. Ketika keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, 90 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan dipacu oleh permintaan domestik iaitu pembuatan (4.5%), perkhidmatan (6.5%), pertanian (4.1%), perlombongan (2.5%) dan pembinaan (7.0%). Selebihnya ialah kesan pemulihan ekonomi di China (9 peratus), India (7.5 peratus), Singapura (4 peratus) dan Jepun (2.3 peratus). Defisit fiskal sebahagian besarnya akan dibiayai menerusi sumber domestik iaitu bank dan institusi kewangan dalam negara. Jangkaan jumlah hutang luar dalam Bajet 2012 ialah kecil iaitu 4.1 peratus. Strategi ini iaitu menggunakan sumber pinjaman domestik menjadikan defisit bajet terus menguncup sebanyak 4.7 peratus daripada KDNK (Laporan Ekonomi 2011/2012 dan Bank Negara Malaysia).

Situasi ini memperlihatkan hutang negara semakin berkurangan kesan daripada tadbir urus yang cekap. Prestasi ini juga diharap dapat mengukuhkan aliran cergas penyelesaian hutang luar dalam tempoh yang munasabah. Hutang ini boleh dikurangkan dalam tempoh yang singkat sekiranya kerajaan menarik balik pemberian subsidi bahan api namun langkah berkenaan akan mengurangkan populariti di samping boleh mencetuskan situasi panik rakyat.     

Rumusan Bajet 2012 adalah, 1) peruntukan yang dikemukakan merupakan refleksi kerajaan ke atas keperluan rakyat, 2) sebanyak RM48.1 bilion atau 21 peratus daripada jumlah peruntukan disalurkan untuk menangani kenaikan kos hidup, perumahan mampu milik, merapatkan jurang pendapatan, mengambil kira kebajikan sosial dan jaringan keselamatan sosial, 3) sebahagian besar (RM187 bilion) daripada perbelanjaan kerajaan dibiayai nenerusi perolehan cukai dan hasil bukan cukai, manakaka selebihnya (RM43 bilion) menerusi sumber domestik.

 

No comments:

Post a Comment