Friday, November 26, 2010

Strategi NGO AS memperkasa organisasi

Lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton ke Kuala Lumpur membawa erti yang sangat besar kepada hubungan dua hala khususnya ekonomi dan politik kedua-dua negara. Hillary mengadakan kunjungan hormat peringkat tertinggi selama tiga hari, kali pertama selepas Warren Christoper pada 1995. Agenda utama perbincangan ialah perjanjian persefahaman dan kerjasama sains dan teknologi.

Selain Malaysia, Hillary mengunjungi Vietnam, Kemboja, Papua New Guinea, Australia dan New Zealand.

Kunjungan ini membawa makna yang tersurat dan tersirat. Secara kasarnya, lawatan ini menunjukkan hubungan Malaysia-AS sangat penting bagi Amerika Syarikat sendiri kerana Malaysia adalah antara rakan dagangan penting negara itu. Pada 2009, sejumlah RM109.23 bilion (USD$31.03 bilion) dagangan yang melibatkan kedua-dua negara di mana AS menjadi rakan dagangan ketiga terbesar bagi Malaysia.

Malaysia dilihat semakin penting kerana pencapaian ekonomi negara yang menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan. Dalam 2010 World Competitiveness Yearbook, kedudukan Malaysia adalah di tempat kesepuluh sebagai sebuah negara paling kompetitif di dunia, terkehadapan berbanding Jerman (16), China (18) dan Jepun (27). Sebelumnya berada di tangga ke-18. Malaysia juga melangkau lima aras dari kedudukan ke-22 dalam World Economic Forum’s Financial Development Report ke kedudukan lebih selesa iaitu ke-17.

Bagi menyambut keyakinan AS ke atas Malaysia, Hillary sendiri menyaksikan penyerahan sebuah pesawat Boeing 737-800 yang berharga RM215 juta (USD$70 juta) di Subang. Pesawat itu diterbangkan khas dari Seattle memiliki kapasiti 160 penumpang. Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dikatakan telah membuat pesanan 35 pesawat yang sama sebagai sebahagian daripada proses pembesaran operasi.

Di sebalik isu ekonomi, isu-isu besar yang dijangka telah dibincangkan ialah keselamatan serantau seperti ancaman pengganas dan tindakan kerajaan Malaysia bagi membanteras pemerdagangan manusia merentas sempadan. Barangkali satu topik yang hangat ialah ancaman Islam radikal kerana ucapan Hillary turut mengaitkan ‘Global Movement of Moderates’ atau Gerakan Global Sederhana yang dicadangkan perdana menteri, Najib Tun Razak di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Walaupun kedua-dua agenda ekonomi dan politik menjadi agenda penting perbincangan, lawatan Hillary sedikit sebanyak memberi impak kepada aktiviti dan hala tuju gerakan agensi pemikir dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia. AS terkenal dengan keupayaan NGO yang bertindak di peringkat global seperti Amnesty International yang dikatakan membayangi ‘suara’ dasar hubungan luar negara itu. Barangkali strategi dan kaedah NGO di AS boleh dipelajari oleh NGO Malaysia dari semasa ke semasa.

Aktiviti NGO di negara ini masih dikatakan baru bermula kerana peranan NGO yang dilihat belum menyerlah biarpun terdapat ribuan pertubuhan bukan kerajaan yang bergerak dalam pelbagai ruang lingkup aktiviti. Kita masih membincangkan dan memperjuangkan nasib komuniti tempatan dan sekali-sekala beranjak ke luar sempadan geografi negara untuk membantu komuniti antarabangsa.

Keadaannya sama dengan NGO di Eropah. Mereka mengutamakan kajian saintifik dan melihat fakta untuk mengesahkan keupayaan menyelesaikan masalah. Walaupun NGO di benua itu bergerak di seluruh dunia, kita jarang mendengar nama-nama NGO dari Eropah berbanding AS. Kenapa keadaan ini berlaku?

Puncanya ialah sistem pentadbiran negara yang berlainan. AS mengamalkan konsep terbuka dan NGO digalakkan memperjuangkan isu-isu global namun tidak meminggirkan isu-isu tempatan yang memerlukan perhatian. Persaingan setiap NGO di AS untuk berada di dalam jaringan Capitol Hall supaya dapat mempengaruhi proses pembuatan keputusan dan merancang dasar negara menjadikan NGO di sana sentiasa bersaing dan galak membuat pelobian. Mereka juga tidak banyak bergantung kepada geran bantuan kerajaan. Kecil atau besar NGO tidak banyak mempengaruhi keupayaan dan hala tuju kerana walaupun kecil, peranan mereka ini masih lagi signifikan untuk mempengaruhi proses membuat keputusan di peringkat negara.

Peranan NGO di AS ialah memantau dasar-dasar kerajaan, membawa suara dan pandangan kumpulan, melobi untuk mendapat tempat dalam proses membuat keputusan dan membina hubungan yang lebih mesra di antara kerajaan dan rakyat. Justeru, satu strategi yang paling baik untuk diadaptasi ialah NGO di sana sentiasa berusaha berdampingan dengan pejabat Presiden dan mempastikan mereka kekal di sana. Kaedahnya ialah dengan menggunakan fenomena ‘revolving doors’ iaitu pegawai-pegawai kerajaan boleh menyertai institusi korporat dan NGO supaya proses mendapatkan maklumat akan lebih mudah. Oleh kerana pegawai-pegawai kerajaan ini juga hendakkan pengaruh dan kuasa, mereka melibatkan diri dalam proses pelobian dengan harapan kemajuan dalam kerjaya akan lebih cepat.

Kebanyakan NGO di Malaysia masih belum meluas dalam aktiviti melobi kerajaan bagi merangka dasar dan membuat keputusan kerana kerajaan masih melihat NGO Malaysia belum memiliki tahap kepakaran demikian. Pada masa yang sama kerajaan ingin mendidik NGO untuk menjadi rakan kerajaan dalam menghadapi pelbagai isu ketika ini seperti hubungan etnik, pelajaran, penempatan hinggalah kebajikan. Barangkali pada suatu hari Malaysia mampu memiliki NGO sendiri yang dikenali di peringkat antarabangsa.

Kehadiran Hillary Clinton ke Kuala Lumpur ini tidak hanya dilihat dalam aspek kepentingan negara ke negara, sebaliknya kita juga boleh melihat banyak aspek lain yang menyentuh organisasi dan gerak kerja kumpulan.

No comments:

Post a Comment