Kejayaan pasukan Kelantan menjuarai Piala Malaysia edisi 2010 disambut meriah oleh semua orang Kelantan dan para penyokong. Selepas tiga kali mencuba iaitu 1955, 1970 dan 2009, kini Kelantan termasuk dalam kelompok pasukan yang pernah menjulang Piala Malaysia. Kesungguhan berlatih dan bermain secara terbuka di gelanggang menjadikan kemenangan adalah milik mutlak mereka.
Dalam apa juga permainan, kesungguhan adalah salah satu ciri yang memisahkan di antara pemenang dan tewas. Kejayaan diukur dengan sejauh mana pemain mempamerkan keupayaan bergerak lincah di atas padang dan bijak merancang strategi biar pun dalam keadaan tertentu dianggap tidak melawan. Andai setiap orang pemain memiliki ciri kesungguhan dalam setiap gerak kerja mereka, sudah tentu pasukan berkenaan akan bergerak sebagai pasukan yang dinamik dan sentiasa mencari ruang untuk menewaskan pasukan lawan.
Tidak seperti kekalahan, kejayaan perlukan banyak perkara yang berada di luar batasan kudrat. Kejayaan perlukan masa, tenaga, fikiran dan keazaman yang betul-betul difahami dan dilaksanakan. Semua ini mesti diadun dengan perancangan yang berkesan dan ada tempoh yang disasarkan. Kita ambil kejayaan syarikat-syarikat besar peringkat global seperti Toyota, Coca-Cola atau FedEx yang mampu mengekalkan jenama sehingga ke hari ini walaupun telah bertahun-tahun terlibat dalam bisnes. Ada juga syarikat dan institusi korporat yang berusia ratusan tahun jatuh muflis dan dibubarkan kerana nilai-nilai kejayaan telah merosot dalam kalangan pekerja.
Kesungguhan mencapai kejayaan adalah cabaran yang merumitkan kerana ia menyebabkan minda dan fizikal terpaksa bekerja di luar kebiasaan. Pola tidur, makan atau bersosial turut berubah kerana memenuhi tuntutan kejayaan. Tidak ada yang mudah untuk mencapai kejayaan kerana sifat-sifat berjaya itu sendiri adalah bekerja kuat, bersungguh-sungguh dan bijak merancang untuk mencapai matlamat.
No comments:
Post a Comment