Semasa membuat kajian mengenai topik ‘syura’, saya terjumpa sebuah buku yang sangat menarik tentang kisah Nabi Muhammad saw iaitu ‘Biografi Muhammad bin Abdullah: perjalanan hidup seorang nabi’. Dalam buku ini, terdapat kisah di mana Rasulullah saw menahan sabar ketika tali perut unta yang berdarah dan bernajis diletakkan di atas kepalanya ketika sujud.
Selepas anaknya, Fatimah membuang kotoran berkenaan, baginda saw bangun, memerhati gelagat orang-orang yang menghinanya. Baginda saw berdoa sambil menyebut nama setiap orang daripada mereka. Agak lama juga doa tersebut diperkenankan. Dikatakan nama-nama yang disebut Rasulullah saw telah menerima balasan masing-masing iaitu terbunuh dalam perang Badar.
Moral cerita ini ialah kita jangan sekali-kali gopoh dalam berdoa. Gopoh di sini bermaksud seseorang yang telah lama berdoa tetapi belum juga dimakbulkan lalu dia berkata, ‘Aku sudah berdoa dan berdoa, tetapi tidak dimakbulkan lagi oleh Allah’. Bagi orang Islam, insya Allah diingatkan oleh baginda saw, ‘Akan dikabulkan doa seseorang daripada kamu selagi dia tidak gopoh dengan Tuhan’.
Dalam era serba canggih hari ini, semuanya hendak cepat dan segera. Alangkah bahagia jika kita dapat bersabar dalam berdoa kerana jaminan doa dimakbulkan adalah daripada Rasulullah saw sendiri, bukannya orang lain.
No comments:
Post a Comment