Penulis: Prof. Dr Hamka
Tahun: 2007
Penerbit: Pustaka Dini, Shah Alam, Selangor.
Muka Surat: 203
Haji Abdul Malik bin Karim bin Abdullah atau lebih terkenal dengan nama Hamka lahir di Meninjau, Sumatera Barat, Indonesia pada 17 Februari 1908 dan meninggal dunia pada 24 Julai 1981 di Jakarta. Beliau merupakan salah seorang tokoh pendakwah yang dikenali di Nusantara dan dianggap sebagai pujangga ulung dan ahli fikir Islam yang tersohor.
Antara bukunya yang terkenal dan masih diminati sehingga kini ialah ‘Tenggelamnya Van Der Wijck’ yang boleh didapati di perpustakaan di seluruh negara termasuk di sekolah.
Buku Peribadi memuatkan sepuluh bab yang menghuraikan aspek-aspek peribadi seperti pertalian jasmani dan rohani, peribadi bangsa dan kebersihan peribadi. Setiap bab dihuraikan dengan ringkas dan disertakan contoh-contoh relevan supaya pembaca benar-benar memahami kaitan di antara peribadi dan perkembangan mental dan fizikal.
Bagi Hamka, ada sebelas nilai untuk menyerlahkan peribadi seseorang iaitu daya penarik, cerdik, timbang rasa, berani, bijaksana, berpandangan baik, menyesuaikan diri, bentuk badan, bijak, percaya kepada diri sendiri dan tenang. Contohnya kita ambil satu nilai, katakan berani. Hamka berpendapat mengadu nasib kepada orang lain bukannya sifat orang berani kerana keberanian sangat berkait dengan kemanusiaan.
Membalas baik dengan jahat adalah perangai yang paling rendah. Membalas jahat dengan jahat bukanlah perikemanusiaan. Membalas baik dengan baik adalah hal yang biasa. Namun membalas jahat dengan baik adalah cita-cita kemanusiaan yang paling tinggi.
Huraian yang agak menarik ialah berkaitan tarikan peribadi yang dapat mengubah persepsi dan nilai. Contohnya Nabi Muhammad saw semasa mudanya memiliki peribadi yang dapat menarik perhatian Khadijah dan ketika usia tua dapat menawan hati Aishah.
Selain penerangan untuk menguatkan peribadi, Hamka turut berkongsi cara tentang bagaimana peribadi yang mulia boleh bertukar menjadi lemah dan merosot.
Oleh sebab Hamka hidup dalam zaman penjajahan Belanda dan Jepun, tulisan dan pemikiran beliau amat berkait dengan era penderitaan dan sengsara. Justeru banyak contoh perbandingan bangsa dikaitkan dengan masyarakat Indonesia, walau bagaimanapun ia boleh diguna pakai untuk bangsa-bangsa di Malaysia juga.
No comments:
Post a Comment