Wednesday, July 21, 2010

Mansuh peperiksaan- kembali kepada matlamat pendidikan

Kementerian pelajaran telah memulakan usaha menilai kembali ujian dan peperiksaan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah. Signifikan dua peperiksaan iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kepada pelajar berada dalam kedudukan ‘keraguan’ kerana dikatakan membentuk pemikiran pelajar yang mengutamakan peperiksaan berbanding membentuk sahsiah diri yang cenderung kepada kemahiran dan bakat.

Pelaksanaan peperiksaan memberi implikasi yang positif dan negatif khususnya kepada pelajar. Ada kes di mana kekecewaan dalam peperiksaan berakhir dengan tragedi membunuh diri. Ia berlaku kerana pelajar tidak dapat menampung tekanan dan takut dimarahi ibu bapa.

Persaingan untuk cemerlang dalam UPSR dan PMR mendorong lebih banyak kelas tuisyen diadakan. Di pihak swasta, ia memberi pendapatan lumayan kerana permintaan untuk kelas tuisyen sentiasa ada. Bagi sekolah, mereka mengadakan kelas malam khususnya bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan.

Kecenderungan terhadap peperiksaan mendorong penciptaan aplikasi yang membantu pelajar mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan utama. Bahan-bahan pengajaran dilaksanakan dalam bentuk atas talian dan harganya juga bersesuaian dengan kecanggihan teknologi ini. Program seperti ini banyak memberi manfaat kepada pelajar yang berkemampuan dan ada capaian internet.

Apabila kerajaan membuat keputusan untuk memansuhkan UPSR dan PMR, kaedah alternatif untuk menilai prestasi pelajar wajar diperkenalkan. Pada masa yang sama proses pembelajaran turut berubah. Pelajar boleh belajar dalam keadaan santai dan menyeronokkan, tuisyen bukan lagi menjadi buruan dan tumpuan kepada pembentukan sahsiah murni dapat dilakukan bersungguh-sungguh oleh pihak sekolah.

Kesan segera ke atas pemansuhan peperiksaan utama ialah beban yang ditanggung oleh pelajar dan ibu bapa akan terlerai. Namun tugas guru dijangka bertambah kerana mereka akan menilai prestasi pelajar sepanjang masa. Cuma satu masalah yang akan dihadapi iaitu kegiatan kokurikulum yang melibatkan bidang kejurulatihan. Oleh sebab nisbah guru lelaki dan wanita yang jauh berbeza, kementerian dijangka mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi untuk mendapatkan pakar dalam bidang-bidang tertentu yang melibatkan pengajar lelaki.

Tumpuan kepada sahsiah murni membantu kerajaan dan masyarakat mengurangkan peningkatan kes lencongan sosial seperti pelacuran, berzina dan hamil tanpa nikah dalam kalangan pelajar. Memberi kesedaran kepada semua pelajar berkenaan lencongan sosial diharap membentuk generasi muda yang lebih mengutamakan akhlak, mengutamakan nilai-nilai kecemerlangan dan mahir dalam mengurus hidup sejak kecil.

Justeru, di sinilah pentingnya kemahiran insaniah yang sedang dilaksanakan di peringkat institusi pengajian tinggi. Watak pelajar berubah apabila mereka menyertai aktiviti kokurikulum kerana banyak elemen pembangunan diri diterapkan seperti kepimpinan, komunikasi dan sebagainya. Jika kemahiran insaniah ini diperkenalkan sejak sekolah rendah, sistem pendidikan negara kita memiliki set lengkap ke arah pembentukan sahsiah pelajar yang bersifat holistik. Kedua-dua kejayaan iaitu akademik dan bukan akademik bergerak serentak dalam diri pelajar.

No comments:

Post a Comment