Selepas keluar dari pejabat untuk pergi ke program halaqat, saya singgah di sebuah kedai makan di kawasan berhampiran taman perumahan. Ini kali kedua saya singgah di kedai ini untuk merasai keenakan mee hailam.
Kedai makan ini masih belum ramai orang. Jadi, saya terus memesan mee hailam dengan teh o ais limau.
‘Bang, mee hailam dengan teh o ais limau satu’.
‘Orait’, jawab pelayan kedai yang sedang memasukkan milo ke dalam gelas.
Lalu saya melihat tempat-tempat kosong yang strategik, menghadap jalan raya dan yang penting saya boleh memantau motosikal yang diletakkan di kawasan tersebut. Apa yang saya dapat ialah beberapa gelagat pengunjung yang berbagai-bagai ragam. Di hadapan saya ada sebuah meja, duduk tiga orang lelaki.
Seorang daripadanya berbadan gempal dengan t-shirt berwarna putih manakala dua lagi agak kurus dengan baju biru. Mereka memesan teh tarik dan milo panas. Ketiga-tiga lelaki ini dalam lingkungan umur remaja, ada tabiat merokok dan berbangsa Melayu.
Selang beberapa ketika mereka beredar untuk urusan masing-masing.
Dalam hati saya bertanya, ‘Anak siapa ni? Apa yang mereka buat? Di mana mereka bekerja?’ Saya tidak dapat menjawab ketiga-tiga soalan ini kerana tidak sempat bersua muka.
Sejam sebelum itu saya baru mengkhatamkan buku tulisan Hamka iaitu ‘Peribadi’. Buku ini sangat mudah dibaca tetapi arah pemikiran Hamka membuatkan saya berfikir kaitannya ketiga-tiga pemuda tadi dengan masa depan hidup mereka.
Salah satu ayat yang menarik dalam buku ini ialah ‘kehidupan kita, nasib bahagia atau celaka, bergantung kepada kemahuan’. Ayat ini sangat menyerlahkan betapa hidup kita sejak awal hingga akhir ditentukan oleh usaha kita sendiri.
Seterusnya ayat kedua berbunyi ‘nasib kita, kita tentukan sendiri’ memang menepati kudrat manusia hari ini yang sebahagian besar perlu dilakukan sendiri.
Masa depan terletak pada masa ini, hari ini. Apa yang akan berlaku 20 tahun akan datang ditentukan dengan apa yang kita buat pada hari ini. Seorang remaja bakal menjadi pemimpin pada masa depan jika dia diasuh dengan selok-belok kemahiran kepimpinan. Jika tidak, jadilah kehidupan remaja berkenaan umpama mengikut arus sungai hingga ke muara tanpa dapat merencanakan masa depan sendiri.
No comments:
Post a Comment