Monday, July 05, 2010

Kebangkitan Indonesia bukan tekanan

Malaysia tidak gusar dengan kebangkitan mendadak ekonomi di Indonesia, meskipun banyak pihak melihat perkembangan itu bakal memberi tekanan kepada negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, transformasi ekonomi yang berlaku di negara jiran serumpun itu sebaliknya bakal memberi banyak kelebihan kepada Malaysia.

"Tidak ada sebab kenapa kita harus merasa tertekan dengan perubahan ekonomi di Indonesia dan sebagai sebuah negara yang mempunyai hubungan rapat dengannya sejak begitu lama, kita rasa gembira," kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tentang kemunculan Indonesia sebagai kuasa baru ekonomi di Asia selepas China dan India.

Nor Mohamed menambah perkembangan positif di Indonesia bakal meningkatkan jumlah kemunculan kelas menengah, sekali gus memberi impak positif dalam perdagangannya dengan Malaysia.

Peningkatan jumlah penduduk kelas menengah di Indonesia akan memberi kesan kepada pertambahan keperluan barangan, sekali gus menguntungkan Malaysia sebagai sebuah negara pengeksport.

Malah, sektor-sektor lain seperti pelancongan, pendidikan pelancongan dan perubatan pelancongan turut mendapat faedahnya daripada kebangkitan ekonomi Indonesia itu.

Sambil memberi contoh, Nor Mohamed berkata, perdagangan Malaysia mendapat banyak faedah daripada kemunculan China dan India sebagai kuasa ekonomi baru.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, keupayaan negara mencapai pertumbuhan enam peratus setahun sepanjang Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) antara 2011 hingga 2015 tidak seharusnya diragui.

Nor Mohamed berkata, kadar itu boleh dicapai melalui kombinasi pelaksanaan RMK-10 dan juga Model Baru Ekonomi.

Katanya, dalam penyediaan RMK-10, kerajaan telah mengambil kira semua aspek termasuk krisis ekonomi untuk memastikan hala tuju Malaysia untuk mencapai status negara maju menjelang 2020.

"Kita juga serius kepada penubuhan Talent Corporation yang bertanggungjawab membawa balik diaspora tempatan (pekerja profesional di kalangan rakyat Malaysia di luar negara) untuk turut membangunkan negara.

"Jika gagal membawa mereka balik sekalipun, kita akan berusaha untuk bekerjasama untuk membina rangkaian Malaysia di luar negara," jelas beliau.

Malaysia juga akan menumpukan kepada pendidikan berorientasikan vokasional bagi memastikan negara memiliki tenaga mahir pada masa depan.

Setakat ini, kata beliau, gagasan RMK-10 diterima baik oleh masyarakat perdagangan di Malaysia dan luar negara, cuma kebanyakan mereka agak skeptikal dengan keberanian kerajaan untuk menjadikannya kenyataan.

''Kerajaan hanya mempunyai masa lima tahun untuk menentukan keupayaan Malaysia mencapai status negara maju dan ia pasti dilaksana mengikut kaedah yang telah ditetapkan,'' kata Nor Mohamed.

Beliau menambah, kejayaan negara untuk berada di tempatnya sekarang adalah hasil tumpuan yang dibuat dalam setiap perancangan.

Nor Mohamed berkata, Malaysia dalam Laporan Pertumbuhan (2008) telah diiktiraf pencapaiannya dalam pengurusan ekonomi apabila menjadi antara 13 buah negara yang mampu mengekalkan momentum pertumbuhannya melebihi tujuh peratus untuk tempoh sekurang-kurangnya 25 tahun sejak 1950.

Katanya, kesemua lima faktor asas yang menyumbang kejayaan itu seperti kestabilan ekonomi mikro, pelaburan dan tabungan yang tinggi, pengagihan dan penggemblengan sumber berasaskan pasaran serta kepimpinan berkeupayaan dan komited untuk mencapai pertumbuhan secara inklusif diteruskan dalam RMK-10.


(Utusan Online, 5 Julai 2007)

No comments:

Post a Comment