Hamka dalam bukunya ‘Peribadi’ menghuraikan setiap bangsa dengan keistimewaannya tersendiri. Sama ada di Timur atau Barat, bangsa-bangsa yang mendiami sesebuah negara atau kawasan memiliki satu atau dua sifat yang lebih daripada bangsa lain. Sifat-sifat bangsa ini dipengaruhi oleh keadaan iklim, geografi atau keperluan untuk hidup.
Beliau berkata ‘udara sesebuah negeri mempengaruhi jalan hidup dan jalan fikiran’. Contoh mudah ialah bangsa Jerman yang terkenal dengan kehidupan yang suka kepada ketenteraan, berdisiplin dan mementingkan demokrasi. Justeru bangsa ini dapat menakluk Raja Frederick van Pruisen dan Raja Wilhelm II. Lalu sejarah Jerman mengukir kehebatan dengan melahirkan seorang tokoh yang pernah digeruni iaitu Hitler.
Bangsa Inggeris turut memiliki sifat yang unik iaitu percaya kepada diri sendiri kerana ‘benar atau salah adalah bangsa ku’.
Bagi bangsa Perancis, mereka dikenali kerana romantis, banyak menaruh harapan dan kaya dengan khayalan.
Bangsa-bangsa lain juga memiliki satu atau dua sifat yang membezakan mereka dengan bangsa-bangsa di sekitarnya. Bangsa Amerika terkenal kerana memperjuangkan demokrasi, bangsa Belanda adalah teliti tetapi degil, bangsa Cina yang berada di 135 buah negara dikenali kerana tahap kerajinan yang tinggi, bangsa Arab pula ‘baghaina fulus’ iaitu saya mahu duit. Manakala bangsa Jepun yang terkenal pada hari ini dikagumi kerana mementingkan kebersihan namun tebal dengan sifat angkuh.
Bagaimana pula dengan bangsa Melayu di Nusantara? Apakah sifat-sifat istimewa mereka yang menarik minat banyak pengkaji Barat?
Menurut Hamka, di kawasan khatulistiwa iaitu keadaan panas dan dingin yang seimbang, masyarakat Melayu memiliki sifat lemah-lembut, sempat berfikir dalam ketenangan dan kerap kali memakai nama sandaran. Situasi ini menjadikan bangsa Melayu dilihat santai kerana tidak ada yang menyuruhnya bergegas. Bangsa Jepun berjalan cepat terkedek-kedek kerana takutkan gempa bumi atau tsunami yang kerap berlaku.
No comments:
Post a Comment