Kemuncak perlawanan bola sepak piala dunia telah menemui juara iaitu Sepanyol yang menang bergaya ke atas Belanda. Walaupun hanya satu gol, ia merupakan kemenangan paling manis bagi Sepanyol kerana termasuk sebagai pasukan yang telah memenangi trofi piala dunia bersama-sama tujuh pasukan lainnya.
Kemenangan Sepanyol disambut meriah oleh peminatnya di seluruh dunia. Bair pun pernah kalah dalam perlawanan sebelum ini, ramalan yang dibuat oleh sotong Paul memang menepati kehendak takdir apabila meramalkan pasukan itu akan menewaskan pasukan orenje, Belanda. Manakala ramalan burung nuri di Singapura meleset sama sekali dan sahamnya jatuh merudum. Mungkin selepas ini Paul akan tilik pula dengan pelbagai jenis pilihan untuk menguntungkan tuannya. Di Malaysia, jumlah taruhan judi piala dunia mencecah RM419.2 juta.
Peranan binatang dalam meramal memang diguna pakai sejak lama dulu. Namun kadang-kadang perangai pelik binatang mengundang rasa curiga kepada manusia seperti yang berlaku beberapa hari sebelum tsunami melanda Indonesia, Malaysia, Thailand dan beberapa buah negara lain. Perlakuan binatang dan unggas seperti itik, ikan, lembu dan kambing meninggalkan petanda kejadian buruk yang boleh berlaku dalam masa tiga hari.
Binatang juga sering dikaitkan dengan judi dan bertaruh nasib. Di Sepanyol juga ketika ini berlangsung perlumbaan lembu yang mengundang rasa marah masyarakat dunia dan pencinta binatang. Kezaliman pihak penganjur yang ghairah melihat lembu berdarah dirasakan tidak ada apa-apa yang pelik kerana ia merupakan acara tradisi masyarakat Sepanyol.
Ayam sabung juga menjadi mangsa kepada kerakusan manusia berjudi dan bertaruh. Taji-taji diasah supaya mampu membunuh saingan dalam masa singkat. Ayam jantan sabung dibelai dan dijaga melebihi anak sendiri malah dibawa tidur sebilik. Makan dan minum dijaga dan kesihatannya sentiasa menjadi keutamaan. Biar pun taruhan tidak banyak namun kemaruk kepada sabung ayam tidak mampu mengubah tabiat kaki sabung untuk mencari saing dan bertaruh wang.
Lain-lain spesies binatang yang termasuk dalam kategori bertaruh ialah labah-labah, kala jengking, ‘tok keh’, semut api, kerbau dan ikan laga.
Apabila binatang mengambil alih peranan meramal, tukang menurun dalam masyarakat Melayu untuk mendapat nombor ekor tidak lagi laku.
No comments:
Post a Comment