Wednesday, April 25, 2007

Mendidik pelajar dengan portfolio

Kurikulum pendidikan sedia ada lebih menjurus kepada orientasi peperiksaan wajar dinilai kembali kerana tidak melahirkan pelajar yang berfikir. Peperiksaan umum seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi sasaran pelajar untuk mendapat A penuh dalam semua mata pelajaran. Kaedah ini menjadikan pelajar di Malaysia beranggapan mendapat A adalah tanda aras kepada kehebatan ilmu yang dimiliki.

Pendidikan adalah proses yang dinamik. Mendidik bererti mengubah. Perubahan sentiasa berlaku dari semasa ke semasa kerana kepintaran, keperluan dan inovasi pembangunan manusia mewujudkan trend yang mengalakkan kerana terdapatnya penyelidikan dan pembangunan dalam bidang psikologi, sosial, teknologi, budaya dan sejarah pendidikan itu sendiri. Dalam filem Pendekar Bujang Lapok, P.Ramlee dan rakan-rakannya belajar di sebuah sekolah orang dewasa kerana mereka buta huruf. Ketiga-tiganya tidak sempat menamatkan pelajaran masing-masing sebelum itu kerana guru telah meninggal dunia. Yang menarik ialah semangat untuk belajar nampak berkobar-kobar tetapi belajar di usia tua umpama "mengunyah daging yang liat," susah untuk mengingat. Hari ini, tidak ada lagi orang-orang tua yang belajar menulis dan membaca di sekolah. Cuma belajar mengaji al-quran di masjid dan surau.

Pendidikan berbeza daripada proses sosialisasi yang lain kerana melibatkan perundingan, dilaksanakan melalui struktur organisasi yang formal dan mempunyai tanda aras tertentu. Ada juga yang berpendapat, pendidikan dalam bilik darjah seharusnya selari dengan cara berfikir masyarakat supaya kemahiran pembelajaran dapat menjana pendidikan masyarakat dari generasi ke generasi.

Kita lebih cenderung untuk melihat pendidikan sebagai satu kaedah bagi menyediakan kanak-kanak menjadi orang dewasa, kehidupan yang sambung-menyambung. Justeru, pendidikan dianggap sebagai pembelajaran akademik dan sekolah tidak begitu prihatin dengan didikan moral dan akhlak. Keutamaan diberikan kepada mendapat seberapa banyak A dalam peperiksaan membuat pelajar sibuk menghafal dan mengulangkaji. Pihak sekolah dan guru akan bertanding sesama sendiri untuk melihat siapa yang lebih handal melahirkan pelajar yang mendapat A.

Beberapa pembaharuan dilakukan untuk meningkatkan tahap pendidikan di Malaysia seperti pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, pengajaran j-Qaf di sekolah rendah, sekolah kluster, 20 buah universiti dan empat daripadanya adalah universiti penyelidikan, sekolah rendah mendapat guru ijazah dan sekolah bestari di seluruh negara. Usaha-usaha ini adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab pendidikan utama di rantau ini.

Apabila Timbalan Perdana Menteri memberi pandangan bahawa pendidikan sekarang hanya melahirkan pelajar yang menghafal dan tidak berfikir, tentulah ada kepincangan dalam pelaksanaan kurikulum pendidikan. Setelah 50 tahun merdeka, sistem pendidikan masih gagal mencari formula untuk membentuk kurikulum bagi mempastikan setiap pelajar dapat berfikir dengan bebas. Apa untungnya negara jika mempunyai pelajar yang berfikir? Apakah untuk mengelakkan tumpuan berlebihan terhadap peperiksaan dan menggalakkan pusat tuisyen?

Mendidik adalah membuat perubahan. Daripada tidak tahu kepada tahu, daripada tidak faham kepada faham dan daripada takut kepada berani. Perubahan harus meliputi tiga elemen iaitu pengetahuan, sikap dan kemahiran. Sistem pendidikan sedia ada merangkumi ketiga-tiga elemen ini. Barangkali kita perlu melihat dari sudut yang berbeza. Terdapat pengurangan dalam melaksanakan pengajaran yang mengabaikan perkembangan kognitif. Mungkin juga pendidikan tidak mengajar pelajar langkah demi langkah untuk merancang, mengurus dan melaksanakan program atau aktiviti pembelajaran mereka. Seterusnya penekanan terhadap aspek menilai sangat kurang diberi perhatian.

Pendidikan sentiasa diperkenalkan dalam pelbagai bentuk atau kaedah pembelajaran yang menarik dan berkesan. Salah satu daripadanya dikenali sebagai portfolio. Pada tahun 1992, Arter dan Spandel menjangkakan istilah portfolio akan menjadi perkataan yang popular. Bagaimanapun, penggunaan ia tidak begitu jelas dari segi maksud atau bayangan tertentu khususnya apabila digunakan dalam konteks penilaian portfolio. Lalu kedua-duanya memberikan definisi berikut;

"... a purposeful collection of student work that tells the story of the student's efforts, progress or achievement in (a) given area (s). This collection must include student participation in selection of portfolio content, the guidelines for selection, the criteria for judging merit, and evidence of student self-reflection."

Definisi ini menerangkan perkembangan semula jadi dalam proses penilaian dan menekankan penglibatan aktif pelajar tentang apa yang mereka tahu dan boleh buat. Dimensi lain ialah penghargaan ke atas tujuan pelajar menilai kembali proses pembelajaran mereka untuk melengkapkan tugasan dan menyepadukan penilaian dengan pengajaran dan pembelajaran.

Portfolio biasanya digunakan oleh artis dalam persembahan mereka dan trend ini semakin popular di sekolah, universiti dan institusi pengajian tinggi di Barat. Di Malaysia, kaedah ini boleh diperkenalkan kepada pelajar kerana mampu melatih diri mereka untuk menilai prestasi diri sendiri dalam pembelajaran. Menyediakan portfolio adalah menyediakan perkembangan dan kemajuan diri. Apabila pelajar merasai kejujuran adalah lebih penting daripada pengetahuan dan kepakaran, mereka menjadi seorang yang mencari-cari kesalahan. Tetapi jika mereka itu dinilai dan dihargai, seterusnya diajar tentang kejujuran, mereka akan berasa lebih positif terhadap pelajaran. Antara kelebihan membina portfolio ialah :

• Portfolio memperkasa pelajar dengan mengalakkan amalan menilai iaitu mengkritik dan memberi maklum balas kepada keputusan-keputusan itu.

• Portfolio menggalakkan pelajar memberi tumpuan kepada kekuatan diri.

• Portfolio memberi ruang kepada pelajar untuk meningkatkan bidang-bidang kemahiran dan perkembangan diri.

• Portfolio menggabungkan semua aspek pembelajaran dengan melihat pelajar sebagai lengkap-melengkapi dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual.

• Portfolio menawarkan kepelbagaian (sumber untuk menjana kreativiti).

• Portfolio memberi galakan kepada pelajar untuk mengambil bahagian secara aktif dalam menilai diri.

• Portfolio memberi pendekatan baru bagi menilai kemajuan pelajar.

Bagi seorang guru dan pelajar, keperluan untuk belajar dan membina motivasi dan keyakinan adalah satu keutamaan. Portfolio dapat membantu pelajar memberi fokus untuk melihat kembali hasil kerja, refleksi, penetapan sasaran dan membuat tindakan. Bukti-bukti kemajuan dan pencapaian diuruskan dengan sempurna dapat menggambarkan keseluruhan prestasi kemajuan pelajar.

Kunci kepada perkembangan portfolio ialah :

1. Proses pembelajaran

Portfolio menekankan penilaian diri, perbincangan yang bermakna dan pemikiran serta amalan menilai diri. Perkembangan boleh dilihat dari setiap peringkat berpusatkan pembelajaran dan penilaian pelajar.

2. Prinsip

Melibatkan pelajar dalam proses penilaian membuat mereka merasakan penilaian diri adalah penting kerana menunjukkan apa yang telah dipelajari dan bagaimana ianya telah dicapai dan memberi mesej apa sebenarnya yang dinilai dalam pencapaian.

Di samping itu pelajar dikehendaki untuk menumpukan perhatian ke atas pembelajaran mereka dan memasukkan contoh-contoh kerja daripada tugasan yang diberi. Pada masa yang sama, ia mencerminkan strategi dan proses yang digunakan dalam pembelajaran tersebut.

3. Penilaian diri

Perkembangan portfolio menghendaki seseorang untuk memilih daripada koleksi kerja bagi dinilai tahap pencapaiannya mengikut tanda aras yang ditetapkan. Memilih merupakan aktiviti yang mencabar kerana melibatkan proses memikir, memahami piawaian dan membuat kritikan terhadap hasil kerja berasaskan piawaian yang ditetapkan.

Bagaimana membuat portfolio?

1. Carta portfolio

Dalam proses ini, pelajar dibenarkan untuk menggunakan perkataan sendiri dan direkodkan. Menggunakan bahasa orang dewasa akan mengganggu rasa berpunya pelajar berkenaan. Contoh carta portfolio yang baik ialah :

a. Apakah yang disifatkan sebagai pembaca yang baik?

(Tahun 1)

-pergi ke sekolah
-cikgu beritahu cerita dalam buku sebelum membacanya
-membuat latihan setiap hari
-seseorang yang membaca untuk saya
-baca di sekolah, di rumah dan di perpustakaan
-mesti menjadi pemikir yang baik

b. Apakah yang disifatkan sebagai pembaca yang baik?

(Tahun 4)

-tidak renggang dengan buku
-mata sentiasa pada buku
-tidak membiarkan gangguan semasa membaca
-dapat menceritakan kembali kisah-kisah yang dibaca
-membaca banyak buku
-mencari makna yang tidak diketahui
-memahami apa yang dibaca

Semakin panjang proses pembelajaran yang dilalui, pelajar bertambah matang dan lebih bijak. Di penghujung pengajian, pelajar boleh menilai sendiri kefahaman mereka mengenai sesuatu topik dengan menambah atau mengurangkan ayat-ayat sebelum itu.

2. Mencontohi proses pemilihan

Proses menilai diri adalah pengalaman baru bagi kebanyakan pelajar. Sesetengah pelajar yang pintar dapat menilai hasil kerja mereka dengan amat baik. Umpamanya, ulasan "sangat menarik," "ejaan betul" dan "bersih" dapat diberikan oleh pelajar ke atas kerjanya sendiri. Pelajar sebegini boleh diambil hasil kerja mereka sebagai contoh kepada pelajar-pelajar yang lain supaya dapat menepati tanda aras portfolio diri. Penilaian diri akan bertambah baik dari semasa ke semasa sehinggalah pelajar dapat menguasainya dengan baik.

3. Imbasan ke atas penilaian diri

Penilaian diri adalah nadi kepada portfolio. Kemahiran membuat penilaian mengandungi tiga komponen iaitu :

a. Saya memilih yang ini kerana ...
b. Saya telah belajar mengenai ...
c. Matlamat saya ialah ...

Ulasan daripada pelajar sendiri menjadikan penilaian lebih berkesan untuk perubahan. Mereka melatih diri untuk melakukan kerja, menyiapkannya dan memberi maklum balas ke atas hasil kerja. Konsep ini dipanggil kaizen dalam organisasi di Jepun kerana ia menggalakkan penambahbaikan ke atas hasil kerja sendiri.

Memperkenalkan penilaian diri melalui portfolio adalah sangat menguntungkan. Apabila kita melihat para pelajar menjadi aktif dalam pembelajaran mereka sendiri, barulah disedari yang aktiviti ini memberi ruang kepada aspek yang signifikan dalam kitaran pembelajaran mereka. Apabila pelajar berasakan mereka diperkasa, mereka akan menukar pandangan dan sikap terhadap pendidikan. Portfolio dapat memberi kesedaran kepada pelajar mengenai hasil kerja, langkah-langkah untuk menyempurnakan kerja dan menghargai diri mereka sendiri.

Ia juga mendedahkan tahap berfikir pelajar dan guru boleh mengenal pasti aspek yang perlu ditingkatkan bagi membina kemahiran-kemahiran berfikir yang seterusnya. Mungkin satu masa nanti kita tidak perlu lagi kepada penilaian umum melalui peperiksaan tetapi cukup dengan penilaian diri daripada portfolio.


Rujukan

Arter, J.A dan Spandel, V.1992. Using Portfolios of Student Work in Instruction and Assessment, Educational Measurement : Issues and Practice, Spring , pp 36-44.

Beth Schipper dan Joanne Rossi.1997. Portfolio in the classroom : Tools for learning and instruction. York, Maine : Stenhouse Publishers.


Hebert, E. A.2001. The Power of Portfolios. San Francisco, CA : John Wiley & Sons, Inc.

Val Klenowski.2002. Developing Portfolios for Learning and Assessment. London : Routledge Falmer.

No comments:

Post a Comment