Sunday, April 15, 2007

Keselamatan di kompleks membeli-belah

Isu kehilangan kanak-kanak keletah, Yin, menjadi tarikan ramai pihak untuk membantu mencarinya. Dari individu, masyarakat sekampung, orang ramai, media hinggalah pasukan polis dan tentera, usaha mengesan kanak-kanak ini telah berakhir setelah beliau diserahkan kepada ibu bapanya oleh pasangan Mynmar. Iktibar yang sangat penting ialah lenyapnya Yin dari pusat membeli-belah, Sogo, Kuala Lumpur adalah kegagalan pengawasan ibu bapa.

Ibu bapa Yin, seperti yang difikirkan oleh sesetengah pihak merupakan isu utama dalam kejadian malang ini. Faktor kelalaian dan tidak prihatin dengan persekitaran mengundang padah kepada mereka. Kehilangan Yin bagi kali pertama belum menjadi pengajaran sebaliknya mengambil sikap "tidak apa" apabila berada dalam suasana keseronokan membeli-belah. Dalam kejadian ini, faktor manusia adalah lebih dominan daripada faktor mesin seperti kamera litar tertutup (cctv) dan struktur bangunan.

Tahap keselamatan di kompleks membeli-belah pernah menjadi isu hangat ketika kes pembunuhan Canny Ong beberapa tahun yang lalu di Bangsar. Selepas itu barulah agensi kerajaan bersuara lantang bagi memastikan orang ramai berasa selamat dan selesa apabila membeli-belah. Keselamatan menjadi nadi utama kepada pengunjung dan pada masa yang sama pengunjung adalah segala-galanya bagi peniaga. Keselamatan yang terjamin akan meningkatkan imej sesuatu kompleks membeli-belah dan bakal meraih kepercayaan masyarakat. Tanpa jaminan keselamatan, orang ramai akan berfikir dua atau tiga kali jika mereka hendak membawa keluarga. Kesan rantaian yang panjang ialah perniagaan akan mengalami kemerosotan kerana orang ramai mula beralih ke tempat yang lebih selamat.

Ketika isu keselamatan di pusat membeli-belah menjadi perbualan, sokongan kepada usaha dan gerakan mencari Yin sangat menggalakkan. Tidak sedikit usaha berbentuk tenaga dan wang ringgit diberikan untuk keluarga ini bertemu semula dengan anak mereka. Simpati masyarakat mencurah-curah bagaikan "air hujan turun dari langit" seperti liputan media massa dan elektronik di seluruh negara. Maklumat perkembangan usaha mencari disiarkan dari semasa ke semasa bagi memaklumkan pencapaian terkini seperti ramalan kedudukan Yin, pemanggil misteri dan ulasan yang pelbagai dari semua lapisan masyarakat. Bacaan surah Yaasin dan solat hajat turut diadakan di surau dan masjid.

Sebagai sebahagian daripada masyarakat, banyak perkara yang telah dilakukan oleh orang ramai bagi mengesan Yin atau kanak-kanak lain yang hilang seperti ;

-Menubuhkan pasukan pencari sukarela secara serta-merta.
-Mengenal pasti tempat tumpuan kanak-kanak dan mula melaksanakan gerakan mengesan.
-Membantu menyebarkan poster di tempat kejadian, pasar, tempat permainan kanak-kanak, teksi, bas dan internet.
-Menaja gerakan mengesan melalui bayaran telefon, penginapan, baju khas atau apa-apa barangan yang dibentuk khusus untuk mencari.
-Menziarahi ibu bapa mangsa sebagai tanda sokongan.
-Melaksanakan solat hajat dari semasa ke semasa dan mengambil peluang bersedekah makanan kepada jemaah yang melakukan solat hajat berkenaan.

Terdapat pelbagai usaha yang kreatif boleh dilakukan oleh orang ramai yang prihatin kerana kaedah mengesan orang yang hilang terdapat bermacam-macam cara. Ia boleh dilakukan seorang diri, berpasangan suami isteri atau kumpulan yang lebih ramai seperti pertubuhan bukan kerajaan ataupun masyarakat sekampung.

Dalam kes Yin, pihak polis berkeyakinan beliau masih hidup dan berada di sekitar Kuala Lumpur. Keprihatian Polis Kuala Lumpur menubuhkan pasukan khas untuk mencari Yin adalah harapan ibu bapa Yin dan harapan masyarakat untuk melihat kejadian ini diselesaikan dengan segera. Kepakaran pihak polis pasti menjadikan gerakan mengesan lebih pantas, profesional dan meyakinkan. Orang ramai telah membantu polis dengan menyalurkan maklumat kerana mesej yang disampaikan dapat mempercepatkan tindakan mengesan dilaksanakan.

Ketika kecoh membicarakan keselamatan anak-anak kecil di kawasan ramai orang, isu Yin menjadi pengajaran yang sangat berguna kepada semua orang baik ibu bapa, pemimpin masyarakat atau pengurusan kompleks membeli-belah untuk mengutamakan keselamatan walaupun berada di dalam sebuah negara yang aman dan makmur. Kes kehilangan kanak-kanak, remaja dan orang tua seringkali terjadi, namun bagaimana kita harus menggerakkan kesedaran orang ramai untuk membantu usaha mencari dan menyelamat ini? Hilang dan dijumpai adalah suatu yang membahagiakan tetapi bagaimana pula hilang dan terus hilang selama beberapa tahun? Di sinilah kesedaran orang ramai harus dipupuk oleh media, pertubuhan bukan kerajaan dan agensi kerajaan bagi mempastikan tahap keselamatan diri dan persekitaran berada dalam keadaan yang sangat memuaskan.

No comments:

Post a Comment